Tuesday, August 7, 2012

Niat Baik Disalah Ertikan keluarga Mangsa

Niat Baik Disalah Ertikan
China – Niatnya hanya ingin membantu seorang wanita tua berusia dalam lingkungan 80-an yang terjatuh untuk bangun semula di sebatang jalan di wilayah Hongkou.
Namun Xu Qin, tidak menyangka, selepas dia menghulurkan bantuan itu, keluarga wanita terbabit telah menuduhnya memukul warga emas itu lalu mereka telah mendesak Xu membayar pampasan berjumlah  AS$12,903.
Sejak kejadian pada Jumaat lalu, suaminya, Jiang akan mengunjungi laluan berkenaan bagi mencari saksi yang mungkin menyaksikan kejadian tersebut, demi membuktikan bahawa isterinya tidak bersalah.
Menurut Jiang, seorang lelaki bernama Deng pernah menghubunginya memaklumkan bahawa dia berada di laluan berkenaan pada hari kejadian, namun tidak menyaksikan kemalangan tersebut.
“Walaupun Deng tidak menyaksikan insiden tersebut, namun dia memberitahu ada mendengar percakapan beberapa orang di sekitar kawasan itu bahawa Xu tidak memukul warga emas terbabit,’’ kata Jiang yang akan terus mengunjungi laluan itu hingga dia menemui saksi kejadian berkenaan.
Jelas Jiang, dia hanya bekerja sebagai mekanik dan keluarga mereka tidak mampu untuk membayar pampasan yang banyak itu.
Dalam kejadian yang berlaku pada 7.15 malam itu, Xu berkata dia ternampak seorang wanita tua terbaring di atas jalan raya ketika melalui jalan tersebut dengan menaiki motosikal.
“Terdapat 10 orang yang berkumpul di situ namun tidak seorang pun membantu, membuatkan saya kesian padanya lalu terus membantu mengangkatnya ke tepi,’’ katanya.
Namun anak perempuan wanita itu menuduh Xu memukul wanita itu hingga pengsan.
Jelasnya, ibunya itu tidak nampak individu yang memukulnya dan insiden berkenaan telah menyebabkan dia mengalami kecederaan dan terpaksa dirawat di hospital.
Bil hospital dilaporkan mencecah lebih AS$12,000.
Polis setakat ini masih menjalankan siasatan.
Kes seumpama itu banyak dilaporkan oleh media di China melibatkan individu yang membantu mangsa namun akhirnya mereka disaman.
Salah satu daripadana melibatkan seorang wanita di Shandong yang didakwa telah melanggar seorang lelaki hingga dia jatuh.
Namun wanita itu terlepas daripada tuntutan saman selepas seorang saksi tampil dan memaklumkan wanita itu hanya membantu lelaki terbabit, bukan melanggarnya seperti yang didakwa oleh keluarga mangsa.

0 comments:

Post a Comment

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More