Sunday, July 14, 2013

Kes Rusuhan Kaum Di Klang Polis Kenalpasti Penyebar Info Palsu

Kes Rusuhan Kaum Di Klang Polis Kenalpasti Penyebar Info Palsu | Seperti yang kita ketahui, ketika ini sedang tersebar luas melalui media berkenaan isu perkauman melibatkan kaum India dan kaum Melayu. Namun, perkara ini dinafikan oleh pihak berkuasa PDRM. Isu ini disensasikan lagi dengan ayat provokasi apabila dua kumpulan berbeza yang bergaduh digelar mengikut kaum iaitu kaum India dan kaum Melayu. Ikuti laporan penuh dibawah

Kes Rusuhan Kaum Di Klang

KLANG – Polis sedang menjejaki individu yang menyebarkan maklumat palsu kononnya berlaku rusuhan kaum di kawasan Klang Utara, susulan tiga insiden pergaduhan sejak Rabu lalu termasuk dua kejadian di Flat Rebana, Bandar Baru Bukit Raja serta serangan di Sungai Pinang, di sini, awal pagi, semalam.

Pemangku Ketua Polis Selangor, Datuk A Thaiveegan berkata, penyebaran khabar angin rusuhan kaum itu melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) serta beberapa laman sosial termasuk Facebook adalah tidak berasas dan boleh menimbulkan kegusaran di kalangan masyarakat.

Katanya, ketiga-tiga kejadian berlaku pada Rabu, Khamis serta semalam adalah tiga kejadian berasingan dan tiada kaitan antara satu sama lain.

“Perbuatan ini (sebar) adalah tindakan tidak bertanggungjawab, kerana ketiga-tiga kejadian itu adalah kejadian berlainan.

“Tiada rusuhan kaum seperti didakwa kerana daerah ini aman serta berada dalam keadaan baik. Kita bagi amaran kepada mereka terlibat untuk hentikan segera perbuatan itu,” katanya pada sidang akhbar, semalam.

Menurutnya, polis sedang mengenal pasti individu terlibat dan jika ditahan boleh dikenakan tindakan di bawah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Seksyen 233 (1) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Katanya, sesiapa mempunyai maklumat atau ada sebarang kemusykilan diminta segera berhubung dengan polis dan jangan bertindak sendiri.

“Beri kerjasama kepada polis kerana kita memandang serius perkara ini dan berusaha untuk mengawal situasi yang berlaku,” katanya.

Kelmarin, maklumat tersebar mendakwa kononnya kaum India beramai-ramai berkumpul di satu lokasi untuk menyerang kaum Melayu dan serangan dikatakan bermula dari Jalan Haji Manan, Kapar, di sini, sehingga ke kawasan berhampiran.

Mengulas berhubung pergaduhan antara dua kumpulan di Flat Rebana pada malam Khamis lalu, Thaiveegan berkata, insiden itu sebenarnya berpunca daripada salah faham ekoran satu kemalangan membabitkan sebuah motosikal dan kereta pada hari sebelumnya di Jalan Sungai Keramat.

Katanya, berlaku perang mulut sebelum kumpulan lelaki yang menaiki kereta memukul seorang daripada mangsa yang menunggang motosikal.

Menurutnya, mangsa yang tidak berpuas hati memanggil rakan-rakannya sebelum menyerang kumpulan lelaki yang memukulnya di kawasan flat terbabit.

Katanya, polis bagaimanapun sudah menahan tiga suspek yang disyaki terbabit dalam kejadian berkenaan.

Thaiveegan berkata, pihaknya turut menahan dua lelaki berusia 24 dan 32 tahun di sekitar Sungai Pinang, di sini, kira-kira jam 4.30 pagi, semalam, selepas mereka bersama lapan lagi rakan dikenal pasti menyerang tiga lelaki berusia 20-an menggunakan parang dan kayu besbol di kawasan sama dua jam sebelum itu.

Menurutnya, kes itu juga bukan bermotifkan perkauman tetapi berkaitan dendam lama kerana kumpulan menyerang mencari suspek yang membakar motosikal milik rakan mereka pada Februari lalu. - Sinar

Semoga tiada kejadian yang tidak diingini berlaku

0 comments:

Post a Comment

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More