KUALA LUMPUR - MIC menjanjikan kemenangan besar buat Barisan Nasional (BN) terutama melalui undi masyarakat India berikutan sokongan luar biasa yang diterima sejak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengambil alih tampuk pentadbiran negara pada 2009.
Presidennya, Datuk Seri G. Palanivel berkata, sokongan kaum India terhadap parti komponen itu bertambah kuat berikutan komuniti tersebut mendapat manfaat besar dalam bidang pendidikan, program pembangunan serta perkhidmatan awam hasil inisiatif Najib.
"Sejarah hitam pada 2008 tidak akan sesekali berlaku, kali ini masyarakat India sudah kembali kepada MIC dan BN kerana yakin kerajaan sedia ada sahaja mampu mencorakkan masa depan mereka.
"Kita boleh nampak lebih ramai orang India yang menyokong BN dan MIC sekarang berbanding dalam pilihan raya lepas. Sememangnya sokongan masyarakat secara keseluruhan telah meningkat," katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan dasar sempena Perhimpunan Agung MIC Ke-66 di PWTC di sini yang dihadiri 5,500 perwakilan dan pemerhati hari ini.
Perdana Menteri merasmikan perhimpunan agung tersebut.
Sementara itu, dalam sidang akhbarnya, Palanivel membidas sikap pemimpin pembangkang kerana hanya 'mempergunakan' pengundi India untuk memenangi pilihan raya umum tetapi mengabaikan setiap janji yang telah dibuat.
"Pembangkang berjaya mengaburi mata masyarakat India dengan isu-isu sensitif seperti pendidikan, sekolah Tamil selain isu rumah beribadat.
"Tetapi setelah empat tahun mentadbir, mereka tidak langsung membantu membina sekolah Tamil, mereka juga tidak menyediakan peruntukan untuk pendidikan atau kebajikan lain,'' katanya.
Dalam pada itu, Palanivel turut berjanji akan menawan kembali negeri-negeri yang jatuh ke tangan pembangkang terutamanya Selangor.
"Selain Selangor, kita juga yakin beberapa kawasan Parlimen di Pulau Pinang seperti Nibong Tebal, Balik Pulau, Jawi dan Bukit Tengah akan jatuh kepada BN, kita akan berusaha mendapatkan kembali mandat rakyat," tegasnya
0 comments:
Post a Comment