Friday, November 2, 2012

TRAUMA ANAK DICULIK!

MACHANG : “Nyawa saya seolah-olah melayang apabila anak dilarikan penjenayah dalam kes samun awal pagi tadi.

“Kami benar-benar takut anak akan diapa-apakan penjenayah, lantas saya nekad menaiki kereta bersama anggota polis yang kebetulan sedang solat di masjid yang sama bagi mengejar penjenayah itu,” cerita bapa bayi yang dilarikan penjenayah bersama kereta miliknya di Paloh, Gua Musang, pagi semalam.

Rizal Harun, 28, berkata, ketika kejadian kira-kira jam 6.30 pagi itu, dia bersama isterinya, Siti Norhafiza Omar, 27, berhenti rehat untuk menunaikan solat Subuh di Masjid Paloh, Gua Musang, sebelum meneruskan perjalanan ke Putrajaya dari Melor, Kota Bharu.

Katanya, anak mereka, Muhammad Haikal Harraz, ditidurkan di tempat duduk belakang apabila tiba-tiba penjenayah terbabit menyerbu dan mengacukan pistol ke arahnya serta isteri sebelum bertindak menyuruh mereka keluar.


“Penjenayah mengugut agar kami keluar dari kenderaan jika tidak mahu mati.

“Sebelum keluar, isteri cuba mengambil bayi kami namun ditegah dan dia terus memandu kereta.

“Saya meminta pertolongan orang ramai yang berada di dalam masjid itu.

“Mujurlah ada anggota polis di situ dan kami segera mengejar penjenayah tersebut namun tidak berjaya.

“Sejam kemudian, saya mendapat berita, dia mati ditembak di Machang selepas berbalas tembakan dengan polis,” katanya.

Rizal berkata, mereka tinggal di Putrajaya dan pulang berhari raya bersama keluarga di Melor dan Laloh, Kuala Krai.

Sementara itu, Siti Norhafiza berterima kasih kepada polis dan orang ramai yang bertungkus lumus menyelamatkan anaknya.

Katanya, dia bersyukur anak lelakinya berjaya diselamatkan dalam masa sejam selepas kejadian namun masih trauma akibat kejadian tersebut.

Dia yang kelihatan sugul, memegang erat anaknya sebaik tiba di Hospital Machang dari Gua Musang.Difahamkan, anak Siti Norhafiza itu tidak berhenti menangis hampir sejam sebelum ditenangkan jururawat Hospital Machang yang menjaga buat sementara waktu sebelum ibu bapanya tiba.

“Terima kasih kepada semua yang terlibat menyelamatkan anak saya. Kami tidak kisah pasal kereta, namun kehilangan anak benar-benar menakutkan saya,” katanya.

Penjenayah terbabit, yang berusia dalam lingkungan 30-an mati ditembak ketika menyerang pasukan polis selepas kereta yang dinaikinya terbabas melanggar pembahagi jalan di simpang tiga Kemuning, dekat sini.

Seorang anggota polis, Mat Raduan Mat Hassan, 50, turut cedera pada kejadian itu apabila terkena tembakan di bahagian tangan dan rusuk kanan.

Kelmarin, penjenayah yang sama turut menembak anggota polis, Mohd Shamsul Anuar Mohd Adnan, 27, yang cuba mengejarnya bersama seorang rakan yang dipercayai baru sahaja menyamun dua kereta dan wang tunai di sebuah rumah di Taman Tropika di bandar Gua Musang.

Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim berkata, kumpulan berkenaan amat berbahaya dan melakukan sekurang-kurangnya empat kes samun dan satu kes curi kereta, baru-baru ini selain sembilan kes lampau termasuk mengedar dadah. – Sinar Harian

0 comments:

Post a Comment

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More