Monday, December 3, 2012

Nik Aziz: ‘Saya masih sihat dan mampu tadbir negeri’



KOTA BHARU – Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat kecewa dengan tindakan pihak tertentu yang menyebarkan khabar angin yang mengatakan beliau dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) di sebuah hospital swasta di sini, Rabu lalu.

Nik Abdul Aziz mengulas bahawa, setakat ini beliau berada dalam keadaan baik dan kesihatannya juga tidak terganggu biarpun sibuk dengan pelbagai tugasan mahupun baru sahaja selesai dengan Muktamar Tahunan Pas kali ke-58 baru-baru ini.

Beliau turut menyifatkan, tindakan menyebarkan berita mengenai kesihatannya yang tidak betul itu adalah satu ikhtiar terakhir (fitnah) oleh pihak tertentu terhadap dirinya.

“Itu ikhtiar (tuduhan) yang paling akhir oleh orang yang tiada ikhtiar. Saya sihat dan sekarang ini pun saya masih lagi sihat.

“Saya masih sihat dan mampu meneruskan kerja-kerja pentadbiran negeri,” ujarnya dalam nada gembira ketika ditemui media di JKR 10 di sini, semalam.

Beliau berkata demikian bagi menjawab persoalan mengenai tahap kesihatannya setelah terdapat pihak tertentu termasuk blog melaporkan Mursyidul Am Pas tersebut menerima rawatan di ICU.

Terdahulu beliau menerima kunjungan rombongan dari Singapura dan pelakon Indonesia, Meyda Sefira yang membintangi filem Ketika Cinta Bertasbih serta selebriti terkenal, Heliza Helmi di kediaman rasminya sebelum mengadakan Hari Hiburan Islam di sini pada waktu malam.

Penjelasan Nik Abdul Aziz tersebut juga sekali gus menafikan kesahihan laporan sebuah blog Rabu lalu yang memaparkan berita beliau dikejarkan ke sebuah hospital swasta kira-kira jam 6.30 pagi kerana serangan sakit jantung.

Memetik laporan tersebut, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi  Awang dan Pengerusi Umno Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed juga turut melawat Nik Abdul Aziz yang dirawat di hospital berkenaan.

Pada Rabu yang lepas ketika desas-desus mengenai kesihatan Nik Abdul Aziz tersebar sedangkan pada sebelah paginya beliau mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri.

Nik Abdul Aziz, 81 tahun, yang memegang jawatan Menteri Besar sejak 1990 mempunyai masalah kesihatan jantung, darah tinggi dan gastrik.

Pada Ogos 2010, Nik Abdul Aziz menerima rawatan di Hospital Universiti Sains Malaysia kerana saluran jantungnya tersumbat, manakala pada 8 Disember lalu beliau juga dimasukkan ke hospital melebihi lima hari disebabkan masalah tulang belakang.

Kemudian beliau dimasukkan ke hospital sama, pada bulan yang sama selepas mengadu mengalami keletihan dan pada penghujung September tahun ini beliau dinasihatkan berehat beberapa hari di HUSM

Admin : Sama-sama kita doakan kesihatan Tok Guru Nik Aziz.....
Sumber asal : forblogger.net

0 comments:

Post a Comment

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More