Thursday, November 15, 2012

Agen Kejam, Jadikan Gadis Miskin Pelacur



Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesan puluhan sindiket pemerdagangan orang yang aktif ke luar negara mencari penduduk tempatan untuk direkrut menjadi orang tengah bagi membantu mereka ‘menjerat’ gadis-gadis miskin untuk dilacurkan di negara ini.

Warga asing yang bersekongkol dengan sindiket terbabit akan pergi ke kawasan perkampungan terpencil di negara mereka untuk mencari wanita berusia bawah 30 tahun yang miskin dan ditawarkan pekerjaan sebagai pembantu rumah dengan upah lumayan iaitu mencecah AS$5,000 (RM15,000) di Malaysia.

Selain ‘menggula-gulakan’ gadis miskin terbabit dengan tawaran gaji lumayan, sindiket juga membiayai dahulu tiket penerbangan dan kos membuat pasport dengan syarat bayaran balik secara bulanan dibuat selepas mangsa mendapat pekerjaan.

Mangsa yang berasal dari Vietnam, Kemboja, Thailand, China dan Indonesia hanya menyedari mereka ditipu setibanya di lapangan terbang negara ini, setelah sindiket memaklumkan pekerjaan ditawarkan sudah diisi oleh sekumpulan wanita asing lain yang tiba lebih awal sebelum itu.

Sindiket yang memegang pasport mangsa kemudian memberi tiga pilihan kepada wanita terbabit untuk membayar balik pinjaman kos perjalanan datang ke negara ini iaitu memilih bekerja sebagai gadis pelayan pelanggan (GRO), berkahwin dengan lelaki tua tempatan atau bekerja dengan ‘bapa ayam’ sebagai pelacur.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7), Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Abdul Jalil Hassan berkata, kegiatan merekrut rakyat asing untuk dijadikan pelacur dikesan bukan hanya membabitkan satu kumpulan sindiket tetapi terdapat puluhan sindiket yang menggunakan modus operandi sama.

Beliau berkata, kegiatan jenayah itu memberi keuntungan lumayan kerana separuh daripada bayaran khidmat seks daripada gadis-gadis dilacurkan itu diambil oleh sindiket.

“Sindiket mendapat keuntungan lumayan hasil kegiatan jenayah itu kerana mampu memperdaya dan membawa masuk sekurang-kurang lima wanita ke negara itu pada satu masa.

“Sindiket mengenakan bayaran antara RM150 hingga RM200 kepada setiap pelanggan yang mendapatkan khidmat seks daripada gadis-gadis yang dilacurkan dan mengambil separuh daripada bayaran tersebut," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman baru-baru ini.

Abdul Jalil berkata, walaupun memilih menjadi GRO di pusat-pusat hiburan atau berkahwin dengan lelaki tempatan, nasib wanita malang yang diperdayakan itu biasanya tetap berakhir menjadi pelacur.

Beliau berkata, ini kerana bidang kerjaya sebagai GRO menyebabkan mereka terjebak ke kancah pelacuran, manakala mangsa yang memilih berkahwin pula akan dilacurkan oleh suami.


0 comments:

Post a Comment

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More