Tuesday, October 2, 2012

Hadis dan Sunnah

Pengertian Hadis Menurut Bahasa

Hadis menurut bahasa adalah baru (al-Hadits), lawan kepada (al-Qodim) yang bermaksud lama. Hadis juga bersifat baru kerana keluar lafaznya dari mulut Rasulullah saw. Di dalam Al-Quran diterangkan diterangkan perkataan-perkataan hadith, hadithan dan ahadith yang mempunyai pelbagai maksud, antaranya;

(a). Perkataan [Al-Nisaa’ : 87]

(b). Peristiwa [Al-Tahrim : 3]

(c). Mimpi [Yusuf : 101]

(d). Al-Quran [Al-Kahfi : 6]

Dengan itu hadis dari segi bahasa mengikut Al-Quran, antaranya adalah;

(a). Perkataan atau kisah yang keluar dari mulut.

(b). Peristiwa atau cerita mengenai sejarah.

(c). Ditujukan kepada Al-Quran sebagai wahyu atau Kalam Allah.

(d). Perkhabaran atau berita yang berhubung dengan soal keagamaan, kehidupan, peristiwa zaman silam, masa kini dan masa akan datang.

Pengertian Hadis Menurut Istilah

Dari segi istilah para muhaddithin telah mengemukakan pelbagai pendapat mengenainya namun tiada percanggahan antara satu sama lain kecuali jika ada sesuatu sebab yang khusus mengenainya. Antaranya;

(a). Hadis ialah segala apa sahaja yang dinisbahkan pada Nabi Muhammad saw dari segi perkataan, perbuatan, taqrir atau sifat samada fizikal atau akhlak dan sirah samada sebelum dan selepas menjadi Rasul.

(b). Hadis juga ialah segala apa yang dinisbahkan kepada Nabi Muhammad saw atau sahabat atau tabiin termasuk juga apa yang dinamakan hadis marfu’, mauquf dan maqtu’.

Perbezaan Antara Hadis dan Sunnah

Sunnah dari segi bahasa bermaksud jalan atau sirah samada terpuji atau tercela. Lawan bagi perkataan sunnah adalah bidaah. Mereka yang mengikuti sunnah dipanggil orang yang mengikuti jalan yang lurus dan terpuji, manakala mereka yang berpaling dari sunnah adalah pembuat bidaah dan tercela.

Sunnah dari sudut istilah pula terbahagi kepada beberapa pendapat ilmuwan berdasarkan pengkhususan ilmu mereka, antaranya;

(a). Ulama Usul Fiqh – Sunnah adalah kata-kata, perbuatan dan taqrir. Mereka mengkaji hadis sebagai sumber hukum syariat seperti wajib, haram, sunat, harus dan makruh.

(b). Ulama Fiqh – Sunnah adalah perkara-perkara sunat yang apabila dilakukan akan mendapat pahala dan meninggalkannya tidaklah berdosa.

(c). Ulama Kalam – Sunnah adalah antonim bagi bidaah. Mereka yang berpaling dari sunnah dianggap sebagai pembuat bidaah.

(d). Ulama Hadis – Sunnah adalah apa juga yang disandarkan kepada Rasulullah saw dari segi perkataan, perbuatan, perakuan, sifat fizikal dan akhlak samada sebelum dilantik menjadi Rasul atau sesudahnya.

Takrif yang diberikan oleh ulama hadis lebih diberi keutamaan kerana ia merangkumi seluruh kehidupan Rasulullah saw. Sunnah dalam pengertian ini adalah sama dengan maksud al-hadis. Kesimpulannya pada hakikatnya al-Hadis dan al-Sunnah mengandungi pengertian yang sama dan jika ada perbezaan hanya pada istilah dan skop pemakaiannya sahaja.


0 comments:

Post a Comment

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More