Friday, November 2, 2012

Liyana Jasmay nyaris jadi mangsa Taufan Sandy


Pelakon, Liyana Jasmay, 24, tidak terkecuali berdepan detik cemas apabila New York dilanda Taufan Sandy, beberapa hari lalu.

Liyana, yang sedang melanjutkan pengajian dalam bidang pengarahan dan lakonan selama enam bulan di Akademi Filem New York (NYFA) sejak Julai lalu, sempat mengemas kini perkembangan dan keadaan dirinya di sana menerusi laman Twitter miliknya, @LiyanaJasmay.
"Saya terkejut kerana pada mulanya tidak menyangka bunyi dentuman kuat itu sebenarnya datang daripada sebatang pokok yang tumbang," - Liyana Jasmay, Pelakon
Menerusi laman sosialnya itu juga Liyana menceritakan pengalamannya berdepan keadaan mencemaskan itu kepada HIP.

Katanya, seperti kebanyakan kawasan lain yang dilanda ribut besar terbabit, tempat tinggalnya di Kips Bay terpaksa bergelap apabila bekalan elektrik terputus.

Dia yang ditemani ibu, Habsah Simpon, sepanjang berada di negara Uncle Sam itu turut dikunjungi kakaknya, Faradilla, saat berdepan situasi berkenaan. Keluarga mentua kakaknya juga sama-sama berada di New York ketika itu.


Saat ini, Liyana memberitahu, mereka terpaksa menginap di Hotel Lexington, di Midtown, sejak Rabu lalu demi keselamatan diri.
“Kawasan tempat tinggal saya, termasuk beberapa lagi tempat, turut terjejas. Kami terpaksa bergelap di rumah, malah lebih teruk ia turut mengganggu isyarat telekomunikasi. Kawasan tempat tinggal saya sudah seperti bandar kosong yang ditemani angin.

“Malah bahagian bumbung dan tingkap bilik tidur saya sendiri hampir ditimpa pokok tumbang. Saya memang berada dalam bilik ketika itu. Saya terkejut kerana pada mulanya tidak menyangka bunyi dentuman kuat itu sebenarnya datang daripada sebatang pokok yang tumbang.

“Bunyi itu membuatkan kami terjaga daripada tidur dan ketakutan. Keesokan harinya apabila kami periksa, pokok itu tumbang bersebelahan rumah. Tak dapat saya bayangkan kalau pokok itu jatuh atas tingkap, yang kesemuanya dibuat daripada kaca,” katanya.
Menurut bintang Khurafat ini, dia bersyukur apabila diri dan keluarganya selamat, serta tidak berdepan musibah besar. Tunang kepada Fathuddin Mazlan itu juga bercampur-baur - takut, gementar dan pada masa yang sama bersyukur - kerana tidak berdepan situasi cemas itu bersama ibunya saja. Sebaliknya, ada ahli keluarga lain bersama.

“Cuba bayangkan kalau saya dengan Mama saja berada di sini. Tapi Mama sendiri sangat tabah. Kami berdoa supaya sentiasa dilindungi Tuhan, begitu juga mereka yang berdepan situasi sama.

“Alternatif keluar dari rumah dan tinggal di hotel perlu dilakukan kerana mahu mendapatkan isyarat telekomunikasi dalam memastikan interaksi kami serta keluarga di Kuala Lumpur (KL) berterusan. Keluarga di KL termasuk babah (bapa), kakak dan abang risau dengan keadaan kami hingga tak dapat lelapkan mata.

“Babah sendiri sangat sedih kerana sempat menerima kiriman khidmat pesanan ringkas (SMS) terakhir sebelum kami terputus interaksi, selepas perkhidmatan telefon mengalami gangguan. Din (tunang) juga mengikuti perkembangan keadaan ini di CNN, selain berhubung dengan kakak saya,” katanya yang memberitahu, bekalan makanan mereka mencukupi.
Kata Liyana, ketika ini, pengajiannya tergendala seketika akibat bencana itu. Pelakon ini dijangka kembali ke ibu kota Disember depan, sekali gus menguruskan persiapan hari bahagianya, yang dijadualkan pada Januari 2013. - Berita Harian

0 comments:

Post a Comment

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More