Monday, October 8, 2012

Pelakon Dakwa Tidak Tahu Ia Filem Hina Islam


California – Nakoula Basseley Nakoula yang juga dikenali sebagai Sam Bacile telah dikesan oleh FBI sebagai individu yang bertanggungjawab menghasilkan filem Innocence Of Muslims, iaitu sebuah filem yang menghina Nabi Muhammad S.A.W.

Nakoula merupakan penganut Kristian Koptik dari Mesir dan menetap di California.

Selain Nakoula yang kini hidup dalam ketakutan selepas menerbitkan filem berkenaan ialah seorang lagi pelakonnya iaitu Anna Gurji yang mendakwa diperdayakan oleh lelaki berkenaan.

“Pada mulanya saya melakonkan watak sebagai pengantin bawah umur kepada karekter dikenali sebagai George, namun saya tidak sangka nama karakter itu ditukar kepada Muhammad.

“Saya telah dikhianati Nakoula. Saya tidak menghina umat Islam. Saya terpaksa mengambil pil tidur dan telah menangis berhari-hari kerana merasakan diri telah ditipu oleh Nakoula,’’ kata penganut katholik itu.

Gurji berkata, dia dan pelakon lain percaya Nakoula menghasilkan filem aksi dipanggil Desert Warrior, malah Nakoula yang juga dipanggil ‘Sam’ tidak pernah bercakap mengenai agama sepanjang mengenalinya.

“Filem itu mengenai komik yang jatuh ke bumi dengan menggunakan pelat Asia Barat dan dipenuhi dengan banyak kesan khas.

“Ia merupakan filem bajet kecil dan saya mendapat $75 sehari, namun saya tidak tahu bahawa ia telah diputar belitkan menjadi filem yang menghina umat Islam ini,’’ katanya yang tidak langsung tahu bahawa Nakoula mempunyai agenda tersembunyi ketika menghasilkan filem itu.

Filem itu mencetuskan kontroversi dan bantahan serta keganasan merebak ke negara Islam lain selain Mesir dan Libya.

Penghasilan filem itu bagaimanapun tidak disiasat Amerika Syarikat kerana ia tidak dianggap satu jenayah di negara itu berdasarkan kepada hak kebebasan bersuara.

0 comments:

Post a Comment

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More