Tuesday, August 7, 2012

Kisah Nadia Comaneci – Papan Markah Olimpik ‘Terpaksa Tunduk Kepada Kehebatannya’ Video

Nadia Elena Comaneci
Jika anda berusia 30-an atau 40-an, mungkin anda mampu mengimbau kembali kejohanan Olimpik yang berlangsung pada tahun 1976.
Ketika itu, seorang gadis yang baru berusia 15 tahun menyertai kejohanan Olimpik musim panas di Montreal, Kanada.
Beliau hanyalah seorang daripada ribuan atlet ketika itu.
Namun, bermula dari langkah kecil dan biasa, atlet Romania itu, Nadia Elena Comaneci kemudian menjadi satu fenomena gimnastik dalam sejarah kejohanan Olimpik.
Pada ketika itu, Nadia bertanding dalam kategori ‘all-around’ yang memerlukan dia menyelesaikan empat disiplin.
Nadia memilih disiplin batang titian sebagai permulaan kategori ‘all-around’.
Sebaik beliau bermula, seluruh stadium terpegun dengan gerakkan sempurna dan sangat halus tetapi teratur yang dipamerkan Nadia.
Para penonton dalam stadium tersebut teruja melihat ketangkasan serta teknik yang dipamerkan anak gadis itu.
Setelah selesai disiplin batang titian, seluruh penonton di dalam stadium itu tidak sabar menunggu keputusan di papan markah elektronik.
Namun, tidak beberapa lama selepas itu, markah yang terpapar di papan markah sama sekali tidak mencerminkan mutu persembahan unik yang dibuat anak gadis itu.
Mengejutkan Nadia serta seluruh penonton apabila dia hanya mendapat markah 1.00.
Satu markah untuk persembahan yang terlalu hebat? – mungkin itu yang terlintas di benak penonton ketika itu yang tidak percaya dengan apa yang dilihat di papan markah.
“Mungkin ada kesilapan saya sewaktu menyelesaikan disiplin tersebut,” memetik kata-kata Nadia menerusi klip yang dimuat naik di laman Youtube.
Para penonton mula ‘kecoh’ akibat tidak berpuas hati dengan keputusan itu.
Selepas beberapa minit, akibat kekecohan yang wujud, pihak urusetia terpaksa tampil membuat pengumuman.
“Kami terpaksa meletakkan 1.00 kerana papan markah elektronik ini tidak boleh mempamirkan 10.00. Itu adalah markah Nadia,” jelas urusetia kejohanan.
Markah tertinggi yang mampu dipamerkan papan markah ialah 9.95 sahaja – 10 difikirkan sebagai jumlah yang tidak mampu dicapai manusia.
Seluruh penonton di stadium bersorak dan berdiri memberi tepukan yang gemuruh kepada Nadia.
Rupanya Nadia menerima markah yang tidak pernah diterima mana-mana atlet gimnastik olimpik.
Hakikat ketika itu ialah, tidak pernah difikirkan akan ada atlet yang mampu mencapai tahap persembahan seperti itu.
Itu adalah antara sejarah Olimpik yang paling sukar dilupakan apabila pembuat papan markah elektronik tersebut, Omega SA tidak pernah menjangkakan seseorang atlet itu mampu mendapat markah 10.00.
Hakikat itu berubah di tangan seorang gadis berumur 15 tahun.
Nadia yang menyertai sukan gimnastik pada waktu itu telah memonopoli segala disiplin yang dipertandingkan.
Dia juga berjaya menewaskan pasukan gimnas dari Rusia yang dahulu dikenali sebagai ‘Union of Soviet Socialist Republics’ (USSR).
USSR adalah segalanya pada masa itu bila sukan gimnastik diperkatakan.
Bukan sekali, sepanjang kerjayanya, Nadia mencapai tahap mata sempurna yakni 10 sebanyak tujuh kali.
Untuk atlet sukan sehebat Nadia – maka kata-kata yang bahawa tidak ada apa yang mustahil di dunia ini memang amat tepat sekali.
Disebabkan kejayaan Nadia itu, papan markah selepas itu dibuat dengan kemampuan memaparkan markah 10 – yakni tahap SEMPURNA.
Oleh: Irfan Adhikari

0 comments:

Post a Comment

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More