Wednesday, July 4, 2012

Mengimani Rukun Iman

Sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Muslim, dari Umar Ibni Al- Khattab r.a. bahawa di dalam pertemuan malaikat Jibril dengan Rasulullah S.A.W. di dalam sebuah majlis yang dihadiri oleh ramai

sahabat-sahabat Rasulullah S.A.W. maka Jibril telah mengemukakan pertanyaan kepada Rasulullah S.A.W. yang bermaksud:-

“Jibril telah berkata kepada Rasulullah, kamu terang kepadaku mengenai iman maka jawab Rasulullah, iman itu ialah bahawa kami beriman kepada Allah, kepada malaikat, kepada kitab-kitab, kepada rasul-rasul, kepada hari kemudian dan kamu beriman bahawa habuan dan peruntukan bagi kamu sama ada baik atau buruk adalah semua daripada Allah S.W.T., maka Jibril pun berkata kamu telah berkata benar.”

Jadi, dari ayat Al-Quran dan hadith dapatlah disimpulkan bahawa iman itu ialah 6 perkara iaitu:


Percaya kepada Allah.
Percaya kepada Malaikat.
Percaya kepada Kitab.
Percaya kepada Rasul.
Percaya kepada Hari Kiamat.
Percaya kepada Qada’ dan Qadar.

Sebenarnya kita dituntut supaya mempercayai bahawa kitab-kitab tersebut khususnya al-Quran al-Karim adalah datangnya daripada Allah Taala, justeru itu kita hendaklah sentiasa berpegang dan beramal dengan mengikut segala arahan dan perintah yang terdapat di dalamnya di samping meninggalkan segala larangan dan tegahan yang terdapat di dalamnya. Dengan berbuat demikian, ia membuktikan kita telah beriman dengan kitab Allah dan sekaligus kita beriman dengan Allah.



Huraian Rukun Iman

Sebagaimana yang diketahui bahawa Islam yang diterangkan dalam hadis ini bererti: "Mematuhi apa yang disampaikan oleh Rasulullah S.A.W. maka sudah tentu Islam yang bererti: Kepatuhan yang sebenar-benarnya tidak akan wujud dengan ketiadaan iman atau kepercayaan yang tertentu, kerana: Islam itu adalah ibarat "Pokok", manakala iman pula adalah ibarat "Benih"; Dan bahawa sebarang gerak-geri yang disengajakan oleh manusia adalah timbulnya dan sesuatu kepercayaan yang tertentu."

1. Wujudnya Allah Pencipta Seluruh Alam

Sebagaimana yang sedia maklum, manusia yang waras akal fikirannya memang sedar bahawa wujudnya adalah diciptakan oleh Allah Maha Pencipta dan sebagaimana dia sedar bahawa segala keadaan dan perjalanan dirinya tertakluk kepada undang-undang dan peraturan yang ditetapkan oleh Maha Pencipta itu, ia juga sedar bahawa dirinya tersusun dan jisim dan roh.

Undang-undang dan peraturan yang disedarinya menguasai keadaan dan perjalanan dirinya itu hanyalah untuk keselamatan jisimnya apabilad ia mematuhinya dengan sempurna, maka sudah tentu bagi rohnya pula wajiblah ia mematuhi dengan sempurna akan undang-undang dan peraturan yang dikhaskan oleh Maha Pencipta untuk keselamatan roh.

Dengan yang demikian, ia sudah tentu mempercayai adanya Maha Pencipta - iaitu Allah Taala - yang menciptakan diri manusia dan menciptakan undang-undang serta peraturan jasmani dan rohaninya.

2. Adanya Malaikat

Undang-undang dan ilmu-ilmu jasmani boleh dicari dan dikaji oleh manusia, tetapi undang-undang dan peraturan rohani iaitu "Hukum-hukum Syarak" tidak akan dapat diketahui melainkan dengan jalan diterima dari Allah Taala dengan perantaraan Malaikat Wahyu, kerana menurut keadaan semula jadinya, manusia tidak dapat menerima hukum secara langsung dari Allah S.W.T. kecuali Rasul-rasul pilihan, itupun pada keadaan yang tertentu.

3. Adanya Kitab-kitab Allah

Hukum-hukum dan peraturan yang disampaikan oleh Malaikat Wahyu itu ditulis sebagai sebuah kitab untuk dibaca dan dipelajari serta diamalkan oleh umat manusia.

4. Adanya Rasul-rasul Allah

Sememangnya maklum bahawa undang-undang dan peraturan-peraturan itu tidak dapat difahami sebagaimana yang semestinya oleh kebanyakan manusia, maka Allah Taala yang Amat Bijaksana telah memilih orang yang diketahui-Nya layak menjadi penyampai dan pensyarah yang menerangkan undang-undang itu satu persatu dan pensyarah itu ialah Rasul-rasul-Nya.

5. Adanya Alam Akhirat

Sesuatu undang-undang atau perlembagaan tidak akan ada nilainya kalaulah tidak dihormati dan dipatuhi.

Kebanyakan manusia tidak menghormati sesuatu undang-undang atau perlembagaan melainkan setelah mengetahui balasan baik bagi orang yang menghormati dan mematuhinya dan balasan buruk bagi orang yang mencabuli dan mencuaikannya.

Oleh sebab hidup manusia dalam alam dunia ini adalah untuk sementara waktu sahaj,a maka balasan yang sepenuh-penuh kesempurnaannya dan seadil-adil keadaannya tentulah tidak difikir layak diberikan seseorang menerimanya dalam alam sementara ini, bahkan bagi melayakkan yang tersebut, diakui benar adanya satu alam yang berpanjangan lagi kekal iaitulah "Alam Akhirat" - Alam yang bermula dan masa berakhir hidup manusia dalam alam dunia ini.

Tambahan pula manusia dijadikan Allah tersusun dari jisim dan roh yang tidak akan habis atau binasa dengan berakhirnya alam dunia ini sekalipun jisimnya menjadi debu atau abu, bahkan roh itu tetap wujudnya berpindah dari satu keadaan ke satu keadaan hingga bercantum dengan tubuhnya yang dibangkitkan hidup semula untuk masa yang kekal itu.

6. Adanya Qadar dan Taqdir Allah

Dari huraian-huraian yang tersebut, nyatalah bahawa Allah S.W.T. ialah pencipta seluruh alam meliputi manusia dan makhluk-makhluk yang lain dan Dialah yang menyusun, mengatur dan menentukan hukum-hukum, undang-undang dan peraturan, bagi segala keadaan makhluk seluruhnya, sama ada yang baik atau yang buruk.

Maka susunan dan penentuan ada nya dan berlakunya baik dan buruk itu ialah "Qadar Taqdir" tuhan yang azali, yang menjadi "Rukun Iman" yang akhir.

Semoga rukun iman hamba-Nya tidak goyah. Wallah'hualam.

Misteriousgrapers

0 comments:

Post a Comment

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More