Sunday, July 29, 2012

Sakit Berlarutan Akibat Terludah Burung Hitam


Kejadian seram ini pernah ku alami beberapa tahun lalu diflatku di Bukit Batok. Pada malam terjadinya peristiwa itu, kurasakan bahawa keadaan sekitaran begitu sunyi dan tenang. Tiada kedengaran bunyi unggas atau cengkerik.

Aku rasa begitu sukar hendak melelapkan mata walaupun badan terasa letih dan lemah kerana menolong sahabatku berpindah pada siangnya.

Bulam mengambang penuh pada pagi jumaat itu. Tiupan angin sepoi-sepoi bahasa yang sesekali bertiup tidak lagi terasa.

Jam dinding sudah menunjukkan 2.35 pagi, namun aku masih belum melelapkan mata. Ini mungkin kerana cuaca panas atau batuk kering ringan yang aku alami sejak dua hari lalu, fikirku. Batukku berlarutan dan tekakku kerap terasa gatal. Aku bangun dari katil lantas menuju ke jendela untuk berludah melegakan anak tekak. Setibanya di jendela, aku berludah keluar. Pada ketika itu, muncul seekor burung berwarna hitam terbang melintasi jendela flatku.

Aku yakin ludahku terkena burung yang terbang itu dengan tidak disengajakan. Benda bersayap itu mengeluarkan bunyi yang ngeri lagi menggerunkan seperti binatang buas apabila ia terlanggar sebatang pokok getah muda yang berdekatan lalu rebah.

"Astaghfirullah...," aku beristighfar panjang, seolah-olah tidak percaya apa yang aku lihat. Seluruh anggotaku terasa seram sejuk akibat terperanjat. Aku tidak berani menjenguk keluar tingkap. Aku kembali ke katil dan memaksa diriku untuk tidur. Akhirnya aku terlelap. Ketika tidur aku bermimpi sesuatu yang mengerikan. Aku didatangi lembaga hodoh. Kepalanya tak ubah seperti seekor kelawar, bertanduk dua seperti lembu, badannya bersisik dan berekor panjang. Ia juga mempunyai lawi-lawi yang tajam di kedua belah sayapnya. Salah satu tanduknya kelihatan luka parah akibat terlanggar sesuatu. Matanya yang merah membara, merenung tajam ke arahku dengan penuh kebencian. Lembaga itu berlegar-legar di luar tingkap cermin flatku yang separuh tutup itu. Ia kemudian mencakar-cakar cermin itu membuat telingaku terasa nyilu. Lakunya seolah-olah ia mahu masuk ke dalam rumah. Anehnya, apabila aku tersedar darpipada mimpi ngeri itu, aku terhidu bau busuk seperti bau bangkai.

Aku tidak memberitahu anggota keluargaku mengenai peristiwa itu. Selepas insiden itu, aku berjumpa doktor yang kemudian mengesahkan yang aku mengidap demam panas. Doktor memberikan aku suntikan supaya dapat mengurangkan suhu badanku dan menasihatiku agar berehat dan meminum air berlebihan. Namun, penyakitku muncul setiap kali senja menjelang dan ia berlarutan hingga ke subuh.

Hampir seminggu aku meracau mengalami mimpi seram yang berulang ulang itu. Perubahan diriku semakin lama semakin ketara. Aku mengidap demam panas yang berulang ulang. Batukku menjadi-jadi dan hidungku sering berdarah. Ini berlaku setiap kali aku didatangi mimpi yang sama.

Keadaanku semakin hari semakin 'tenat'. Aku dibawa berjumpa beberapa orang doktor, bomoh dan sinseh, namun penyakitku tidak jugak sembuh. Bapaku turut berikhtiar. Beliau membacakan ayat suci al-Quran, berdoa dan memberikan aku minum air zam zam. Alhamdulilah, kesihatan aku beransur ansur pulih seperti sediakala dan aku tidak lagi diggangu oleh lembaga bersayap itu.

0 comments:

Post a Comment

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More