JAKARTA - Seramai 27 daripada 129 kanak-kanak yang dilaporkan hilang kepada Suruhanjaya Perlindungan Kanak-Kanak Kebangsaan (KOMNAS PA) dipercayai diculik selepas bertemu penjenayah menerusi Facebook, kata pengerusi kumpulan itu, Arist Merdeka Sirait.
Salah seorang daripada mereka berkenalan dengan penculik menerusi laman web sosial itu ditemui mati manakala ada sekurang-kurangnya tujuh laporan penculikan gadis oleh lelaki yang mereka temui di Facebook.
Walaupun tiada data kukuh, polis dan kumpulan bantuan yang bertanggungjawab menangani isu penyeludupan manusia berkata ia menjadi masalah besar di negara itu.
Mungkin Indonesia adalah negara yang unik. Sebaik laporan mula diterima, anda akan tahu ia memang berlaku di banyak negara. Internet adalah antara medium global. Ia tidak membezakan antara kaya dan miskin. Ia tidak membezakan antara ekonomi atau budaya negara, kata pegawai program yang bertanggungjawab ke atas isu perlindungan kanak-kanak online, Anjan Bose.
Laman web yang mengesan media sosial berkata, Indonesia mempunyai hampir 50 juta penduduk yang mempunyai akaun Facebook dan menjadi antara negara paling ramai pengguna selepas Amerika Syarikat.
Ramai golongan muda Indonesia, dan ibu bapa mereka tidak sedar mengenai bahaya membenarkan orang asing melihat maklumat peribadi secara online. Remaja kerap menyiarkan gambar dan maklumat peribadi seperti alamat rumah, nombor telefon, sekolah dan tempat yang kerap dikunjungi tanpa menggunakan penetapan peribadi, membolehkan sesiapa saja menemui mereka dan mengetahui segala-galanya mengenai mereka.
"Kita bergelut dengan masa dan kegilaan teknologi mengenai Facebook menjadi aliran di kalangan remaja di sini. Polis perlu bertindak pantas atau lebih ramai remaja perempuan akan menjadi mangsa," kata Sirait. - Berita Harian
0 comments:
Post a Comment