Keutamaan Sahabat Rasulullah saw (Ringkasan)
Penyampaian Hadith
Hadith ataupun Sunnah adalah sumber kedua yang dirujuki dan yang terpenting selepas Al-Quran. Malah hadith juga menerangkan isi kandungan Al-Quran, mengkhususkan sesuatu perkara yang bersifat menyeluruh, menjelaskan kesamaran serta menafsir atau menghuraikan syariat Islam itu sendiri. Oleh itu, mengetahui akan sumber dan ketepatan sesebuah hadith amat penting.
Hadith-hadith ini telah disampaikan oleh para sahabat (Allah meredhai mereka) melalui hafazan, tulisan, di majlis-majlis ilmu, pertanyaan masyarakat sekeliling dan sebagainya. Malah secara tidak langsung mereka juga mencipta kaedah-kaedah ilmiah dalam menerima sesuatu hadith seperti kritikan para perawi, saksi (sanad), dipercayai dan sebagainya untuk menjaga kesahihan sesebuah hadith.
Sahabat adalah mereka yang pernah bertemu dengan Nabi saw secara langsung walaupun hanya sekali dalam hidup dengan syarat mereka beriman ketika masih hidup dan matinya juga dalam keadaan beriman. Ada pula pendapat mengatakan mereka yang hidup sezaman dengan Nabi saw tetapi hidup dan mati dalam keadaan beriman namun tidak pernah berjumpa Nabi saw juga adalah sahabat, seperti Raja Najasyi contohnya.
Kefahaman Para Sahabat
Para sahabat Rasulullah saw (Allah meredhai mereka) adalah golongan yang paling faham mengenai Al-Quran kerana Al-Quran diturunkan ketika Rasulullah saw masih berada bersama mereka. Mereka dibimbing serta diajar secara langsung oleh Rasulullah saw.
Para sahabatlah yang memelihara, menyebarkan, menyampaikan, meriwayat, memindah dan mengajar risalah atau hadith-hadith ini kepada sesama mereka dan ke generasi seterusnya dan selepas itu dan seterusnya sehingga hari ini dan kita dapat membaca dan mengambil pelajaran serta pengajaran darinya seolah-olah kita hidup pada zaman Rasulullah saw (jika kita mengkaji dan menghayatinya bersungguh-sungguh).
Para sahabat juga yang mengajar kita secara tidak langsung dengan riwayat mereka sehingga kita dapat mengenali hukum-hukum yang terhapus, sebab turunnya Al-Quran dan hadith, tatacara bersolat (ibadah) dan sebagainya.
Keutamaan Para Sahabat
Keutamaan mereka jelas terdapat dalam Al-Quran di mana Allah Subhana wa Ta’ala telah berfirman (terjemahannya);
Surah At-Taubah [9] : 100
100. Dan orang-orang yang terdahulu - yang mula-mula (berhijrah dan memberi bantuan) dari golongan "Muhajirin" dan "Ansar" dan orang-orang yang menurut (jejak langkah) mereka dengan kebaikan (iman dan taat), Allah redha akan mereka dan mereka pula redha akan Dia, serta Ia menyediakan untuk mereka Syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya; itulah kemenangan yang besar.
Antara isi kandungan yang PENTING dalam ayat di atas :
1. Golongan Muhajirin dan Ansar adalah golongan yang diberikan kemuliaan dan jaminan keredhaan Allah kepada mereka. Siapakah golongan Muhajirin dan Ansar ini?
Muhajirin adalah para sahabat yang berhijrah ke Madinah bersama Nabi saw. Manakala golongan Ansar adalah para sahabat di Madinah yang telah memeluk Islam yang terdiri dari kaum Aus dan Khazraj. Kedua-dua golongan tersebut adalah adalah para sahabat Rasulullah saw (Allah meredhai mereka). Maka jelas di dalam Al-Quran Allah meredhai para sahabat.
2. Perkataan ‘dan orang-orang yang menuruti mereka’ menerangkan, inilah manhaj atau jalan yang benar dalam Islam iaitu jalan para sahabat Rasulullah saw (Allah meredhai mereka). Maka menjadi satu kewajipan bagi kita mengikuti atau mencontohi mereka dalam urusan agama (dari segi akidah, ibadah, tafsiran Al-Quran dan hadith dan yang seumpamanya) kerana Allah telah memberi jaminan kepada mereka akan jaminan syurga serta keredhaan-Nya.
Terdapat ratusan hadith sahih mengenai keutamaan para sahabat dan cukup satu sahaja di sini;
Dari Abu Hurairah r.a, dia berkata : Rasulullah saw bersabda, “Janganlah kalian mencaci maki para sahabatku! Janganlah kalian mencaci maki para sahabatku! Demi Dzat yang jiwaku ditangan-Nya, seandainya seseorang menginfakkan emas sebesar gunung Uhud maka ia tidak akan dapat menandingi satu mud atau setengahnya dari apa yang telah diinfakkan para sahabatku.” [4610] Riwayat Muslim. Juga diriwayatkan oleh Bukhari, Abu Daud, Ibnu Majah dan Ahmad.
Rasulullah saw telah mengulang sebanyak dua kali yang menunjukkan betapa pentingnya hal ini supaya tidak mencaci para sahabat (Allah meredhai mereka). Sebesar mana kebaikan yang kita lakukan sama sekali tidak akan dapat menyamai kebaikan yang dilakukan oleh para sahabat.
Kelompok Mengkafirkan Sahabat
Namun sejak akhir-akhir ini terdapat kelompok munafik dan mulhid yang kembali bangkit untuk menyerang para sahabat Rasulullah saw dan meragui keutamaan mereka di sisi Allah dan Rasul-Nya serta menyebarkan kepada orang ramai akan keburukan para sahabat Rasulullah saw.
Hujah mereka yang bathil, lucu dan jahil hanyalah ciptaan-ciptaan palsu mereka. Apa sahaja hujah mereka sama sekali ditolak dengan ayat Al-Quran dan hadith di atas. Merekalah puak-puak kaum munafik yang bertaqiyyah bertujuan untuk memusnahkan Islam ini dari dalam.
Contohnya;
“Al-Kulaini yang dianggap seperti al-Bukhari oleh golongan Syiah mengatakan bahawa para sahabat telah murtad setelah kewafatan Nabi saw kecuali tiga orang iaitu Miqdad bin Aswad, Abu Dzar dan Salman al-Farisi.” (al-Rawdah Min al Kahfi, Jilid 8 halaman 245)
Perlu kita ketahui bahawa antara ciri-ciri mereka adalah mengkafirkan para isteri Rasulullah saw dan para sahabatnya. Termasuk dalam golongan mereka (pencela sahabat) adalah golongan yang anti hadith dan mencela para imam hadith termasuk Imam Bukhari dan Muslim serta ulama-ulama hadith selepasnya hingga ke hari ini.
Contohnya;
“Sekiranya institusi hadith tidak wujud dan masyarakat Islam pada waktu itu (para sahabat) merujuk kepada Quran untuk menyelesaikan selisih pendapat mengenai jawatan khalifah, mereka akan dapat menyelesaikannya atau persaudaraan dan kemuafakatan. Tetapi oleh kerana mereka (para sahabat) lebih mementingkan puak lebih dari persaudaraan Islam.... “ (Hadis : Satu Penilaian Semula [Kasim Ahmad], cetakan kedua halaman 75)
Kasim Ahmad mengatakan para sahabat tidak merujuk Al-Quran dan bersikap berpuak-puak (fanatik kaum) ketika mengangkat Abu Bakar r.a sebagai khalifah selepas kewafatan Rasulullah saw. Ini hanyalah salah satu contoh dari golongan anti hadith.
Tidak kira siapa sahaja mereka samada bersyahadah, berjubah, pengikut yang ramai; Jika mereka mencela dan mencaci para sahabat maka mereka menolak ayat Al-Quran di atas serta menolak hadith-hadith sahih mutawatir mengenai keutamaan para sahabat.
Maka hukum menolak ayat-ayat Al-Quran, menolak ratusan hadith yang sahih serta mengkafirkan para sahabat (Allah meredhai mereka) adalah kufur yang menyebabkan terkeluar dari Islam (termasuk juga mereka yang menyokong para pengkafir dan pencela sahabat Rasulullah saw).
Sahabat Generasi Terbaik
Dari 'Imran bin Husain r.a : Rasulullah saw bersabda, "Sebaik-baik umatku adalah yang orang-orang hidup pada zamanku (para sahabat) kemudian orang-orang yang datang setelah mereka (tabi’in) kemudian orang-orang yang datang setelah mereka (tabi’ut tabi’in)... [3377] Riwayat Bukhari, Muslim, Abu Daud, Tirmidzi, Nasa’i, Ahmad dan lainnya.
Sangat jelas dalam hadith ini bahawa keutamaan para sahabat yang merupakan generasi terbaik dan dimuliakan, paling memahami Al-Quran dan Al-Sunnah, yang diredhai Allah dan telah membantu menyebarkan Islam ke serata dunia.
Inilah satu dasar dalam menilai atau dijadikan sebagai sandaran dalam mencari ilmu yang benar iaitu mengikuti manhaj generasi terbaik yang disabdakan oleh Rasulullah saw ini. Tidaklah keluar dari mulut Rasulullah saw itu selain wahyu yang diwahyukan.
Mereka berjuang bersama-sama Rasulullah saw. Mereka berada di sisi Rasulullah saw ketika susah dan senang, sedih dan gembira. Mereka menyayangi Rasulullah saw lebih dari mereka mencintai keluarga dan diri mereka sendiri.
Maka apabila perkataan sahabat (generasi yang dimuliakan Allah) ditolak dan diangkat perkataan-perkataan orang lain sebagai ikutan, apakah reaksi kita? Lebih buruk lagi apabila para sahabat Rasulullah saw dicela dan dikafirkan, apakah reaksi kita? Dimanakah kecintaan kita kepada Rasulullah saw dan para sahabat?
Dari Ibnu Mas’ud r.a : Nabi saw bersabda, "Seseorang akan bersama dengan orang yang dicintainya." [5702] Riwayat Bukhari, Muslim, Abu Daud dan lainnya
Jika kita mencintai Rasulullah saw dan para sahabatnya maka kita bersama dengan mereka. Jika kita mencintai para pemfitnah, pencela dan pengkafir ini maka kita akan bersama dengan mereka.
0 comments:
Post a Comment