Thursday, October 25, 2012

Krisdayanti Hamil, Siti Nurhaliza Tak Cemburu!

Pastinya ramai sudah sedia maklum mengenai hubungan akrab yang terjalin di antara penyanyi nombor satu negara, Dato’ Siti Nurhaliza dengan penyanyi popular dari Indonesia, Krisdayanti.

Malah, mereka sering dikatakan sering berkongsi banyak cerita termasuklah petua mengenai perihal kecantikan diri serta pengalaman sebagai anak seni.

Namun begitu, kunjungan Krisdayanti ke negara ini sempena menghadiri undangan nyanyian sempena penjenamaan Muzium Sultan Abu Bakar, Pekan, Pahang pada Ahad lalu menerbitkan tanda tanya sama ada kedua-dua mereka ada bersua muka atau tidak.

Kesempatan bertemu dengan Siti Nurhaliza memberi peluang kepada portal murai.com.my untuk menanyakan sendiri kepada penyanyi lagu Cindai ini sekiranya mereka ada bertemu, apatah lagi untuk berkongsi kegembiraan dengan teman rapatnya itu yang kini sudah pun hamil 7 bulan.

“Memang saya tahu Krisdayanti datang ke sini untuk konsert DiRaja di Kuantan Pahang. Tapi, sayangnya ketika dia berada di sana, saya pula berada di Pulau Pinang. Memang benar kami rapat dan kami selalu juga mengirimkan SMS sesama sendiri.


“Ada kalanya jika saya bertandang ke sana, saya akan mengirimkan SMS kepadanya. Begitu juga jika dia rindukan saya, dia sendiri akan SMS saya. Tapi setahu saya, dia sudahpun pulang ke Indonesia, sayangnya saya tidak dapat bertemu dengannya,” katanya kepada murai.com.my.

Siti Nurhaliza berkata, dia merupakan individu yang paling gembira apabila mendengar berita kehamilan kali kedua temannya itu hasil perkahwinan bersama seorang usahawan dari Timor Leste, Raul Lemos.

Katanya, tidak pernah timbul perasaan cemburu mengenai berita gembira berkenaan, apatah lagi pada saat dia sedang berusaha mendapatkan cahayamata sejak berumah tangga bersama Datuk Khalid Mohd Jiwa (Datuk K).

“Kalau nak tahu, saya merupakan orang yang terawal mengetahui tentang berita kehamilan kali kedua Krisdayanti ini dan sebagai kawan pastinya saya gembira dengan berita itu. Tidak ada langsung rasa cemburu.

“Bukan sahaja Krisdayanti, malah sesiapa saja teman atau kenalan yang hamil, saya akan tumpang gembira. Cuma apa yang saya harapkan daripada semua agar dapat mendoakan saya supaya cepat-cepat dapat anak,” jelas Siti Nurhaliza sambil tersenyum.

Menurut Siti Nurhaliza, dia dan suami sedang berusaha untuk mendapatkan cahayamata bagaimanapun menyerahkan segala ketentuan kepada Tuhan.

“Kami tetap berusaha dan dalam masa yang sama saya serta suami sentiasa berfikiran positif dalam segala hal. Mungkin ketika ini saya sedang sibuk dengan banyak perkara termasuk konsert yang akan datang. Jadi, tekanan itu banyak. Kita lihat bagaimana dalam masa terdekat ini. Apa yang penting kita hanya berdoa dan mengharapkan yang terbaik,” katanya tenang.

0 comments:

Post a Comment

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More