Sunday, December 9, 2012

Melayu Pulau Pinang Kesal Sokong PR



PULAU PINANG  - Cadangan kerajaan mahu membina 20,000 unit rumah kos rendah dan projek monorel yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam dilihat bertepatan dengan kehendak dan keperluan rakyat di negeri ini.

Pengerusi Sekretariat Perhimpunan Melayu Pulau Pinang, Ifan Zaini Md. Tahar berkata, rakyat Pulau Pinang sememangnya mengharapkan projek-projek perumahan mampu milik terutamanya penduduk di kawasan pulau.

Malah katanya, kerajaan tidak perlu membangunkan projek perumahan mewah kerana tidak semua rakyat memiliki kemampuan untuk tinggal di rumah-rumah berkenaan.

"Cukup sekadar membina rumah yang selesa dan mampu untuk dibeli rakyat. Harga rumah terutamanya di bahagian pulau terlalu tinggi dan ini menyukarkan mereka yang berpendapatan rendah memiliki rumah sendiri.


"Jadi janji Perdana Menteri sangat bertepatan dengan kehendak rakyat yang semakin tersepit untuk mendapatkan rumah kerana berdepan kekangan kewangan," katanya ketika kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, semasa berucap dalam Program Jelajah Janji Ditepati di Universiti Sains Malaysia (USM), Perdana Menteri berjanji akan membina sebanyak 20,000 unit rumah kos rendah dan mampu milik serta sistem pengangkutan monorel di negeri ini sekiranya Barisan Nasional (BN) diberi mandat mentadbir semula Pulau Pinang dalam Pilihan Raya Umum Ke-13.

Ifan Zaini dalam pada itu menambah, sistem monorel yang dijanjikan itu juga merupakan keperluan rakyat di negeri ini bagi mengurangkan penggunaan pengangkutan peribadi di jalan raya.

Sementara itu, Setiausaha Persatuan Muka Buku Pulau Pinang, Farhan Abdul Wafi berkata, janji yang dibuat Perdana Menteri itu merupakan antara janji terbaik sebuah kerajaan kepada rakyat.

Tegasnya, rakyat negeri ini terutama mereka yang berpendapatan rendah semakin terhimpit dengan kos sara hidup yang tinggi.

"Janji ini sekurang-kurangnya mampu memberi sinar kepada rakyat Pulau Pinang untuk memiliki rumah sendiri.

"Kerajaan negeri yang ada dilihat gagal menyediakan keperluan asas terbabit untuk rakyat negeri ini," katanya.

Selain itu, katanya, projek monorel tersebut sememangnya perlu dilaksanakan segera kerana keadaan kesesakan lalu lintas yang semakin tidak terkawal.


0 comments:

Post a Comment

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More