Sunday, September 30, 2012

‘Mencuri Perlukan Keberanian’…


LONDON – Seorang hakim yang memutuskan tindakan menceroboh rumah orang lain untuk mencuri memerlukan ‘keberanian tinggi’ akan disiasat selepas orang ramai membuat bantahan kepada Pejabat bagi Aduan Kehakiman (OJC), lapor media di sini.

Hakim mahkamah Teesside itu, Encik Peter Bowers, mengakui beliau mungkin dikecam selepas memutuskan tidak mengenakan hukuman penjara terhadap pencuri itu.

Ketika memutuskan menggantung hukuman penjara 12 bulan terhadap Richard Rochford, 26 tahun, dari daerah Redcar, hakim itu berkata:

“Saya beri anda peluang tidak mengulanginya.”

Akhbar Evening Gazette pula menyatakan, Hakim Bowers memberitahu pencuri terbabit yang menceroboh tiga rumah dalam masa lima hari:

“Bagi saya, seseorang itu perlukan keberanian tinggi untuk masuk rumah orang lain dan mencuri. Saya sendiri tidak berani.”

Hakim Bowers juga mendakwa, hukuman penjara itu tidak akan memberi kebaikan kepada Rochford.

Meskipun mengakui mangsanya mengalami trauma, beliau menjelaskan tidak akan memenjara tertuduh selepas dia tidak lagi menagih dadah sejak ditahan menceroboh rumah plaintif pada Februari lalu.

Keputusan Bowers dibantah oleh orang ramai dengan Perdana Menteri Britain, Encik David Cameron, menyifatkan pencuri bukan berani tetapi pengecut dan melakukan jenayah dibenci umum.

Jurucakap Pejabat bagi Aduan Kehakiman berkata:

“Pejabat ini menerima banyak bantahan daripada orang ramai berhubung keputusan Hakim Bowers dalam kes itu. Bantahan mereka akan dikaji mengikut Peraturan Disiplin Kehakiman. Tidak wajar mengulas lanjut pada masa ini.”

Keputusan hakim berkenaan akan disiasat oleh OJC dan Hakim Bowers boleh dikenakan tindakan disiplin jika perlu berbuat demikian.

OJC juga memiliki kuasa untuk menasihat, memberi amaran, memarahi atau menyingkirkan hakim atas kesalahan salah laku, lapor akhbar The Indepenent. – Agensi.

0 comments:

Post a Comment

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More