Sunday, September 30, 2012

Antara Amalan pada hari jumaat


JUMAAT adalah hari yang sangat istimewa bagi umat Islam. Ia adalah hari untuk melipat gandakan ibadah kepada Allah. Umat Islam bukan saja melakukan ibadat harian wajib seperti solat fardu, bahkan Nabi Muhammad saw menganjurkan beberapa ibadat sunat yang dapat menambahkan ketakwaan kepada Allah. Antara ibadah itu adalah:

Membaca surah as-Sajdah pada sembahyang Subuh yang diiringi pula sujud tilawah ke hadrat Allah

Tiada ganjaran yang lebih besar bagi mereka yang melakukan ibadat ini melainkan syurga Allah. Hal ini seperti sabda Rasulullah bermaksud: " Apabila anak cucu Nabi Adam membaca surah as-Sajdah kemudian mereka sujud kepada Allah, syaitan mengasingkan dirinya dari majlis itu dalam keadaan menangis sambil berkata: "Celakalah aku, anak cucu Nabi Adam diperintah untuk sujud kepada Allah, lantas mereka sujud kepada Allah. Maka, bagi mereka itu balasannya syurga, sedangkan aku juga disuruh untuk sujud kepada Allah, tetapi aku ingkar. Oleh itu, untukku api neraka." (Hadis riwayat Abu Daud)

Membaca surah al-Kahfi

Ganjaran bagi orang yang membacanya adalah mendapat petunjuk dan pimpinan daripada Allah sepanjang minggu itu. Hal itu berdasarkan sabda Rasulullah bermaksud: “Barang siapa yang membaca surah al-Kahfi pada Jumaat, nescaya Allah akan menyinari dirinya dengan cahaya antara dua Jumaat." (Hadis riwayat Baihaqi)

Membanyakkan membaca selawat ke atas Nabi

Ganjaran bagi mereka yang memperbanyakkan selawat ke atas Nabi pada Jumaat adalah kasih sayang dari Rasulullah. Sabda Baginda bermaksud: ”Sesungguhnya antara hari kamu yang paling mulia adalah Jumaat, perbanyakkan berselawat ke atasku, kerana selawat kamu itu disampaikan kepada ku."

Jumaat adalah hari yang Allah gandakan ganjaran amalan baik hamba-Nya yang soleh. Umat Islam digalakkan mengisi malam Jumaat dengan memperbanyakkan ibadat dan pada siangnya, bersegera ke masjid seawal waktu yang mungkin untuk merebut ganjaran pahala yang besar. Mereka yang mendengar khutbah Jumaat dengan khusyuk dan bersedekah kepada orang miskin pada Jumaat, itulah orang yang mendapat ganjaran besar daripada Allah. Keistimewaan itu bertambah menyerlah apabila Allah mensyariatkan sembahyang Jumaat yang wajib dilaksanakan secara berjemaah.

Antara kepentingannya adalah:

1) Mengukuhkan ikatan kasih sayang antara sesama Islam, yang mana ia adalah unsur terpenting bagi menjamin kekuatan umat Islam.

2) Memberi ilmu, tunjuk ajar serta nasihat kepada umat Islam melalui khutbah. Ia adalah peluang terbaik untuk memperbaiki kualiti diri.

Pentingnya sembahyang Jumaat, Nabi memberi amaran keras kepada mereka yang tidak hadir ke masjid untuk menunaikan solat Jumaat. Rasulullah bersabda bermaksud : “Barang siapa secara mudah meninggalkan sembahyang Jumaat sebanyak tiga kali berturut-turut, Allah akan menjadikan hatinya keras untuk menerima kebenaran.”

Sembahyang Jumaat ini terlalu penting. Oleh itu, bagi memastikan umat Islam berada di atas landasan yang membawa kecemerlangan dan kejayaan, Baginda meletakkan garis panduan kepada mereka yang menghadirinya. Perkara itu , bagi memastikan ibadat Jumaat itu benar-benar dapat mendidik jiwa orang yang menghadirinya. 

Antaranya adalah:

1) Mengemas diri dengan sebaik-baiknya dan mandi membersihkan dirinya. Ia agar jemaah lain, terutama yang berhampiran dengannya tidak terganggu oleh bau badan atau pakaiannya yang busuk.

Nabi bersabda bermaksud: ”Apabila seseorang kamu menghadiri sembahyang Jumaat, maka hendaklah dia mandi." (Hadis riwayat Muslim)

Segera ke masjid dengan penuh ketenangan.

Mendapatkan saf yang paling depan, berzikir, membaca al-Quran serta berpeluang mendengar khutbah dengan jelas. Baginda bersabda bermaksud: “Barang siapa yang mandi pada Jumaat, kemudian pergi ke masjid pada awal waktu, maka seolah-olah dia berkorban seekor unta." (Hadis riwayat Bukhari)

banyak lagi amalan-amalan yang boleh kita amalkan...
bak kata pepatah " Hendak seribu daya, tak hendak 1 dalih pun dah cukup "

I Love Islam

0 comments:

Post a Comment

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More