Sunday, December 16, 2012

Guru Agama mengaku 'Nabi' Ditahan



JAKARTA – Polis Indonesia menahan seorang guru agama berumur 48 tahun di daerah Kutai Timur, Kalimantan Timur, selepas dia mengaku dirinya ‘nabi’.

Polis percaya lelaki itu yang mengetuai kumpulan dikenali Rantau Bemban, telah memperdayakan pengikutnya untuk memberinya wang dan membenarkannya tidur dengan isteri mereka.

Majlis Ulama Indonesia (MUI) telah mengisytiharkan kumpulan itu sebagai kumpulan ajaran sesat, manakala polis sedang menimbangkan untuk mendakwa lelaki itu dengan pertuduhan menipu dan murtad, menurut laporan akhbar berbahasa Inggeris, Jakarta Globe pada Sabtu.

Kini lelaki itu menghadapi pertuduhan menipu dan menggelapkan wang. Siasatan mendapati pengikut Rantau Bemban diminta memberi wang kepada lelaki itu untuk membersihkan dosa dan jika mereka tidak mampu berbuat demikian, mereka perlu membenarkannya tidur dengan isteri mereka sebagai cara untuk membersihkan dosa.


Setakat ini seorang lelaki membuat laporan mendakwa diperdaya oleh guru agama itu untuk membayar Rp170 juta bagi membersihkan dosanya dan polis percaya puluhan lagi pengikutnya telah membenarkan isteri mereka tidur dengan lelaki itu bagi tujuan membersihkan dosa. – Bernama

0 comments:

Post a Comment

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More