Monday, October 1, 2012

Antara Kelebihan Umat Islam Akhir Zaman

Antara Kelebihan Umat Islam Akhir Zaman

PENDAHULUAN

Surah Al Baqarah [2] : [255]

.....(Allah) yang mengetahui apa yang ada di hadapan mereka dan apa yang ada di belakang mereka, sedang mereka tidak mengetahui sesuatu pun dari (kandungan) ilmu Allah melainkan apa yang Allah kehendaki (memberitahu kepadanya).

PENGENALAN

Umat Islam atau umat Nabi Muhammad saw mempunyai pelbagai kelebihan di dunia dan akhirat. Inilah kurniaan Allah Subhana wa Ta’ala kepada umat Nabi Muhammad saw dimana ia sebagai pelengkap kepada tatacara dalam melalui kehidupan di muka bumi ini samada dari segi akidah, ibadah mahupun segala aspek kehidupan masyarakat yang bertamadun.

Bersyukurlah atas nikmat Allah yang tidak terhingga ini. Di dalam Al-Quran juga telah dinyatakan bahawa umat Islam adalah umat yang terbaik.

Terjemahan : Surah Ali 'Imran [3] : 110

110. Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah dari yang mungkar dan beriman kepada Allah. Sekiranya Ahli Kitab beriman tentulah itu lebih baik bagi mereka; di antara mereka ada yang beriman, dan kebanyakan mereka adalah orang-orang yang fasik.

Namun sejak kebelakangan ini terdapat kata-kata atau penulisan atau ceramah yang mengatakan umat akhir zaman ini akan menjadi semakin buruk dan semakin buruk. Hari esok akan lebih buruk dari hari ini dan seterusnya. Benarkah begitu? Apakah Islam mengajar kita untuk terus berfikiran negatif, sedangkan di dalam Al-Quran dan sunnah yang sahih mengajar kita untuk bersangka baik pada Allah dan bersikap optimis. Janganlah begitu.

PERBINCANGAN

Terdapat banyak ayat Al-Quran dan hadith yang sahih mengenai kelebihan umat Islam akhir zaman (tidaklah memperkecilkan umat terdahulu kerana umat akhir zaman sendiri adalah pengikut dan mencontohi umat terbaik terdahulu; iaitu zaman sahabat Rasulullah saw, para tabiin dan tabiut tabiin).

Antaranya;

1. Sentiasa ada golongan umat Islam yang pasti menang.

Dari Tsauban r.a : Rasulullah saw bersabda, "Senantiasa ada sekelompok umatku yang dimenangkan atas kebenaran. Tidak akan membahayakannya orang yang memusuhinya hingga Hari Kiamat sedangkan mereka tetap seperti itu (berada dalam kebenaran)." [3544] Sahih Muslim

Kata Imam Ahmad mengenai hal ini adalah ahli hadith. Kata Imam al-Bukhari, mereka adalah para ahli ilmu. Oleh itu, umat akhir zaman ini tetap ada ilmuan Islam yang sentiasa menang dan tidak mampu diganggu-gugat oleh sesiapapun kerana mereka di dalam jagaan Allah Subhana wa Ta’ala.

Persoalannya untuk apa mereka dimenangkan? Tentulah untuk memimpin umat Islam dari musuh-musuh Islam dan seterusnya menegakkan agama Islam di muka bumi ini serta akan terus dimenangkan sehingga hari yang ditentukan-Nya.

2. Sentiasa ada golongan yang membawa umat Islam ke arah manhaj sebenar.

Dari Abu Hurairah r.a : Rasulullah saw bersabda, "Setiap seratus tahun Allah mengutus kepada umat ini seseorang yang akan memperbaharui agama ini (dari penyimpangan)." [3740] Sahih Abu Daud

Maksud ‘memperbaharui agama’ bukanlah mengada-adakan sesuatu yang tiada dalam Islam, tetapi ia adalah membawa agama ini kembali kepada jalan yang lurus mengikut ajaran yang diajar oleh Rasulullah saw, iaitu kembali kepada Al-Quran dan Al-Sunnah yang sahih serta menghancurkan bidaah yang menyesatkan.

Perkataan ‘seseorang’ pula bukanlah bermakna seorang sahaja, tetapi samada secara individu, perkumpulan atau sesebuah pertubuhan atau organisasi. Mereka akan membetulkan kembali bidaah-bidaah yang terjadi dari bisikan syaitan dan membawa umat Islam kembali berpegang kepada Al-Quran dan sunnah yang sahih.

3. Sentiasa dimuliakan dengan Al-Quran.

Dari ‘Amir bin Watsilah r.a, katanya : Bahawasanya Nafi’ bin ‘Abdul Harits pada suatu ketika bertemu dengan Khalifah Umar r.a di Usfan.

-(Diringkaskan – Hadis ini mengenai Umar r.a bertanya kepada Nafi’, mengapa diangkat Ibnu Abza (hamba yang dimerdekakan) menjadi ketua bagi penduduk Wadi. Lalu Nafi’ menerangkan, bahawa Ibnu Abza mempunyai kefahaman mengenai Al-Quran dan pakar ilmu faraid kerana itulah dia diangkat menjadi ketua di situ)-

Kata Umar r.a, ‘Benar! Nabi saw pernah bersabda, “Bahawasanya Allah akan memuliakan suatu kaum dengan Kitab ini (Al-Quran) dan menghinakan yang lain.” [0783] Sahih Muslim

Umat Islam akan dimuliakan kerana ilmu yang didasarkan serta berpandukan dari Al-Quran. Al-Quran adalah sumber utama ilmu bagi mereka yang ingin berusaha dan mencarigali khazanah yang terdapat di dalamnya samada ilmu sains, kerohanian, perubatan, kejuruteraan, ilmu falaq dan sebagainya.

Umat Islam yang dapat menguasai Al-Quran dan faham bagaimana mengaplikasikannya dalam kehidupan akan dimuliakan. PERLU DIINGAT bahawa perkara ini adalah umum kepada semua manusia dan bukannya khusus kepada umat Islam.

Maksudnya Al-Quran itu diturunkan atau ditujukan kepada seluruh manusia dan seandainya orang kafir yang berpegang kepadanya, tetapi umat Islam meninggalkannya maka dihinakanlah umat Islam itu di mata orang kafir. Inilah antara punca terbesar umat Islam diperlakukan lebih buruk dari binatang ternakan pada masa ini, iaitu meninggalkan dan meremehkan Al-Quran kononnya atas dasar kemodenan serta membebaskan diri dari kejumudan.

Kita boleh lihat ikan paus, panda, beruang, harimau yang dibunuh oleh pemburu mendapat liputan seluruh dunia akan kekejaman pemburu tersebut. TETAPI umat Islam yang dibunuh dan disembelih di tanah air mereka sendiri dituduh pengganas dan dihalalkan darah mereka atas kebenaran dan persetujuan siapa?

Tidak lain tidak bukan kerana umat Islam sendiri membenarkannya dengan meninggalkan Al-Quran...; lalu kita dihinakan malah diperlakukan lebih buruk dari binatang ternakan. Semoga Allah menyelamatkan umat Islam di seluruh dunia. Semoga Allah memberi hidayah dan petunjuk kepada pemimpin-pemimpin kita.

KESIMPULAN

Tiga hadith di atas memadai bahawa sesungguhnya Allah benar-benar memelihara umat Nabi Muhammad saw dan tidak membiarkan umat akhir zaman ini terus dalam kesesatan. Hendaklah kita terus bersikap optimis dan yakin bahawa pada masa akan datang umat Islam akan menjadi lebih hebat dan semakin hebat.

Apa yang penting adalah apa yang perlu kita lakukan sekarang untuk membentuk generasi umat Islam yang hebat esok hari. Kita adalah perintis dan penggerak dalam membentuk masa depan umat Islam dan ini adalah sunnatullah. Maksudnya, ‘Apa yang kita lakukan hari ini membentuk masa hadapan’ (bersesuaian dengan takdir Allah Subhana wa Ta’ala).

Caranya, kembali kepada hadith-hadith di atas iaitu kembali kepada Al-Quran, Al-Sunnah yang sahih, mencontohi umat terbaik terdahulu (sahabat, tabiin dan tabiut tabiin) serta berusaha dan bekerjasama dalam membentuk dan melahirkan umat Islam yang mempunyai pendidikan yang hebat, penguasaan ekonomi (saling membantu sesama umat Islam) dan paling utama menyebarkan rasa cinta kepada Allah dan Rasul-Nya.


0 comments:

Post a Comment

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More