Tuesday, December 4, 2012

AES Bukan Perangkap



Statistik Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menunjukkan terdapat sembilan peratus pengguna jalan raya yang tegar melakukan kesalahan. Jumlah kenderaan juga bertambah sebanyak 10 peratus setiap tahun dan 7,000 nyawa terkorban saban tahun. Kira-kira 14.7 juta kenderaan yang berdaftar masih aktif digunakan sehingga April 2012.
Sehubungan itu kerajaan telah memperkenalkan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) sebagai kaedah memantau serta mengesan pesalah lalu lintas. Sebanyak 831 kawasan hitam dikenal pasti dan kerajaan menyasarkan kesemua kamera itu dipasang sehingga penghujung 2013. Walaupun hanya 14 kamera AES telah dipasang, namun terdapat banyak dakwaan yang mengatakan kamera itu hanya berfungsi sebagai penjerat pengguna jalan raya.
Ikuti kupasan dan ulasan daripada Pengarah JPJ, Datuk Solah Mat Hassan bersama wartawan HASLINA KAMALUDIN dan ROBIATULADAWIYAH ABD RASHAD bersama jurufoto MUHAMAD ZULFADLI AHMAD ZAKI mengenai kamera AES ini.


Bagaimana AES berfungsi?

AES merupakan satu teknologi baru yang mampu mengesan dan merakam secara automatik sebaik sahaja mana-mana kesalahan lalu lintas dilakukan di kawasan sering berlaku kemalangan. Setakat ini AES bertujuan mengenal pasti kesalahan lalu lintas seperti melanggar lampu isyarat dan memandu melebihi had laju. AES berfungsi menguatkuasakan undang-undang secara automatik dan mampu berfungsi 24 jam, tiada campur tangan manusia dan tidak bermusim. Maklumat kesalahan ini kemudiannya dihantar secara terus ke Pusat Kawalan AES (Control Center). Maklumat diproses bagi mengenal pasti pemandu/pemilik kenderaan berdasarkan kepada maklumat pemilik/pemandu yang terdapat dalam pangkalan data JPJ. Saman akan dikeluarkan secara automatik dan dihantar melalui pos kepada Orang Kena Saman (OKS). Sistem juga secara automatik menghantar maklumat kes ke mahkamah untuk tujuan perbicaraan jika OKS memilih untuk gagal membayar kompaun atau dibicarakan.

Apakah tujuan AES diperkenalkan?

AES diletakkan di lokasi yang mempunyai kadar kemalangan jalan raya yang tinggi. Sehubungan itu dengan adanya AES,  mampu mengubah sikap, tingkah laku dan budaya pemanduan melalui penguatkuasaan. Kerana pengguna jalan raya akan serik apabila sering kali disaman.
AES bukan hanya perangkap had laju tetapi adalah penyelamat kepada pengguna jalan raya. Saban hari ada sahaja kemalangan yang mengorbankan nyawa manusia, sehubungan itu dengan adanya AES mampu mengubah sikap pemandu agar lebih berhati-hati. Kelajuan merupakan penyumbang terus kepada faktor kemalangan jalan raya. 
Bilik gerakan AES



Bagaimana lokasi AES ditentukan?

Institut Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) bertanggungjawab menentukan lokasi pemasangan kamera AES dengan dibantu oleh JPJ, PDRM dan Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR). Miros membuat keputusan berdasarkan laporan kemalangan PDRM (Pol.27) selepas membuat kajian dari tahun 2007 hingga 2010. 


Diskaun sebanyak 50 peratus diberikan kepada saman PDRM yang diselesaikan dalam tempoh 14 hari. Adakah saman AES juga mempunyai pemotongan tertentu jika OKS membuat pembayaran awal?
Kerajaan telah selaraskan kadar kompaun bagi kesalahan tertentu seperti melanggar lampu isyarat dan melebihi had laju sebanyak RM300 bagi saman JPJ dan PDRM. Walaupun dikompaun OKS boleh bawa ke mahkamah selepas tempoh tiga bulan kadar penalti yang perlu dibayar OKS akan ditentukan mahkamah. JPJ hanya berkuasa memberi kompaun. Bagaimanapun, bagi kesalahan yang boleh menyumbang terus kepada kemalangan jalan raya seperti melebihi had laju, memotong di garisan berkembar, melanggar lampu isyarat tiada diskaun diberikan kerana kesalahan-kesalahan ini menyumbang 30 peratus kepada kadar kemalangan di Malaysia.
Tetapi ada pengecualian diberikan bagi kes-kes kecemasan seperti membawa isteri yang ingin bersalin, berlaku bencana kepada pemandu seperti rumah terbakar dan sebagainya. OKS boleh membuat surat rayuan berserta bukti kukuh kepada pihak JPJ dalam tempoh dua bulan dan pihak JPJ akan membatalkan saman tersebut.
Ada pengecualian kenderaan diberikan seperti kenderaan kerajaan atau kenderaan yang membawa menteri Kabinet?

Tiada pengecualian kepada kenderaan kerajaan. Bagi kenderaan menteri Kabinet hanya kenderaan yang membawa Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri sahaja yang dikecualikan selebih masih terikat dengan undang-undang had laju sedia ada.
Bagi kenderaan kerajaan dan bukan kerajaan yang menjalankan tugas menyelamat nyawa dan harta benda seperti bomba, ambulan, PDRM, ATM  dikecualikan. Bagaimanapun, kamera AES tetap merakam semua kesalahan yang dibuat pengecualian akan ditentukan oleh pihak JPJ.
Benarkah terdapat kelonggaran had kelajuan (buffer) 10km/j pada setiap kamera AES mengikut setiap had laju yang ditetapkan?
Memang ada buffer diberikan di setiap perangkap had laju sebanyak 10km/jam. Sebagai contoh jika di kawasan itu had lajunya 90km/jam maka 101km/jam pemandu baru disaman.

AES menggunakan teknologi canggih untuk mencetak saman



Negeri-negeri pembangkang setakat ini masih lagi menolak pelaksanaan AES di negeri pentadbiran mereka. Seperti di Selangor Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, Ronnie Liu memberi tempoh sehingga hujung minggu ini untuk kerajaan mencabut semula kamera di tempat mereka, apakah tindakan pihak JPJ terhadap permintaan itu?

JPJ tidak menerima arahan untuk mencabut semula kamera di bawah kerajaan negeri Selangor. Tetapi ada menerima surat bagi tujuan kebenaran merancang.
Sehingga hari ini juga, negeri-negeri di bawah kerajaan negeri Selangor, Pulau Pinang, Kedah, dan Kelantan juga tidak pernah menolak pelaksanaan AES ini tetapi mereka meminta untuk ditangguhkan dan mendengar penerangan terlebih dahulu daripada pihak berkuasa mengenai sistem ini.

Apakah ada had laju akan ditambah?

Tiada had laju akan ditambah kerana had laju di negara ini adalah antara tertinggi berbanding negara lain seperti di Eropah, jalan bagus. Singapura sendiri tidak ada had laju seperti Malaysia. Memang benar kereta bagus.
Adakah papan tanda tersebut jelas?
Ia sangat jelas. Tambah pula tiga papan tanda diletakkan sebelum kamera AES iaitu dua kilometer, satu kilometer dan 500 meter sebelum kamera. Jadi, pengguna sudah mendapat isyarat awal sebelum imej kenderaan mereka dirakam jika memandu melebihi had laju atau melanggar lampu isyarat.


Apakah faktor pemilihan dua syarikat pembekal teknologi AES ini?

Dua syarikat iaitu Redflex Traffic Systems Pty Ltd yang diwakili Beta Tegap Sdn Bhd dan  ROBOT Visual Systems yang diwakili ATES Sdn Bhd ini mengendalikan AES dipilih berdasarkan kriteria yang telah ditetapkan. ramai sedia maklum, AES merupakan high-end technology bagi mendapatkan imej jelas terhadap kenderaan di atas jalan raya. Dua syarikat ini adalah senarai pendek daripada sembilan syarikat yang dibuka menyertai Tender JPJ(S) T.6/2006: Request For Proposal For The Implementation Of Automated Enforcement System di mana kesemua syarikat ini merupakan peneraju utama dalam pelaksanaan sistem AES di negara-negara yang dilawati dan lain-lain negara. selepas membuat penilaian, didapati keberkesanan sistem ini di negara-negara yang telah melaksanakannya, kerajaan pada Disember 2005 bersetuju supaya AES dilaksanakan.


Satu Jawatankuasa Pemandu ditubuhkan bagi meneliti keperluan pengguna, kaedah-kaedah perolehan dan pelaksanaan projek dengan dibantu oleh lima Jawatankuasa Kerja. Kerajaan bersetuju mempelawa sembilan buah syarikat untuk menyertai Tender JPJ(S) T.6/2006: Request For Proposal For The Implementation Of Automated Enforcement System di mana kesemua syarikat ini merupakan peneraju utama dalam pelaksanaan sistem AES di negara-negara yang dilawati dan lain-lain negara pada masa itu, termasuk Commercial Circle (M) Sdn Bhd,  (A.T.E.S Sdn Bhd) (dengan Robot dari Germany), Beta Tegap Sdn Bhd (dengan Redflex dari Australia) dan TESS CAPITAL Sdn. Bhd. (dengan Poltaich dari Australia);
Bagaimanakah penilaian dibuat?
Setiap syarikat perlu mengadakan ujian 'live demonstration'. Hanya enam syarikat menyertai ujian ini. Ujian ini mengambil masa lebih sebulan di Putrajaya, Shah Alam dan Lebuh raya Guthrie bermula Jun 2007 hingga Julai 2007. Ia melibatkan demonstrasi keupayaan sebenar sistem yang ditawarkan oleh pembekal teknologi mengesan kesalahan melanggar lampu isyarat dan melebihi had laju, khususnya kadar pengesanan kesalahan dan ketepatan pengesanan.



Apakah kriteria penting dalam pemilihan ini?

Kriteria terpenting dan kritikal yang dinilai adalah imej yang dirakam hendaklah berupaya dijadikan bahan bukti yang diterima di mahkamah. Daripada penilaian ujian tersebut hanya dua buah pembekal teknologi sahaja yang melepasi kelayakan teknikal yang dinilai.


Siapakah anggota penilai tersebut?

Ia dilakukan oleh Jawatankuasa Teknikal terdiri daripada Miros, SIRIM Berhad, Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan (MAMPU), Jabatan Peguam Negara, Kementerian Dalam Negeri (KDN), Kementerian Kerja Raya (KKR), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Puspakom Sdn Bhd, Lembaga Lebuh raya Malaysia (LLM), Jabatan Kehakiman serta disaksikan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Audit Negara.


Bagaimana pembayaran dibuat terhadap dua syarikat pengendali ini?

Bayaran dibuat sangat unik. Ada tiga peringkat pembayaran. Inilah cara untuk mengawal dan memberi insentif kepada mereka. Yang pertama, RM16 kepada setiap satu saman yang dikeluarkan. Saman itu hanya terhad kepada lima juta saman dikeluarkan. Tetapi ia perlu sampai kepada RM80 juta. Sebagai contoh, saman yang dikeluarkan berjumlah 100 saman. Tetapi hanya 10 pengguna yang membuat bayaran dan ia berjumlah RM3000. Jadi syarikat ini akan menerima RM1600.


Mengapa RM16 diberikan setiap satu saman?
RM16 adalah bayaran keseluruhan perkhidmatan mereka. Ia merangkumi caj percetakan kertas sama, kos penghantaran pos, penyelenggaraan, sewaan dan macam-macam lagi.



Adakah benar dua syarikat ini menggunakan kenderaan yang menyerupai JPJ?

Memang benar. Mereka dibekalkan sebanyak 250 unit kenderaan yang lengkap dengan mobile kamera. Kenderaan ini beroperasi di kawasan-kawasan kemalangan yang tiada infrastruktur seperti bekalan elektrik, liputan komunikasi dan sebagainya. 


Bolehkah pengguna menyemak data saman mereka menerusi atas talian?

Boleh. Mereka hanya perlu membuka laman web rasmi JPJ dan menyemak status mereka sama ada ada saman AES atau tidak.


Bagaimana jika pengguna sudah berpindah dan surat saman tidak akan sampai kepada mereka?

Setiap rakaman  akan dihantar kepada bilik gerakan JPJ. Di situ, mereka akan melihat data nombor pendaftaran kenderaan terbabit. Saman akan dihantar menerusi pendaftaran pos. selain itu, pihak ATES akan menyemak status alamat terkini, di bawah sistem ‘my identity’ yang dikongsi empat jabatan iaitu Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Pengangkutan Jalan dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN). Semasa pengguna memperbaharui cukai jalan dan tertera alamat terkini, ia akan dikongsi jabatan lain. Begitu juga sebaliknya memperbaharui cukai jalan setiap tahun. Pengguna tidak boleh tidak boleh terima kerana tanggungjawab mereka untuk memaklumkan kepada kita mengenai hal ini. Saman dihantar menerusi penghantaran pos berdaftar, bukan pos biasa.

0 comments:

Post a Comment

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More