Wednesday, July 25, 2012

Pengalaman Menguruskan Mayat

Gambar Sekadar Hiasan

Ada sesiapa berani pegang dan gosok mayat yang berlendir, rentung, berkecai dan putus kepala, atau memandikan jenazah mati di tali gantung, mangsa bunuh, lemas atau penghidap Aids? Siapa lagi yang sanggup kalau bukan Arbakyah Asmani, 55.

Pekerjaan yang menakut dan menjijikkan bagi kebanyakan orang itu menjadi rutin Arbakyah sejak menjadi sukarelawan di Hospital Kajang selama 25 tahun.

Dalam tempoh itu dia menguruskan hampir 12,000 jenazah atau puratanya 40 mayat sebulan, termasuk Mona Fendey, mayat tiada waris seperti jenazah warga tua yang tidak dituntut anak atau warga asing yang mati disebabkan penyakit, menjalani hukuman gantung atau kemalangan.

Tugas Arbakyah, yang memulakan khidmatnya sejak berusia 30 tahun, bukan sekadar memandikan mayat, malah menyelesaikan semua urusan berkaitan, termasuk mengafan dan menyembahyangkan jenazah pelbagai bentuk dan saiz.

Malah, ada kalanya Arbakyah perlu turut sama memantau apabila ada kubur digali semula dan mengeluarkan mayat bagi kes tertentu seperti jenazah dikebumi mengikut agama lain.

Bukan saja di hospital, di rumahnya, baik di ruang tamu, depan atau belakang turut menjadi gelanggang atau tempat menguruskan jenazah sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Kantan, Kajang, dekat sini.

Ini antara pengorbanan ibu empat cahaya mata itu yang melakukan tugasan berkenaan secara sukarela sambil turut dibantu suami dan anak yang faham tanggungjawabnya.

Sukar untuk membayangkan tugas Arbakyah sebagai kerjaya, namun kepakaran dimiliki menjadikan khidmat wanita separuh abad ini bukan saja diperlukan di Hospital Kajang, tetapi juga hospital lain di Lembah Klang, terutama menguruskan mayat yang dikategorikan ‘mati ngeri’.

Setiap hari, tidak kira siang atau malam serta lokasi kematian, dia sanggup meluangkan masa menguruskan jenazah apabila ada panggilan daripada pihak yang memerlukan. Pernah Arbakyah memandikan jenazah jam 3 pagi dan ada dalam sehari sehingga enam jenazah diuruskannya.

“Saya melakukan kerja ini (menguruskan jenazah) sejak 25 tahun lalu kerana ketentuan Allah yang membuka hati untuk ke arah ini, sekali gus memenuhi tuntutan fardu kifayah,” katanya menjawab pertanyaan kesanggupannya melakukan kerja itu secara sukarela.

Antara kes yang dikendalikan sejak 25 tahun lalu ialah mayat wanita tua yang perutnya dipenuhi ulat kehitaman apabila terbiar hampir dua minggu di rumahnya selepas meninggal dunia akibat sakit tua di Kajang pada hujung 1990-an.

“Ulat itu menjadi hitam kerana mayat sudah lama terbiar, manakala daging mayat mudah tertanggal apabila diangkat selain mengeluarkan bau sangat busuk.

“Tiada siapa pedulikan, bahkan waris tidak mahu menuntut dan enggan menanggung kos pengebumian. Sebenarnya waris dan keluarga mengaibkan jenazah dan mereka juga menyebabkan kejadian (kematian ngeri) sebegini berlaku,” katanya.

Mengenai pengendalian mayat mengerikan, Arbakyah berkata, dia pernah memandikan mayat yang hancur digilis kereta api, kemalangan, rentung, reput, mati lemas serta akibat HIV dan Aids

“Dalam kes ini, untuk memandikan mereka ada caranya seperti dialas dengan kain putih, diletakkan kapas serta jaring supaya kulit atau daging yang tertanggal tidak dibawa air.

“Setiap cebisan daging atau anggota dimandikan seperti biasa. Bagaimanapun keadaan mereka, sebelum menjalankan tugas saya berdoa supaya dapat menjalankan tugas dengan sempurna,” katanya.

Arbakyah juga pernah memandikan anggota badan manusia seperti kaki dan tangan selain janin dan bayi.

“Saya sangat sedih apabila memandikan janin atau bayi, terutama mangsa buangan seperti anak luar nikah.

“Ada mayat tidak sempurna seperti digigit haiwan. Manakala anggota badan pula, cara mandi dan pengebumian sama, cuma tiada sembahyang kerana tuan badannya masih ada,” katanya.

Ditanya pengalaman pelik menguruskan mayat, Arbakyah berkata, dia tidak mahu mengaibkan si mati, malah apa saja perkara yang berlaku dianggap ujian dan ketentuan Tuhan.

“Ada juga ketika saya uruskan mayat, matanya terbuka dan itu antara tanda rohnya keluar.

“Namun, sebelum keluar rumah saya berdoa supaya semua lancar. Sepanjang 25 tahun, jika ada kematian, saya bawa kain kafan yang siap potongannya tanpa tahu saiz fizikal, tetapi alhamdulillah, apabila selesai dimandikan, kain itu sepadan untuk mengafan si mati,” katanya yang menganggap itu kurniaan Tuhan bagi memudahkan kerjanya.

Arbakyah pernah menguruskan jenazah wanita berusia 20-an yang dianggap masyarakat sebagai menerima aib kerana mayatnya terpaksa diusung orang ramai sambil berdiri apabila dimasukkan ke dalam lif di pangsapuri kediaman si mati.

“Hanya kerana kejadian seperti itu, pelbagai cerita timbul. Kononnya jenazah ini tidak diterima bumi, bahkan didakwa anak derhaka hingga menyebabkan perjalanan pengurusan jenazah lambat.

“Sebagai manusia, sepatutnya kita tidak boleh menghukum, hanya Allah tahu apa sebenarnya berlaku,” katanya.

Arbakyah turut menguruskan mayat warga asing beragama Islam yang meninggal dunia disebabkan penyakit, dijatuhi hukuman gantung atau kemalangan.

Menurutnya, sepanjang menguruskan jenazah, dia paling hiba dan sedih apabila mengendalikan jenazah tiada waris.

Katanya, dalam banyak kes, anak enggan menuntut jenazah ibu bapa, sebaliknya menunggu sijil mati, malah ada yang tiba selepas semua urusan pengebumian selesai semata-mata kerana tidak mahu menanggung kos pengurusan jenazah.

“Sudahlah mayat ibu atau bapa mereka tidak dihiraukan, ada yang datang jumpa minta sijil mati dan buku bank semata-mata mahu mendapatkan harta orang tua,” katanya yang kelihatan tersentuh mengenangkan peristiwa itu.

Lebih menyedihkan, kata Arbakyah, ibu bapa yang berusia dihantar ke rumah kebajikan dan anak membiarkan mereka sehingga menghembuskan nafas terakhir.

“Saya sangat tersentuh apabila berkunjung ke rumah kebajikan untuk orang tua. Apabila datang, mereka menunggu meminta wang. Bukan banyak pun, RM1 saja. Alasannya nak ke kedai.

“Lebih terharu, ada yang minta dipanggil emak dan ayah bagi menghilangkan rindu terhadap anak, malah ada yang berlinang air mata apabila saya berbuat demikian,” katanya.

Arbakyah berkata, dalam kes jenazah tiada waris, mayat dihantar ke hospital sementara polis berusaha menghubungi keluarga.

“Biasanya, dalam tempoh dua minggu mayat disimpan sementara polis berusaha menghubungi keluarga waris untuk membuat tuntutan.

“Jika tiada atau gagal mencari waris, hospital keluarkan permit perkuburan dan saya menguruskan jenazah daripada mandi, mengafan hingga ke tanah perkuburan,” katanya.

Arbakyah berkata, berdasarkan pengalaman, ada beberapa sebab ahli keluarga tidak menuntut jenazah waris mereka lantaran perselisihan faham, menukar alamat dan nombor telefon tanpa memaklumkan pihak berkenaan, selain keluarga tidak menerima mereka yang dijangkiti HIV atau Aids.

Selain itu, faktor orang tua yang tidak faham keadaan dan kehidupan anak hari ini juga boleh menjadi punca jenazah tidak diuruskan warisnya.

“Saya selalu ingatkan, kita jangan hukum seseorang itu melulu, mungkin mereka ada salah dan silap di dunia, tetapi di sisi Allah kita tidak tahu mungkin dia lebih baik daripada kita,” katanya.

Arbakyah menjelaskan, setiap mayat diuruskan perlu dikenakan bayaran bagi menampung kos penyediaan keperluan dan pengebumian. Setiap mayat dikategorikan kepada tiga jenis iaitu normal, kritikal dan penyakit berjangkit.

Untuk mayat normal, bayarannya RM730 bagi lelaki manakala perempuan RM780, sementara kritikal seperti kemalangan RM1,000 (lelaki) dan RM1,050 (wanita) serta penyakit berjangkit RM1,050 (lelaki) dan RM1,100 (wanita).

Arbakyah berkata, pengurusan jenazah wanita lebih mahal berbanding lelaki kerana penggunaan lebih banyak kain.

Menurutnya, bagi jenazah tiada waris atau tidak dituntut, kosnya ditanggung majlis agama Islam negeri dan jika membabitkan warga asing, kes itu dirujuk ke kedutaan berkenaan.

Misteriousgrapersz

0 comments:

Post a Comment

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More