Monday, October 1, 2012

Peragut Masuk Wad Kena Belasah


KUALA LUMPUR : Cubaan tiga pemuda untuk menyamun seorang wanita yang berhenti di persimpangan lampu isyarat semalam bukan sahaja tidak berhasil malah salah seorang daripada mereka cedera parah dibelasah selepas diberkas oleh orang awam.

Dalam kejadian pada pukul 11.30 pagi di Seksyen 5, Wangsa Maju di sini, tiga suspek tersebut menunggang dua buah motosikal jenis Yamaha 125Z manakala mangsa pula menaiki kereta Honda Insight seorang diri.

Sebaik mangsa berhenti di persimpangan lampu isyarat itu, salah seorang suspek terus memecah cermin kereta mangsa yang berusia 30-an.

Malangnya perbuatan suspek itu dilihat oleh seorang pemandu van jenis Nissan Vannete yang kemudian berhenti di belakang kereta mangsa.

Difahamkan, pemandu van tersebut kemudian bertindak nekad merempuh sebuah motosikal dinaiki dua suspek dengan salah seorang sedang menarik beg tangan mangsa dari dalam keretanya.

Akibat rempuhan itu, kedua-dua suspek berkenaan terjatuh ke atas jalan tetapi salah seorang suspek itu kemudian sempat bangun dan melarikan diri.

Seorang lagi suspek yang menunggang sebuah motosikal lain turut meninggalkan tempat kejadian.

Orang awam yang melihat seorang suspek yang berbadan agak gempal yang tidak sempat melarikan diri terus menangkap suspek itu.

Berikutan itu, suspek berusia 20-an itu yang difahamkan baru dibebaskan dari pusat tahanan Simpang Renggam, Johor dibelasah sebelum diserahkan kepada polis.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah berkata, suspek yang cedera parah dibawa ke Hospital Kuala Lumpur dan ditempatkan di wad separa kritikal.

Keadaannya dilaporkan stabil.

0 comments:

Post a Comment

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More