KUALA LUMPUR : Ketiadaan kumpulan Sepahtu dalam program Maharaja Lawak Mega 2012 (MLM2012) menimbulkan pelbagai spekulasi sehingga ada pihak tertentu yang menyifatkan kumpulan ini pengecut untuk beradu nasib dengan peserta-peserta lain daripada Malaysia, Indonesia dan Singapura.
Bagaimanapun, Shuib mewakili kumpulan Sepahtu menegaskan bahawa ketiadaan mereka dalam pertandingan ini sebenarnya adalah kerana tidak mahu mengecewakan banyak pihak terutama sekali Mamat yang pernah bersatu dalam kumpulan Sepah.
“Dahulu kami bertiga. Sekarang ini hanya tinggal kami berdua saja. Jadi, jika kami masuk, kami akan rasa janggal pula. Sejujurnya, kami telah mengambil masa selama tiga bulan untuk buat keputusan sama ada kami patut sertainya atau pun tidak.
“Oleh itu, rasanya inilah keputusannya terbaik kami yang mana kami tidak masuk. Kami tidak mahu orang pertikaikan kemasukan kami. Lagi pun, sebelum ini kami cipta nama dengan bertiga. Untuk berdua (Sepahtu), rasanya masih belum cukup matang lagi untuk kami melakukannya.
“Apapun, kami tetap menyokong program yang diterbitkan Astro untuk kami. Tetapi untuk pertandingan sebegini, kami perlukan masa. Kami tidak mahu kecewakan banyak pihak.Kami juga tidak mahu kecewakan hati Mamat,” jelas Shuib ketika dihubungi murai.com.my.
Dalam pada itu, Shuib mengakui Mamat ada mempelawa mereka untuk bergabung semula bagi menyertai pertandingan gah berkenaan.
“Kami tidak mahu main-main dalam hal ini. Kami tidak mahu bergabung semula hanya demi pertandingan. Sebelum buat keputusan, kami sendiri ada berbincang dengan pihak Astro. Alhamdulillah mereka faham. Insya-Allah, kalau ada lagi tahun depan kami akan sertainya.
“Isu gabung semula ini amat sensitif. Ia bukanlah perkara yang boleh dibuat main. Sama juga macam kahwin. Takkanlah nak buat perkara seperti kahwin cerai kahwin cerai. Mamat pun ada cakap dengan kami tentang hal ini.
“Sesungguhnya jika menyertai pertandingan tekanannya amat berlainan. Kami sudah laluinya ketika menyertai Maharaja Lawak. Terus-terang, kami sangat susah nak buat keputusan sehinggalah di saat akhir. Kami tak mahu guris hati sesiapa,” katanya.
Meneruskan penjelasan, Shuib mengatakan ramai peminat bertanya mengapa Sepahtu tidak sertai program ini.
“Susah kami nak jawab. Memang ramai peminat tanya kepada kami. Walaupun kami tidak sertainya, Sepahtu tetap ada untuk semua. Pertandingan ini amat menyeronokkan kerana inilah peluang kami untuk berjumpa dengan kawan-kawan lama dalam industri.
“Kami bukannya takut dan jika kami masuk pun ianya sebab kami nak berseronok dengan kawan-kawan. Kami tidak mahu orang fikir kami ni tamak. Keputusan ini adil untuk kami bertiga. Masing-masing tidak sertainya,” jelasnya.


0 comments:
Post a Comment