Tuesday, October 16, 2012

Peristiwa Akhir Zaman

Peristiwa Akhir Zaman

001. Dari Irbadh bin Sariyah r.a, katanya : Telah menasihati kami oleh Rasulullah saw akan satu nasihat yang menggentarkan hati kami dan menitiskan air mata kami ketika mendengarnya, lalu kami berkata, ‘Ya Rasulullah, seolah-olah ini adalah nasihat yang terakhir sekali, maka berilah pesanan kepada kami.

Lalu Baginda saw bersabda, “Aku berwasiat akan kamu supaya sentiasa bertakwa kepada Allah dan dan mendengar serta taat (kepada pemimpin) sekalipun yang memimpin kamu itu hanya seorang hamba.

Sesungguhnya sesiapa yang panjang umurnya daripada kamu pasti akan melihat perselisihan yang banyak. Maka hendaklah kamu berpegang teguh dengan Sunnah ku dan sunnah para Khulafa Ar-Rasyidin Al-Mahdiyin (Abu Bakar, Umar, Uthman dan Ali r.a) dan gigitlah sunnah-sunnah itu dengan gigi geraham dan jauhilah perkara-perkara yang baharu (bid’ah) yang diada-adakan, kerana sesungguhnya tiap-tiap bid’ah itu sesat.” (Riwayat Abu Daud dan At-Tirmidzi)

Penjelasan dan Pengajaran :

[a]. Sentiasa bertakwa kepada Allah yang Maha Agung iaitu, beriman dan beramal soleh. Mengerjakan segala yang diperintah dan menjauhi segala larangan-Nya.

[b]. Mentaati pemerintah walaupun ia dari keturunan hamba.

[c]. Perselisihan yang banyak akan terjadi selepas kewafatan Nabi saw dan hendaklah kita tetap berpegang pada sunnah Nabi saw dan para sahabatnya walaupun bersendirian.

[d]. Menjauhi perkara-perkara ibadah yang direka-reka kerana ia membawa kepada kesesatan. Maksudnya; mengandaikan penyampaian Nabi saw tidak sempurna lalu dibuat ibadah yang tiada sumbernya dari Rasulullah saw.

002. Dari Zainab binti Jahsy r.a (isteri Rasulullah saw), katanya : Rasulullah saw masuk ke dalam rumahnya dalam keadaan cemas sambil bersabda, “La ilaa ha illallah, celaka (binasa) bagi bangsa Arab dari kejahatan (bencana) yang sudah hampir menimpa mereka.

Pada hari ini telah terbuka dinding Ya’juj dan Ma’juj,” dan Baginda saw menemukan ujung ibu jari dan ujung jari yang sebelahnya (jari telunjuk) yang dengan itu mengisyaratkan seperti bulatan.

Saya (Zainab binti Jahsy) lalu bertanya, ‘Ya Rasulullah, apakah kami akan binasa sedangkan di kalangan kami masih ada orang-orang soleh?’ Lalu Nabi saw bersabda, “Ya, jikalau kejahatan sudah terlalu banyak.” [Riwayat Bukhari dan Muslim]

Penjelasan dan Pengajaran :

a. Rasulullah saw berasa cemas akan malapetaka akibat keluarnya Ya’juj dan Ma’juj. Perlu diingat, perkara yang membuatkan Rasulullah saw sendiri cemas, maka apalagi kita. Bersamalah kita berdoa agar terselamat dari huru-hara itu.

b. Walaupun disebutkan bangsa Arab secara khusus namun lafaznya adalah umum kepada umat manusia.


c. Kemungkaran dan kemaksiatan yang berlaku hendaklah segera dibasmikan kerana bencana yang berlaku pada sesuatu kaum yang jahat, turut menimpa penduduk yang berada di sekitar mereka.

003. Dari Tsauban r.a : Rasulullah saw bersabda, “Hampir tiba suatu masa di mana bangsa-bangsa dari seluruh dunia akan datang mengemuruni kamu (umat Islam) bagaikan orang-orang yang hendak makan mengerumuni talam hidangan mereka.”

Maka salah seorang sahabat bertanya, ‘Apakah dari kerana (bilangan) kami sedikit pada hari itu?’ Nabi saw menjawab, “Bahkan kamu pada hari itu banyak (ramai) sekali, tetapi kamu umpama buih di waktu banjir dan Allah akan mencabut rasa gerun terhadap kamu dari hati musuh-musuh kamu; dan Allah akan mencampakkan ke dalam hati kamu penyakit ‘wahan’.”

Seorang sahabat bertanya, ‘Apakah wahan itu hai Rasulullah?’ Nabi saw menjawab, “Cinta pada dunia dan takut pada mati.” [Riwayat Abu Daud]

Penjelasan dan Pengajaran :

a. Sepertimana kita lihat umat Islam pada ketika ini berjumlah lebih kurang 1.6 billion seluruh dunia tetapi kita dijadikan seperti ‘lauk di dalam talam’ oleh orang kafir. Maha Benar Allah dan Rasul-Nya.

b. Hadis ini merupakan motivasi kepada seluruh umat Islam agar bangkit dan kembali dengan sebenar-benar kembali kepada Al-Quran dan As-Sunnah dan bukannya hanya menyerah dan lembik kepada orang kafir.

c. Allah yang Maha Agung akan mencabut kemuliaan orang Islam apabila umat Islam cenderung kepada cinta dunia (tamak, rakus dan cinta pada harta umumnya) dan takut mati (leka dan lupa pada hari pembalasan dan takut berjihad di jalan Allah yang Maha Tinggi).

004.Dari Abdullah bin Amr bin ‘Ash r.a : Rasulullah saw bersabda, “Bahawasanya Allah Subhana wa Ta’ala (SWT) tidak mencabut (menghilangkan) akan ilmu itu dengan sekaligus dari manusia. Tetapi Allah SWT menghilangkan ilmu itu dengan mematikan alim ulama.

Maka apabila sudah tiada alim ulama, orang ramai akan memilih orang-orang yang jahil sebagai pemimpin mereka. Maka apabila pemimpin yang jahil itu ditanya, mereka akan berfatwa tanpa ilmu pengetahuan. Mereka sesat dan menyesatkan orang lain.” [Riwayat Muslim]

Penjelasan dan Pengajaran :

Pelbagai usaha perlu dilakukan agar mengembalikan semula atau mengganti semula para alim ulama yang sudah tiada. Ketiadaan para alim ulama akan menyebabkan manusia berada dalam kebingungan hingga tidak mengenal yang mana benar dan yang mana bathil.

005. Dari Abu Sa’id Al-Khudri r.a : Rasulullah saw bersabda, “Kamu akan mengikut jejak langkah umat-umat sebelum kamu sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta sehingga jikalau mereka masuk ke lubang biawak pun kamu akan mengikuti mereka.”
Sahabat bertanya, ‘Ya Rasulullah, apakah Yahudi dan Nasrani yang kau maksudkan?’ Nabi saw menjawab, “Siapa lagi kalau bukan mereka.” [Riwayat Muslim]

Penjelasan dan Pengajaran :

a. Umat Islam akan mengikut cara hidup orang-orang Yahudi dan Nasrani dalam pelbagai keadaan, baik dari segi pemerintahan mahupun yang lebih parah lagi; dari segi pemikiran dan kerohanian.

b. Umat Islam perlu kembali kepada Al-Quran dan As-Sunnah dari semua aspek kehidupan, iaitu menghidupkan kerohanian keIslaman (rasa cinta pada Islam atas dasar tauhid), pemerintahan Islam, pendidikan Islam, perundangan Islam, ekonomi Islam dan sistem kemasyarakatan berasaskan Islam.

006. Dari Miqdam bin Ma’dikariba r.a : Rasulullah saw bersabda, “Hampir tiba di suatu masa di mana seorang lelaki yang sedang duduk bersandar di atas katilnya, lalu disampaikan orang kepadanya sebuah hadis daripada hadis ku (Hadis Nabi saw),

Maka ia (golongan anti hadis) berkata, ‘Pegangan kami dan kamu hanyalah kitabullah

Al-Quran) sahaja. Apa yang dihalalkan oleh Al-Quran kami halalkan; dan apa yang diharamkan, kami haramkan.’

Kemudian bersabda Nabi saw), “Padahal apa yang diharamkan oleh Rasulullah saw samalah hukumnya dengan apa yang diharamkan oleh Allah SWT.” (Riwayat Abu Daud dan Ibnu Majah)

Penjelasan dan Pengajaran :

a. Telah ada golongan anti hadis ini merosakkan akidah umat Islam, oleh itu kita perlu berhati-hati dan peka serta membasmi pemikiran mereka ini sedaya-upaya.

007. Dari Abu hurairah r.a : Rasulullah saw bersabda, “Umat ku akan ditimpa penyakit-penyakit yang pernah menimpa umat-umat dahulu.” Sahabat bertanya, ‘Apakah penyakit-penyakit umat-umat terdahulu itu?’

Nabi saw menjawab, “Penyakit-penyakit itu ialah : (1). Terlalu banyak (ber)seronok, (2).Terlalu mewah, (3). Menghimpun harta sebanyak mungkin, (4). Tipu menipu dalam merebut harta benda dunia, (5). Saling memarahi, (6). Hasud menghasud sehingga jadi zalim menzalimi.” (Riwayat Hakim)

Penjelasan dan Pengajaran :

a. Penyakit-penyakit tersebut jelas terpampang di depan mata kita sekarang ini. Penyakit tersebut adalah penyakit rohani yang melanda umat Islam kini.

b. Jika diperhatikan, kesemua penyakit di atas adalah kerana hilangnya nilai-nilai akhlak murni. Hilangnya nilai-nilai akhlak tersebut kerana sistem pendidikan yang hanya mementingkan nilai akademik semata-mata tanpa menghiraukan pendidikan agama dan moral.

c. Krisis kerohanian ini hanya boleh diselesaikan apabila umat Islam kembali kepada Al-Quran dan As-Sunnah dalam setiap aspek kehidupan, pendidikan terutamanya.

008. Dari Ali bin Abi Thalib r.a : Bahawasanya kami sedang duduk bersama Rasulullah saw di dalam masjid. Tiba-tiba datang Mus’ab bin Umair r.a dan tiada di atas badannya kecuali hanya sehelai selendang yang bertampung dengan kulit.

Tatkala Rasulullah saw melihat kepadanya, Baginda saw menangis dan menitiskan air mata kerana mengenangkan kemewahan Mus’ab ketika berada di Mekah dahulu; dan kerana memandang nasib Mus’ab sekarang (dalam kemiskinan sebagai seorang Muhajirin dan meninggalkan segala kemewahan).

Kemudian Nabi saw bersabda, “Bagaimanakah keadaan kamu pada suatu saat nanti, pergi di waktu pagi dengan satu pakaian dan pergi di waktu petang dengan pakaian yang lain pula (dalam sehari bertukar-tukar pakaian).

Dan bila diangkatkan satu hidangan, diletakkan pula satu hidangan yang lain (mewah dengan makanan). Dan kamu menutupi (menghias) rumah kamu seperti mana kamu memasang kelambu Ka’bah?”

Maka jawab sahabat, ‘Wahai Rasulullah, tentunya di waktu itu kami lebih baik dari hari ini. Kami akan memberikan penumpuan kepada masalah ibadat sahaja dan tidak usah (perlu) mencari rezeki.’

Lalu Nabi saw bersabda, “Tidak! Keadaan kamu di hari ini adalah lebih daripada keadaan kamu di hari itu.” (Riwayat Tirmidzi)

Penjelasan dan Pengajaran :

a. Kemewahan hidup membuatkan kita terleka untuk beribadat kepada Allah SWT. Maksud kemewahan adalah, melebihi apa yang diperlukan.

b. Perbezaan besar antara sahabat Rasulullah saw dengan umat Islam sekarang. Para sahabat sentiasa berfikir bagaimana hendak menambahkan ibadat, sebaliknya umat Islam sekarang sibuk berfikir bagaimana hendak menambah harta.

Para sahabat sanggup meninggalkan kemewahan demi agama, umat Islam sekarang sanggup meninggalkan agama demi kemewahan. Maha Benar Allah dan Rasul-Nya.

c. Sepatutnya umat Islam kini perlu lebih beribadat kerana segala kemudahan berada di depan mata. Sumber air, elektrik, masjid, jalan, kenderaan dan pelbagai lagi kemudahan sudah tersedia, tetapi sayangnya umat Islam sekarang telah kufur pada nikmat Allah yang Maha Agung.

009. Dari Muadz bin Jabal r.a : Rasulullah saw bersabda, “Ambillah pemberian itu selama ia masih sebagai pemberian. Tetapi apabila ia telah menjadi rasuah dalam pandangan agama, maka kamu jangan mengambilnya. Namun kenyataannya kamu tidak akan dapat meninggalkan rasuah itu kerana kamu takut (menjadi) fakir dan kamu sangat berhajat untuk mengambilnya. (Riwayat At-Thabrani dan Abu Nuaim)

Penjelasan dan Pengajaran :

a. Di akhir zaman, rasuah akan menjadi-jadi. Wang menjadi kuasa untuk membeli pangkat atau jawatan dalam sesuatu organisasi atau pertubuhan; dan pelbagai lagi punca kepada rasuah.

b. Punca kepada rasuah adalah kerana penyakit ‘wahan’.

c. Akhir zaman, manusia tidak peduli lagi yang mana halal atau haram. Apa yang penting bagi mereka, hajat hawa nafsu mereka terlaksana.

010. Dari ‘Aisyah r.a : Rasulullah saw bersabda, “Tidak akan berlaku kiamat sehingga;

(1). anak seseorang menjadi punca kemarahan (bagi ibu bapanya) dan

(2). hujan akan menjadi panas (hujan berkurangan dan cuaca menjadi semakin panas) dan (3). akan bertambah ramai orang yang tercela dan

(4). akan berkurangan orang yang baik dan

(5). anak-anak menjadi berani melawan orang-orang tua dan

(6). orang yang jahat berani melawan orang-orang baik (tidak malu berbuat kemungkaran).” (Riwayat Thabrani)

Penjelasan dan Pengajaran :

Adakah salah satu dari enam perkara di atas masih belum terjadi kepada kita pada hari ini?

011. Dari Abu Hurairah r.a : Rasulullah saw bersabda, “Akan datang suatu zaman seseorang tidak mempedulikan dari mana ia mendapatkan harta, apakah dari sumber yang halal ataupun haram.” (Riwayat Muslim)

Penjelasan dan Pengajaran :

a. Manusia zaman akhir telah lupa tujuan hidup mereka atau tujuan mereka diciptakan di muka bumi ini. Mereka salah faham erti kehidupan dan berpegang pada materialisme.

b. Mereka sanggup berbunuhan, memutuskan hubungan kekeluargaan, menipu, menindas, menolak hukum dan pelbagai lagi kemungkaran demi mendapatkan harta.
c. Mereka menganggap harta adalah segala-galanya.

012. Dari Abu Hurairah r.a : Rasulullah saw bersabda, “Akan tiba suatu zaman, tidak ada seorang juga pun kecuali ia terlibat dalam memakan harta riba. Kalau ia tidak makan secara langsung, ia akan terkena juga debu-debunya.” (Riwayat Ibnu Majah)

Penjelasan dan Pengajaran :

Maha Benar Allah dan Rasul-Nya. Kita lihat saja diri sendiri. Di mana kita menyimpan wang, saluran gaji, hutang rumah, kereta dan sebagainya.

013. Dari Abu Malik Al-Asy’ari r.a : Rasulullah saw bersabda, “Sesungguhnya ada sebahagian dari umat ku yang akan meminum khamar dan mereka menamakannya dengan nama lain (Tiger, Anchor dan sebagainya).

(Mereka meminum) sambil dialunkan dengan bunyi muzik dan suara artis-artis. Allah subhana wa ta’ala akan menenggelamkan mereka ke dalam bumi dan Allah subhana wa ta’ala akan merubah mereka menjadi kera dan babi.” (Riwayat Ibnu Majah)

Penjelasan dan Pengajaran :

a. Para penyedia atau pengeluar khamar ini merekacipta nama lain bagi khamar dan kononnya mempunyai khasiat, seperti untuk kesihatan dan kesegaran badan.

b. Sudah begitu banyak kelab malam, disko dan seumpamanya yang menghidangkan arak dan diikuti pula dengan nyanyian tidak kira lelaki atau wanita.

c. Penukaran rupa mereka ke dalam bentuk kera atau babi belum lagi terjadi, namun sifat, sikap dan cara hidup mereka sudah menyerupai kera dan babi. Wallahu ‘alam. Manakala kejadian yang menenggelamkan mereka ke dalam bumi sudah banyak terjadi seperti gempa bumi dan lain-lain.

014. Dari Anas r.a : Rasulullah saw bersabda, “Di antara tanda kiamat ialah sedikit ilmu, banyak kejahilan, berlaku banyak perzinaan, ramai kaum perempuan dan sedikit kaum lelaki, sehingga nantinya seorang lelaki akan mengurus lima puluh perempuan.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Penjelasan dan Pengajaran :

a. Kejahilan dan perzinaan sudah biasa benar terjadi seperti yang kita lihat sekarang ini.

b. Nisbah lelaki dan wanita akan sangat ketara pada masa akan datang. Ulama mengatakan, ia akibat dari peperangan yang berlaku dan banyak lelaki yang terbunuh serta Allah yang Maha Agung menghendaki kebanyakan yang lahir di dunia ini adalah perempuan.

015. Dari Anas r.a : Rasulullah saw bersabda, “Akan datang kepada umat ku suatu zaman di mana orang yang berpegang pada agamanya laksana menggenggam bara api.” (Riwayat Tirmidzi)

Penjelasan dan Pengajaran :

a. Orang yang berpegang pada ajaran Islam (mengikuti Al-Quran dan As-Sunnah) akan dipandang hina, jumud dan lain-lain.

b. Mereka tersepit dan cuba dipengaruhi oleh keadaan sekeliling agar meninggalkan Al-Quran dan As-Sunnah, baik dari orang kafir dan lebih teruk lagi dari orang yang mengaku Islam.

c. Akhir zaman juga orang Islam akan menghadapi tentangan yang hebat, sekiranya leka maka terlepaslah Islam dari tangan mereka.

Golongan Ruwaibidhoh

016. Dari Abu Hurairah r.a : Rasulullah saw bersabda, “Lagi akan datang kepada manusia tahun-tahun yang tandus.

(a). Dan pada waktu itu orang yang berdusta dikatakan benar dan orang yang benar dikatakan berdusta.

(b). Orang khianat akan disuruh memegang amanah dan orang yang amanah dikatakan pengkhianat.

(c). Dan yang berpeluang bercakap hanyalah golongan ‘Ruwaibidhoh’.”

Sahabat bertanya, ‘Apakah Ruwaibidhoh itu hai Rasulullah?’ Nabi saw menjawab, “Orang yang kerdil dan sebenarnya hina dan tidak mengerti urusan orang ramai.” (Riwayat Ibnu Majah)

Penjelasan dan Pengajaran :

Zaman yang tandus tersebut bermaksud zaman orang-orang yang ketandusan ilmu dan pemikiran. Orang yang benar akan diketepikan dan orang yang khianat serta fasiq akan disanjung dan dijadikan idola.

Orang yang berilmu dan berada pada kebenaran tidak dibenarkan bercakap dan dituduh pula dengan berbagai-bagai tohmahan. Orang yang dibenarkan bercakap pula adalah orang-orang yang hina dan tidak tahu bagaimana hendak menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh masyarakat dan mengelirukan.

Maha Benar Allah. Melalui hadis ini juga kita lihat zaman ini berapa ramai ahli ilmu yang dibiarkan sepi tanpa mengambil peduli pada apa yang disampaikan oleh mereka. Malah mereka dituduh pula sebagai pengkhianat agama. Wallahu’alam.

Peperangan Demi Peperangan

017. Dari Abu Hurairah r.a : Rasulullah saw bersabda, “Hari kiamat tidak akan terjadi sehingga melimpah ruah harta benda dan timbul fitnah (ujian kepada keimanan) dan banyak berlaku ‘al-Harj’.”

Sahabat bertanya, ‘Apakah al-Harj itu hai Rasulullah?’ Nabi saw menjawab, “Peperangan demi peperangan demi peperangan.” (Riwayat Ibnu Majah)
Penjelasan dan Pengajaran :

(a). Harta benda melimpah ruah - Kita boleh melihat pada hari ini betapa banyaknya dan mudahnya kita mendapatkan harta. Termasuk harta benda ini adalah dari segi kediaman, pengangkutan, perhiasan dan segala macam bentuk kemudahan serta kekayaan lagi.

(b). Timbul fitnah - Tidak perlu diperjelaskan lagi, kerana zaman kita ini fitnah terlampau banyak dan berleluasa. Fitnah ini begitu luas maknanya, tetapi secara umum ia adalah sebagai satu ujian kepada keimanan atau satu bencana besar kepada umat Islam.

(c). Peperangan demi peperangan - Pembunuhan dan peperangan seolah-olah telah lali dengan telinga dan mata kita hari ini.

0 comments:

Post a Comment

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More