Sunday, January 27, 2013

Seniman Jins Shamsuddin gagal kenali rakan, ingatan makin lemah

Keadaan seniman veteran Tan Sri Jins Shamsuddin semakin lemah apabila beliau sudah tidak mampu untuk mengingati teman temannya. Jurey Latiff Rosli, Presiden Gabungan Persatuan Karyawan Filem Malaysia (Gafim) berkata seniman itu sukar mengenali orang sekelilingnya termasuk mereka yang pernah bekerja dengannya sebelum ini.

Tan Sri Jins Shamsuddin
Tan Sri Jins Shamsuddin sakit

Keadaan ingatan seniman veteran Tan Sri Jins Shamsuddin dilaporkan semakin lemah apabila pelakon itu sudah tidak lagi mengenali rakan-rakan yang menziarahinya pada Rabu.

Presiden Gabungan Persatuan Karyawan Filem Malaysia (Gafim), Jurey Latiff Rosli berkata, Jins sukar untuk mengingati orang sekelilingnya termasuklah mereka yang pernah berurusan dengannya sebelum ini.

“Dari segi fizikal beliau sangat cergas dan tidak mempunyai masalah kesihatan namun ingatannya semakin lemah dan beliau sukar mengingati orang di sekeliling,” ujarnya ketika dihubungi mStar Online di sini selepas menziarahi pelakon tersebut di Hulu Klang dekat sini, pada Rabu.

Antara yang hadir ialah Pengerusi Papita, Datuk M. Daud Wahid, penggiat seni hiburan Ong Peng Chu, Presiden Profima, Khir Mohd Noor dan beberapa ahli jawatankuasa Gafim.

Jurey menjelaskan pada lawatan itu, Jins kelihatan ceria dan menyambut kedatangan mereka dengan baik tetapi sudah tidak mengingati mereka lagi.

“Walaupun sudah tidak ingat beliau tetap melayan kami dengan baik seperti tiada apa-apa yang berlaku,” ujarnya.

Pada lawatan itu, pihaknya sempat menyampaikan sumbangan berbentuk hamper serta sumbangan wang tunai sebagai ingatan sempena kedatangan bulan Ramadan.

Dalam pada itu, Jurey memberitahu walaupun keadaan ingatan Jins semakin lemah tetapi memorinya mengenai industri perfileman tidak pernah luntur.

Sepanjang pertemuan itu Jins banyak bercerita mengenai sejarah tentang studio Jalan Ampas, peranannya dalam penubuhan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) dan Gafim.

“Hairannya beliau masih mengingati dengan jelas mengenai kisah lampau beliau sebagai pelakon serta mampu berkongsi dengan kami semua kisahnya dengan baik,” ujarnya.

Tambah Jurey, Jins turut memberitahu masih ingin berkhidmat dan memberi sumbangan kepada industri selain mahu kembali bekerja seperti biasa.

“Sekarang ni memang beliau hanya duduk di rumah dan berehat namun keinginannya untuk kembali bekerja dan berkhidmat kepada negara masih tinggi,” katanya.

Sumber : Mstar

0 comments:

Post a Comment

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More