Monday, October 1, 2012

Bisikan Syaitan : Penyakit Rasa Rendah Diri Umat Islam

Bisikan Syaitan : Penyakit Rasa Rendah Diri Umat Islam

Surah Al Baqarah [2] : [255]

.....(Allah) yang mengetahui apa yang ada di hadapan mereka dan apa yang ada di belakang mereka, sedang mereka tidak mengetahui sesuatu pun dari (kandungan) ilmu Allah melainkan apa yang Allah kehendaki (memberitahu kepadanya).

Bisikan Syaitan

Syaitan itu membisikkan tipu daya kepada manusia. Firman Allah Subhana wa Ta’ala;

Terjemahan : Surah Al-An'aam [6] : 112
Dan demikianlah Kami jadikan bagi tiap-tiap Nabi itu musuh dari syaitan-syaitan (dari jenis) manusia dan jin, setengahnya membisikkan kepada setengahnya yang lain (dengan) kata-kata dusta yang indah-indah susunannya untuk memperdaya pendengarnya...

Antara bisikan dan tipu daya syaitan kepada manusia adalah menampakkan kekuatan, kehebatan dan pengaruh yang besar orang-orang kafir kepada umat Islam sehingga umat Islam terjajah pemikirannya. Firman Allah Subhana wa Ta’ala;

Terjemahan : Surah ‘Ali Imran [3] : 175

Sesungguhnya mereka itu tidak lain hanyalah syaitan yang menakut-nakuti (kamu) dengan kawan-kawannya (orang-orang musyrik Quraisy), oleh itu janganlah kamu takut kepada mereka tetapi takutlah kepada-Ku jika kamu benar-benar orang yang beriman. (Tafsir Ibnu Katsir)

(Tambahan : Walaupun terjemahan dari tafsir di atas (Ibnu Katsir) menulis ‘orang-orang musyrik Quraisy’, tetapi dalam konteks sebenarnya ia merangkumi sesuatu yang umum yang bermaksud; kawan-kawan syaitan itu termasuklah semua orang-orang kafir, munafik dan yang seumpama dengan mereka.)

Ditanamkan Rasa Takut Dalam Hati

Syaitan menanamkan rasa takut melalui bisikannya dalam hati manusia bahawa dia (syaitan) dan para pengikutnya termasuk dari kalangan manusia (orang-orang kafir dan munafik serta yang seangkatan dengan mereka), memiliki kekuatan dan pengaruh yang boleh melemahkan umat Islam.

Kita boleh melihat di sekeliling kita. Perhatikan nasib umat Islam di negara kita masing-masing. Perhatikan juga nasib umat Islam di seluruh dunia. Betapa Islam dan umat Islam sekarang dihina, ditindas, difitnah dan diperbudak-budakkan sewenangnya dan kita berasa takut kepada mereka dan tidak ada negara yang bangun menyahut seruan penyatuan negara Islam untuk mempertahankan kembali Islam dan umatnya yang ditindas, dibunuh dan diperbodohkan.

Mungkin persoalan negara terlalu luas, jadi perhatikan tempat kerja kita, sekolah kita, ekonomi, taraf hidup dan masyarakat kita umumnya, tidakkah anda berasa takut dan gentar pada mereka? Bisikan syaitan ini mengakibatkan umat Islam telah hilang semangat jihad, persaingan dan rasa kasih sayang sesama sendiri.

Bukan itu sahaja, syaitan juga telah ‘memperlihatkan’ kepada umat Islam akan kebaikan akhlak pengikut-pengikutnya sehingga umat Islam mencerca dan merendahkan umat Islam yang lain kononnya akhlak ‘pengikut syaitan’ itu lebih baik dari umat Islam. (Maksudnya syaitan membimbing’ orang-orang kafir kepada akhlak yang baik dan membisikkan umat Islam kepada akhlak yang keji).

Sedangkan perbuatan mencerca dan merendahkan sesama umat Islam itu adalah dilarang oleh Islam dan dapat menjejaskan keimanan. Larangan ini sangat jelas dalam Al-Quran dan hadis;

Terjemahan : Surah Al-Hujuraat [49] : 11

11. Hai orang-orang yang beriman, janganlah sekumpulan orang laki-laki merendahkan kumpulan yang lain, boleh jadi yang ditertawakan itu lebih baik dari mereka. Dan jangan pula sekumpulan perempuan merendahkan kumpulan lainnya, boleh jadi yang direndahkan itu lebih baik....

Hadis : Dari Abu Hurairah r.a : Rasulullah saw bersabda, “Seorang Muslim adalah saudara Muslim lainnya, tidak (boleh) menzaliminya, menghinanya dan merendahkannya. Takwa itu disini, takwa itu disini, takwa itu disini (sambil ditunjukkan ke dada beliau (saw) dan diulang sebanyak tiga kali yang menunjukkan kepentingannya).

Cukuplah seseorang berbuat keburukan dengan merendahkan saudaranya yang Muslim. Setiap Muslim haram darah, kehormatan dan hartanya atas Muslim lainnya.” [2958] Sahih Muslim – At Targhib

Ini tidak lain tidak bukan hanyalah perangkap syaitan kepada umat Islam agar mereka memandang rendah sesama mereka dan memandang tinggi kepada para pengikut syaitan. Dalam sebuah hadis yang lain;

Hadis : Dari ‘Iyadh Ibnu Himar r.a : (Diringkaskan dari perintah agar umat Islam itu tawadhu’ dan tidak sombong. Kemudian ditanya sekiranya seseorang Muslim yang menghina Muslim lain dan saling membalas penghinaan), Rasulullah saw bersabda, “Dua orang yang saling menghina adalah dua syaitan yang saling memburukkan dan saling mendustakan.” [330] Sahih Bukhari dan Muslim – Adabul Mufrad

Umat Islam Umat Yang Terbaik

Begitu besar fitnah ini kepada umat Islam, oleh kerana itulah Allah Subhana wa Ta’ala berfirman dalam ayat yang sama di atas;

‘...oleh itu janganlah kamu takut kepada mereka tetapi takutlah kepada-Ku jika kamu benar-benar orang yang beriman’ (Terjemahan : Surah ‘Ali Imran [3] : 175) yang bermaksud, apabila kita ditakuti maka hendaklah bertawakal dan berlindung kepada Allah kerana cukuplah Allah sebagai Pelindung dan Penolong kepada umat Islam sebagaimana firmannya dalam Surah Az-Zumar [39] : 36. (Tafsir Ibn Katsir)

Oleh itu janganlah kita berasa takut kepada orang kafir kerana kita adalah umat pilihan, umat Nabi Muhammad SAW yang merupakan umat yang terbaik. Ini adalah janji Allah Ta’ala kepada umat Islam. Berdasarkan firman Allah Subhana wa Ta’ala;

Terjemahan : Surah Ali 'Imran [3] : 110

110. Kamu (umat Nabi Muhammad SAW) adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang ma'ruf, dan mencegah dari yang mungkar, dan beriman kepada Allah.

Tidak ada cara lain untuk menjadikan umat Islam umat yang terbaik kecuali umat Islam tetap berpegang kepada Al-Quran dan Al-Sunnah dengan kefahaman yang sebenar, iaitu dengan mencontohi zaman kegemilangan Islam, iaitu zaman generasi terbaik yang disabdakan oleh Nabi Muhammad saw;

Daripada Abdullah bin Mas’ud r.a : Rasulullah saw bersabda, “Manusia terbaik adalah; yang semasa dengan ku (zaman Nabi saw), kemudian generasi yang dekat dengan mereka, kemudian kaum yang datang setelah itu, yang keimanan mereka mendahului kesaksian mereka atau kesaksian mereka (mendahului) keimanan mereka.” [3859] Sahih At-Tirmidzi

Antaranya;

1. Menyayangi Allah dan Rasul-Nya melebihi apa sahaja yang disayangi dari muka bumi ini.

2. Berusaha meletakkan Al-Quran dan Al-Sunnah di tempat paling tinggi dari semua undang-undang atau hukum ciptaan manusia di muka bumi ini; serta berusaha menjadikan Al-Quran dan Al-Sunnah di tempat tertinggi dari mana-mana perkataan manusia di muka bumi ini.

3. Membentuk diri dengan menjadikan sunnah Rasulullah saw suatu kebiasaan dalam rutin kehidupan terutamanya dalam bab ibadah.

4. Sentiasa mengamalkan ihsan serta sentiasa menghidupkan niat jihad di jalan Allah.

5. Berusaha dalam menyatukan umat Islam, saling menyayangi, bantu membantu, nasihat menasihati serta saling menjaga kepentingan dan kehormatan bersama.

6. Berusaha dan bersatu menyampaikan kebenaran Islam, menyeru kepada keadilan (baik kepada individu, masyarakat dan pemerintah) serta sanggup berkorban kerana menegakkan Islam.

7. Mengelakkan dari terlibat dalam kancah perselisihan umat Islam yang dahsyat seperti yang diisyaratkan oleh Nabi Muhammad saw. Sila rujuk risalah – ‘Perselisihan Umat Islam’ (

8. Bangun malam (solat tahajjud).

9. Mentaati pemimpin dan sentiasa mendoakan kesejahteraan negara serta berdoa agar pemimpin diberi petunjuk dan hidayah untuk menegakkan syiar Islam.

10. Meningkatkan taraf hidup dari segi ekonomi dan ilmu pengetahuan.

Ini adalah antara sepuluh contoh tauladan dari golongan yang terbaik seperti yang disabdakan oleh Rasulullah saw dalam hadis di atas yang mana ia perlu untuk dijadikan contoh oleh umat Islam masa kini dalam memerangi bisikan syaitan yang menimbulkan perasaan rasa rendah diri umat Islam terhadap orang kafir.

Terjemahan : Surah Ali 'Imran [3] : 110

110. Kamu (umat Nabi Muhammad SAW) adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia..... .

Wallahu’alam

Rujukan :

1. 133 Wira Terbilang Zaman Rasulullah SAW [Abu Mazaya Al-Hafiz]

2. Sifat Dan Ciri-Ciri Seorang Muslim [Syeikh Muhammad Fauzi] – Dikeluarkan oleh Jabatan Mufti Kerajaan Negeri Sembilan

3. Sejarah Pemikiran 1 (Sumber Ilmu, Perbandingan Ideologi dan Orde Baru Dunia) [Dr. Sulaiman Noordin]

4. Dan lain-lain.


0 comments:

Post a Comment

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More