Wednesday, October 31, 2012

Tipu Pengundi Dalam Pilihan Raya AS



Pertembungan sengit antara Presiden Barack Obama dan pencabarnya, Mitt Romney untuk merebut undi Electoral College atau Kolej Pemilih di sembilan negeri termasuk Florida, mencapai tahap mendidih dengan dakwaan penipuan pendaftaran pengundi.

Sebuah firma yang dilantik oleh parti Republikan didakwa bertanggungjawab melakukannya dan didapati telah meluas sehingga ke lapan county di negeri yang menawarkan 29 undi Pemilih ini, setelah siasatan awal dilancarkan terhadap aduan rasmi pertama dilaporkan minggu lalu.

Kes tersebut mendorong parti Republikan menamatkan khidmat firma Strategic Allied Consulting, Isnin lalu selepas pegawai mendapati wujud maklumat palsu pada borang pendaftaran yang dikumpul oleh firma itu di county Palm Beach.


Menurut laporan akhbar, Jawatankuasa Kebangsaan Republikan (RNC) pada asalnya telah mengarahkan cawangan parti di Florida, Nevada, Colorado, Virginia dan North Carolina untuk melantik firma tersebut bagi membantu usaha pendaftaran pengundi. Dana sebanyak AS$3 juta (RM9.6 juta) secara keseluruhannya diperuntukkan kepada cawangan parti di peringkat negeri untuk membayar khidmat firma tersebut.

Skandal terbaru itu mendorong RNC untuk memecat Strategic Allied Consulting dan mengarahkan empat negeri terbabit supaya turut berbuat demikian.

Pegawai pilihan raya negeri menganggarkan terdapat beratus-ratus borang pendaftaran telah diisi dengan maklumat tidak tepat, di Florida yang mempunyai 11.5 juta pengundi yang berdaftar.

Sejurus kes tersebut timbul, parti Republikan Florida memfailkan aduan penipuan pilihan raya kepada Bahagian Pilihan Raya Florida.



Setiausaha Akhbar kepada Setiausaha Negeri Ken Detzner iaitu Chris Cate berkata, agensi tersebut telah memanjangkan aduan tersebut kepada pihak berkuasa negeri.

Aduan tersebut menyatakan kesalahan pendaftaran pengundi di Palm Beach  dan empat lagi county.

Cate berkata, pihaknya telah menerima aduan membabitkan keseluruhan lapan county setakat Jumaat lalu.

Menurut pegawai Republikan, masalah di Palm Beach itu berpunca daripada seorang petugas. "jika anda ada seorang petugas yang kami gelar memiliki etika rendah, maka wujud dorongan untuk melakukan perkara perkara seumpamanya", kata pengerusi Republikan Palm Beach, Sid Dinerstein.

Beliau berkata, terdapat kira-kira100 borang pendaftaran yang terjejas, sesetengahnya didapati memiliki tandatangan palsu dan maklumat tidak benar, seperti alamat palsu.

Setakat ini ujar beliau, tidak dipastikan sama ada maklumat palsu dari borang yang disyaki itu telah dimasukkan ke dalam senarai rasmi pengundi Florida.

Gejala di Florida itu adalah sebahagian daripada aduan berkaitan penipuan mengundi yang disifatkan oleh pemerhati sebagai makin menjadi-jadi terutama ketika tidak sampai enam hari sahaja lagi tarikh hari mengundi.

"Usaha-usaha untuk memesong, memeras atau menekan pengundi semakin banyak dilaporkan. Ia dilakukan bertujuan untuk menghalang rakyat Amerika yang layak daripada mengundi," kata jurucakap Jawatankuasa Peguam bagi Hak Asasi Mengikut Undang-undang, Eric Marshall.

Satu kes luar biasa membabitkan aduan tentang panggilan telefon daripada wakil yang mendakwa dari firma Vote USA bahawa orang ramai boleh mengundi menggunakan telefon.
Kes tersebut juga dalam siasatan kerana didakwa boleh memesongkan orang ramai terutama, warga emas atau cacat yang menyangka mereka telah mengundi menerusi telefon, yang sebenarnya undi tersebut tidak dikira malah tiada dalam undang-undang. 

0 comments:

Post a Comment

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More