Wednesday, November 7, 2012

Murtad: Dipenjarakan Jika Ajak Orang Islam Keluar Agamanya



Mana-mana pihak termasuk individu Islam yang mengajak orang Islam lain meninggalkan agama Allah itu boleh didenda dan dipenjarakan kerana perbuatan tersebut jelas mempersendakan Islam sebagai agama Persekutuan negara.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mashitah Ibrahim berkata, tindakan tegas itu boleh diambil mengikut Enakmen Jenayah Syariah Negeri.

Menurutnya, walaupun sehingga kini belum ada peruntukan khusus hukuman untuk kesalahan tersebut ke atas orang Islam, tindakan berkenaan boleh dimasukkan di bawah Enakmen Jenayah Syariah Negeri atas alasan menghina agama atau menyebabkan Islam dipandang hina.


‘‘Kalau ada orang bukan Islam cuba mengajak orang Islam untuk murtad, kita ada undang-undang seperti enakmen kawalan agama tetapi hari ini, orang Islam sendiri mengajak dan membuka ruang bagi orang Islam untuk memilih agama setelah ibu bapanya mendidik mewariskan agama Islam kepada anak mereka," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Mohamed Aziz (BN-Sri Gading) yang ingin tahu mengenai bentuk tindakan boleh diambil berhubung kenyataan kontroversi Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar, di Dewan Rakyat hari ini.

Nurul Izzah seperti dipetik menerusi laporan portal propembangkang, Malaysiakini berkata : “Apabila anda bertanya saya, tiada paksaan dalam beragama...mengapa sesetengah pihak rasa bersalah, perkara ini (kebebasan beragama) hanya terpakai kepada orang bukan Melayu, sepatutnya diguna pakai secara sama rata."

Terdahulu, ketika menjawab soalan asal Amran Ab. Ghani (PKR-Tanah Merah) tentang langkah yang diambil kerajaan untuk mengawal ‘fatwa’ oleh individu tidak diiktiraf, Mashitah menjelaskan, kerajaan sentiasa memantau dan mengambil berat tentang isu agama yang berbangkit dalam masyarakat.

Katanya, walaupun kerajaan menghormati prinsip kebebasan bersuara dan memberi pandangan, namun perkara-perkara berkaitan dengan isu agama merupakan satu perkara yang sangat sensitif kepada umat Islam.

“Tidak wajar bagi seseorang menggunakan kebebasan bersuara sebagai alasan untuk mengeluarkan pandangan yang boleh mengelirukan masyarakat khususnya umat Islam di negara ini.

“Sehubungan itu, dalam usaha menjaga dan mengawal sebarang isu sensitif dalam kalangan umat Islam, tindakan boleh diambil di bawah peruntukan 298 A Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang dua tahun dan tidak lebih lima tahun," ujarnya.


0 comments:

Post a Comment

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More