Wednesday, October 24, 2012

Pelawak Harus Disanjung Setaraf Doktor!


KUALA LUMPUR : Tercalon dalam anugerah seperti Shout! Awards meletakkan Zizan di antara penghibur tempatan yang mempunyai peminat dan penyokong daripada semua peringkat umur dan bangsa.

Zizan yang juga pernah memenangi Favourite TV Personality Award pada Shout! Awards 2010 turut berkongsi cerita bagaimana usahanya untuk memajukan komedi pentas tempatan agar diterima oleh semua pihak.

“Ini merupakan usaha saya dalam industri ini sekarang, saya tidak mahu menghasilkan lawak kepada satu golongan sasaran sahaja. Saya mahu lawak saya ini diterima dan sampai pada semua orang.

“Baru-baru ini ada orang bising pasal lawak mengaitkan golongan lembut. Kalau lembut baru kelakar. Pada saya mereka juga manusia dan mereka ini memainkan peranan yang kuat dalam industri khususnya.

“Biar mesej itu sampai ada semua. Kita juga selalu buat lawak yang urban. Kita cakap pasal politik, media sosial macam Twitter, agama dan sebagainya agar ia meliputi semua aspek,”jelas Zizan mengenai pemahaman tentang peranan penghibur dan pelawak.

Bercakap mengenai isu lawak yang masih dilabel hiburan yang ‘kampung’, Zizan cepat-cepat menceritakan pengalamannya berkunjung ke United Kingdom di mana para comedian di sana dipandang tinggi, setaraf seorang doktor.

“Di UK para comedian diletakkan lebih tinggi daripada artis biasa. Mereka dianggap bijak seperti seorang doktor dan dihormati. Ini kerana orang disana dapat menilai cara pelawak itu mencari idea untuk membuat lawak, tidak seperti artis lain.

“Contohnya penyanyi, mereka akan menyanyi lagu yang sama pada setiap persembahan begitu juga penari. Tetapi pelawak harus tampil dengan idea baru, lawak hari ini kalau esok masih digunakan, ia dikira basi.

“Namun, Syukur Alhamdulilah saya dapat lihat sedikit demi sedikit penonton dapat menghargai tugas sebenar seorang pelawak atau penghibur ini dan saya mahu generasi baru terus meletakkan taraf kami di tempat yang sepatutnya,”ucap Zizan lagi.

Menurut Zizan lagi, pencapaiannya setakat ini tidak pernah melekakannya sebaliknya memberikannya lebih tenaga untuk memberikan yang terbaik kepada penonton.

Mengenai perkara atau isu yang sering digunakannya, Zizan memberitahu, lawaknya sering berkaitan dengan orang yang berada disekelilingnya. Baginya mesej seperti ini lebih mudah untuk disampaikan dan lebih dekat dengan penonton.

Baginya bahasa yang digunakan, input dan isu yang dimainkan serta elemen sensasi disuntik pada ketika itu menyumbang kepada lawak yang berkesan pada penonton.

0 comments:

Post a Comment

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More