Tuesday, October 16, 2012

Berinteraksi Dengan Al-Hadis

Berinteraksi Dengan Al-Hadis


Surah Al Baqarah [2] : [255]
.....(Allah) yang mengetahui apa yang ada di hadapan mereka dan apa yang ada di belakang mereka, sedang mereka tidak mengetahui sesuatu pun dari (kandungan) ilmu Allah melainkan apa yang Allah kehendaki (memberitahu kepadanya)..

Antara Cara Berinteraksi Dengan Al-Hadis

Maksud berinteraksi dengan hadis ini adalah bagaimana cara kita berkomunikasi atau mengambil sesuatu hadis dan memahaminya (secara umum) sebelum beramal serta menyebarkannya.

1. Jangan membuat fatwa atau menjatuhkan hukum sewenang-wenangnya kepada orang lain kecuali jika kita memang berupaya dan berpengetahuan dalam Al-Quran, Jalur Periwayatan Hadis yang lain, Usul Fiqh dan ilmu-ilmu yang lain seumpamanya.

Ini adalah bagi mengelakkan diri dari terjerumus kepada menghalalkan perkara yang haram dan mengharamkan perkara yang halal atau mengkafir dan mensesatkan (bidaah) orang sesuka hati.

2. Berfikirlah dengan adil, dengan pemahaman yang benar berpaksikan Al-Quran dan Al-Hadis (berdasarkan pemahaman para sahabat r.anhum dan para tabiin sebelum berijtihad) serta tidak melanggar hukum-hukum syariat. Contohnya;

Hadis : “Kalian lebih mengetahui urusan dunia kalian.” (Sahih Muslim)

Seimbas dilihat seperti kita lebih tahu urusan dunia kita. Terdapat orang-orang yang tidak bertanggungjawab menggunakan hadis ini dengan takwil bahawa kita boleh mencipta undang-undang sendiri, ekonomi sendiri berasaskan jalan yang haram dan pelbagai lagi tanpa perlu merujuk Al-Quran dan Al-Sunnah secara keseluruhan. Ini tidak benar, kerana dalam hadis yang penuh;

Hadis : Dari 'Aisyah dan dari Tsabit dari Anas r.a : Nabi saw pernah melalui suatu kaum yang sedang mengahwinkan (mengacukkan) pohon kurma lalu Beliau bersabda: "Sekiranya mereka tidak melakukannya, kurma itu akan (tetap) baik."

Tapi setelah itu, ternyata kurma tersebut tumbuh dalam keadaan rosak (hasilnya tidak menjadi). Hingga suatu saat Nabi saw melalui mereka lagi dan melihat hal itu, Beliau bertanya: “Ada apa dengan pohon kurma kalian?”

Mereka menjawab, ‘Bukankah anda telah mengatakan hal ini dan hal itu (tidak perlu mengacukkan kurma)?’

Beliau lalu bersabda: “Kalian lebih mengetahui urusan dunia kalian.” [4358] Sahih Muslim

Maksudnya; hadis tersebut berkenaan pengacukkan kurma, bukannya hal-hal mengenai dasar-dasar pemerintahan, ekonomi, undang-undang dan sebagainya. Malah dalam riwayat yang lain, terdapat lafaz sambungannya;

Hadis : Dari 'Aisyah r.a berkata : ..... (Diringkaskan hadis seperti di atas, dan sambungannya) Nabi saw bersabda, "Jika sesuatu itu menyangkut urusan dunia kalian maka itu urusan kalian, tetapi jika menyangkut urusan agama kalian maka kembalikanlah kepadaku." [2462] Sahih Ibnu Majah

Ini bermakna kita tidak boleh membuat hukum-hukum atau undang-undang ciptaan sendiri dalam bab agama, tetapi boleh jika ia berkaitan dengan hal-hal keduniaan seperti sains pertanian, mencipta telefon, komputer, enjin, kapal terbang dan teknologi-teknologi moden yang lain asalkan tidak menyalahi dan membelakangi syariat.

3. Jangan mentakwil sesuatu hadis yang tidak jelas pada akal fikiran atau di luar bidang kemampuan, sebaliknya tanyalah kepada para ahli ilmu. Ia terbahagi kepada dua, iaitu;

(a). Mukhtalaf al-hadith, iaitu dua hadis yang maqbul, tetapi bercanggah antara satu sama lain, contohnya;

Hadis : Dari Anas bin Malik r.a : “Nabi saw melarang minum sambil berdiri.” [3771] Sahih Bukhari

Dalam hadis yang lain pula;

Hadis : Dari Ibnu Umar r.a ia berkata : "Pada masa Rasulullah saw kami (para sahabat) pernah minum sambil berdiri dan makan sambil berjalan." [4535] Sahih Riwayat Ahmad

Mengenai hal ini, ulama lebih mengutamakan menggabungkan kedua-duanya dari melakukan pentarjihan (menolak salah satu). Perkara ini sangat penting kerana berapa ramai orang sekarang terlalu mudah menjatuhkan hukum sesat dan bidaah antara satu sama lain.

(b). Mushkil al-hadith, iaitu hadis yang diragui makna zahirnya kerana bertentangan dengan akal, contohnya;

Hadis : Dari Ibnu Umar r.a : Rasulullah saw bersabda, “Seorang mukmin itu makan dengan satu usus (perut), sedangkan orang kafir makan dengan tujuh usus (perut).” [4974] Sahih Bukhari

Semua orang mengetahui dengan jelas, iaitu tidak kira orang kafir atau mukmin hanya mempunyai satu perut. Hadis ini adalah sahih dan jangan pula kita menolaknya dan anda boleh lihat di sini mengenai penerangannya (http://hafizfirdaus.com/content/view/319/78/).

Perkara ini sangat penting kerana ramai orang yang menolak hadis atas alasan bertentangan dengan ilmu pengetahuan, jumud dan sebagainya. Ini hanyalah salah satu kaedah sahaja dan banyak lagi kaedah lain seperti ilmu nasikh al-hadith, ilmu gharib al-hadith, ilmu asbab wurud al-hadith dan sebagainya.

5. Jangan mengejek-ngejek hadis atau orang yang mengamalkan hadis walaupun dengan bergurau. Mengejek orang yang mengamalkan sunnah Nabi saw sama seperti mengejek hadis Nabi saw; mengejek hadis Nabi saw sama dengan menghina Nabi saw; menghina Nabi saw sama dengan mempertikai Allah Subhana wa Ta’ala yang mengutus Rasul-Nya. Contohnya;

(a). Mengejek (walaupun secara bergurau) orang yang menyimpan janggut dan memanggil mereka sebagai ‘terrorist’, taliban, janggut kambing dan lain-lain yang seumpamanya.

(b). Mengejek orang yang berdakwah dengan mencaci mereka seperti perkataan ‘macam bagus’, alim kucing, ‘poyo’ dan sebagainya.

(c). Melemahkan semangat orang-orang yang berjuang menegakkan Islam dengan alasan ‘kita tidak mampu berbuat apa-apa’ atau ‘mustahil kita dapat menegakkan sistem khilafah zaman ini’. Ini adalah perkataan orang munafik.

(d). Jangan mencaci maki para ulama kerana ulama adalah pewaris para Nabi. Berdasarkan hadis (yang diringkaskan);

Hadis : Dari Uwaimir bin Malik (Abu Darda’) r.a : Rasulullah saw bersabda, “.....Para ulama adalah pewaris para Nabi, dan para Nabi tidak mewariskan dinar dan dirham, mereka hanyalah mewariskan ilmu.....” [3157] Sahih Abu Daud

Perkara ini dilakukan oleh kebanyakan orang masakini, malah orang yang mencaci para ulama ini bukan sahaja tidak mengetahui tentang hadis; menjawab salam dengan betul pun tidak tahu. Firman Allah Subhana wa Ta’ala;

Surah At Taubah [9] : 65

65. .....Katakanlah: "Apakah dengan Allah, ayat-ayat-Nya dan Rasul-Nya kamu selalu berolok-olok?" .......

66. Tidak usah kamu minta maaf, kerana kamu kafir sesudah beriman. Jika Kami memaafkan segolongan kamu (lantaran mereka taubat), nescaya Kami akan mengazab golongan (yang lain) disebabkan mereka adalah orang-orang yang selalu berbuat dosa.

( Maksudnya : Kecuali mereka yang bertaubat kerana hal itu, tetapi orang yang mempermainkan taubatnya; iaitu setelah bertaubat mereka tetap memperolok-olokkan lagi, mereka tetap akan diazab kerana tabiat mereka yang suka mengejek Nabi saw dan melemahkan semangat orang Islam – kesimpulan dari Tafsir Ibn Katsir).

Koleksi Hadis Nabi

0 comments:

Post a Comment

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More