Tuesday, November 13, 2012

Dewan Ulama Pas Tiada Taring Lagi, Nik Aziz Hilang Punca



Dewan Ulama Pas dilihat semakin hilang ketulenannya dan ciri-ciri ulama sebenar sehingga tidak lagi sensitif terhadap isu melibatkan soal akidah umat Islam di negara ini.

Bekas Ahli Jawatankuasa Dewan Ulama Pas Pusat, Prof. Madya Mohd. Noor Deris berkata, adalah sangat mengecewakan apabila kepimpinan dewan itu tidak sanggup membuat kenyataan tegas mengenai isu akidah yang dibangkitkan oleh Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar apabila menyerahkannya kepada orang ramai untuk membuat penilaian.


Beliau berkata, kenyataan Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Harun Taib itu jelas menunjukkan ulama Pas sekarang tidak lagi sensitif, tidak tegas dan tidak mengambil berat isu-isu melibatkan akidah umat Islam.

"Saya dukacita di atas kenyataan Dewan Ulama Pas itu. Saya merayu rakan-rakan dalam dewan itu supaya mempunyai pendirian dalam isu ini.

"Sekarang semakin jelas bahawa pemimpin Pas hatta Dewan Ulama Pas sendiri sudah terhakis akidah sehingga kata-kata atau kenyataan Nurul Izzah dipandang mudah, ringan dengan menyerahkannya kepada orang ramai untuk menilai.

"Keadaan ini berbeza sama sekali dengan kepimpinan ulama Pas terdahulu di mana mereka ada ketegasan dan sensitif terhadap kenyataan-kenyataan salah mengenai akidah," katanya di sini hari ini.

Semalam, Harun dalam reaksinya terhadap kenyataan Nurul Izzah berhubung orang Melayu perlu diberi kebebasan memilih agama, menyerahkan perkara itu kepada orang ramai untuk membuat penilaian.

Selain itu, kata Harun, terserah kepada pertimbangan Ahli Parlimen Lembah Pantai tersebut sama ada menarik balik kenyataannya yang penuh kontroversi itu atau tidak.

Mengulas lanjut pendirian dewan itu, Mohd. Noor berkata, Dewan Ulama Pas perlu kembali kepada al-Quran dan hadis serta tidak membiarkan sifat was-was dalam membuat kenyataan melibatkan soal akidah semakin menguasai mereka.

"Sekarang nampak seolah-olah Allah nak membuktikan kepada masyarakat supaya benar-benar faham perjuangan Pas masa kini yang bernafsu ke Putrajaya sehingga ajaran Islam pun dipandang ringan," katanya.

"Ini menyebabkan Dewan Ulama Pas termasuk Mursyidul Am, Datuk Nik Abduk Aziz Nik Mat menjadi hilang ketegasan mereka (dalam mempertahankan akidah umat Islam)," katanya.

0 comments:

Post a Comment

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More