Wednesday, June 27, 2012

Tatacara Sujud Syukur


Apa itu sujud syukur?
Sujud syukur ialah sujud untuk menyatakan terima kasih atas nikmat yang dilimpahkan oleh Allah S.W.T. atau kerana terhindarnya seseorang dari sesuatu malapetaka.

Hukum Sujud Syukur
Jumhur ulamak berpendapat bahawa sujud syukur itu adalah sunat berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Abdur Rahman bin Auf katanya yang maksudnya :

 “Sewaktu Nabi S.A.W. keluar menuju ke dalam bangunan-bangunan tinggi lalu memasukinya. Kemudian Baginda S.A.W. menghadap kiblat dan sujud, dan memanjangkan sujud Baginda. Kemudian Baginda mengangkat kepalanya seraya bersabda : “Sesungguhnya Jibril mendatangiku dan memberi khabar gembira kepadaku." Jibril berkata : “Sesungguhnya Allah mengatakan kepada engkau : “Siapa yang memberi selawat ke atas engkau Aku akan memberi selawat kepadanya dan siapa yang memberi salam kepada engkau, Aku akan memberi salam kepadanya.” Lalu aku bersujud sebagai tanda syukur kepada Allah”. (Hadis riwayat Imam Ahmad)

Dalam hadis yang lain pula yang diriwayatkan oleh Abu Daud dan selainnya bahawa Baginda S.A.W. jika sampai kepada Baginda S.A.W. sesuatu perkara yang menggembirakannya, Baginda S.A.W. akan melakukan sujud.(Syarah Al-Minhaj)

Sujud syukur di dalam mazhab Asy-Syafi‘ie tidak boleh dilakukan di dalam sembahyang. Ianya hanya sunat dilakukan di luar sembahyang ketika seseorang mendapat limpahan rahmat daripada Allah atau terhindar daripada malapetaka.

Di antara sujud yang dikategorikan sebagai sujud syukur ialah sujud selepas membaca ayat 25 daripada surah Shad iaitu:

Tafsirnya : “Maka Kami mengampuni kesalahannya. Sesungguhnya dia dekat dari Kami dan mempunyai tempat kembali yang baik”.

Dari itu sujud kerana ayat ini tidak boleh dibuat di dalam sembahyang kerana sujud pada ayat di atas adalah atas dasar syukur dan sujud syukur tidak boleh dilakukan di dalam sembahyang. Jika dia sujud maka batallah sembahyangnya menurut pandapat al-ashah, kecualilah jika ia tidak mengetahuinya atau ia terlupa.

Tatacara Sujud Syukur

Menurut Dr Wahbah Zuhaily d idalam al-Fiqh al-Islami (2/118), Sujud Syukur di dalam Mazhab Syafie serupa dengan sujud Tilawah. Ia boleh dilakukan diatas kenderaan jika seseorang di dalam permusafiran. Terdapat 5 rukun di dalamnya iaitu :

a. Berniat.

b. Takbiratul Ihram

b. Sujud satu kali sahaja.

c. Duduk selepas sujud dan

d. Memberi salam.

Syarat-syarat sahnya juga sama seperti syarat-syarat yang terkandung di dalam sujud tilawah iaitu suci dari hadas kecil dan besar, menutup aurat dan menghadap kiblat.

Dari segi zikir yang sunat dibaca ketika sujud syukur ini adalah sama seperti zikir-zikir yang telah dijelaskan di dalam sujud tilawah.

Begitulah cara Islam mengajarkan kita bagaimana cara mensyukuri nikmat Allah S.W.T. atau terlepas daripada bala. Di samping sunat melaksanakan sujud syukur disunatkan juga bersedekah dan melakukan sembahyang sunat syukur ( Mughni Al-Muhtaj 1/219). Menurut Al-Khawarizmi pula, jika ia menggantikan tempat sujud itu dengan bersedekah atau sembahyang dua rakaat maka itu adalah yang lebih baik.

Menurut Imam Al-Ramli bahawa sujud syukur itu terluput waktunya jika jarak di antara sujud itu dan sebabnya terlalu lama.

0 comments:

Post a Comment

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More