Wednesday, October 24, 2012

Diana Danielle Dan Farid Kamil Berpisah Selepas Berkahwin!

BERPISAH selepas berkahwin. Itu realiti yang bakal dihadapi aktres jelita, Diana Danielle selepas selamat melangsungkan pernikahannya dengan tunangnya, aktor Farid Kamil.

Perkahwinan antara Diana dan Farid dijadualkan berlangsung pada 3 November ini.

Menurut pemilik nama sebenar Diana Danielle Danny Beeson, yang ditemui pada program Anugerah Skrin 2012 (ASK 2012) di pusat beli-belah e@Curve baru-baru ini, perpisahan itu disebabkan dia mahu menyambung pelajaran di luar negara.

“Saya berasa cemburu apabila melihat rakan seusia yang dapat menimba ilmu di negara orang. Saya lantas telah membincangkan tentang perkara tersebut bersama Farid. Dia nyata amat menyokong niat saya untuk menyambung pelajaran,” ujarnya.

Diana bakal menimba ilmu di National Institute of Dramatic Art (NIDA), Australia dalam jurusan produksi siaran langsung selama setahun.


“Sebenarnya saya hanya mengambil kursus intensif. Selepas kami berkahwin, saya akan menyambung pelajaran sekitar awal tahun hadapan.

“Butirannya masih terlalu awal untuk dikongsi. Namun, nampaknya, kami terpaksa berjauhan buat sementara selepas kahwin nanti. Itu pengorbanan yang harus dilakukan demi masa depan kami berdua,” luahnya.

Meskipun berat hati untuk berpisah, namun kata Diana, bakal suaminya itu juga akan melanjutkan pelajaran pada peringkat doktor falsafah di Malaysia pada waktu yang sama.

“Kami berdua sama-sama melanjutkan pelajaran, rasanya tidak akan ada masalah. Bukanlah saya tidak akan pulang langsung ke Malaysia, masih ada kerja yang harus diselesaikan di sini.

“Jika ingin berjumpa, jarak antara Malaysia dan Australia tidaklah jauh sangat. Kami akan berulang-alik. Pada waktu itu kami sudah sah sebagai suami isteri, jadi tiada masalah untuk Farid datang melawat saya,” tuturnya.

Menyentuh soal kenapa dia ingin menimba ilmu di Australia sedangkan banyak lagi pusat pengajian tinggi berprestij di Malaysia, ketika karier lakonannya kini sedang berkembang maju, Diana melontarkan alasannya.

Ujarnya: “Pengalaman (belajar) di negara orang tidak sama dengan negara sendiri, dan menyambung pelajaran (di luar negara ) sememangnya merupakan impian saya.

“Sementelah, ilmu yang saya timba itu nanti amat berguna untuk kerjaya dan kehidupan saya pada kemudian hari. Sampai bila saya mahu bergantung hidup kepada pendapatan sebagai pelakon?”

Tambah Diana: “Saya sudah mengalami bagaimana rasanya diri berada dalam zaman popular dan kejatuhan. Ada masa pendapatan yang diperoleh lumayan dan ada masanya tidak.

“Jadi, ilmu yang bakal ditimba nanti adalah sebagai persediaan kerana saya dan Farid merancang untuk menubuhkan produksi kami sendiri pada masa hadapan.”

Tinggalkan zaman remaja

Usianya yang bakal mencecah 21 tahun pada 22 November ini dirasakan terlalu muda untuk mendirikan rumah tangga.

Bagaimanapun, Diana mempunyai pandangan yang tersendiri, malah, berkahwin awal merupakan pilihannya tanpa ada unsur paksaan daripada mana-mana pihak termasuk Farid.

“Tiada siapa yang paksa untuk saya kahwin awal, sedangkan ketika bertunang pada 2 September lalu, kedua-dua belah pihak keluarga memberi masa dalam tempoh setahun untuk kami berkahwin.

“Tempoh setahun diberikan kerana pihak keluarga tidak mahu kami menghadapi kesukaran. Mereka tahu proses untuk berkahwin bukan satu hal yang mudah, pelbagai perkara harus diambil kira.

“Kami berdua sama-sama membuat keputusan untuk segera berkahwin. Cepat atau lambat tiada bezanya, jadi lebih baik dipercepatkan. Sementelah, hubungan kami sudah mencecah tiga tahun, jadi buat apa tunggu lama-lama,” katanya sambil tertawa manis.

Tambah Diana, perkahwinan dan bertemu jodoh adalah ditetapkan Allah dan juga merupakan pilihan setiap individu.

“Saya secara peribadi sudah bersedia untuk memikul tanggungjawab sebagai seorang isteri. Usia muda atau tua bukan satu ukuran.

“Apabila saya sudah berjumpa dengan lelaki yang baik dan serasi dengan saya, saya sedia untuk mempunyai komitmen. Orang lain mungkin mempunyai pandangan berbeza, tetapi dalam keluarga saya, ramai yang berkahwin awal,” ujarnya.

Walaupun muda, tiada istilah belum puas menikmati zaman remaja untuk Diana. Terlibat dalam bidang seni dalam usia belasan tahun lagi dan dilimpahi kehidupan penuh glamor sudah memadai buatnya.

“Memang saya bukan jenis yang suka menghabiskan masa di luar rumah dan dengan kehidupan glamor, tetapi saya lebih berasa cukup puas menghabiskan masa senggang dengan rakan-rakan.

“Selepas ini, biar suami pula yang menemani saya ke mana-mana (ketawa). Alhamdulillah, Farid amat memahami saya, jadi tiada masalah untuk saya teruskan kerjaya yang saya minati,” ungkapnya.

Diana minat Farid

Membuka cerita bagaimana cinta mereka mula berputik, kata Diana, sebelum menceburi bidang seni, dia langsung tidak mengenali siapakah Farid Kamil.

Akuinya, sebelum ini, cita-citanya lebih terarah kepada bidang nyanyian. Disebabkan itu, Diana tidak berminat untuk mengambil tahu mengenai dunia lakonan tempatan.

“Waktu itu saya masih budak-budak lagi, memang saya gila sangat menyanyi. Sebaliknya kini, saya bukan bergelar penyanyi tetapi lebih dikenali sebagai pelakon. Sejak itulah baru saya mengenali Farid Kamil.

“Kami berkenalan ketika sama-sama membintangi filem Evolusi KL Drift. Pada ketika itu, saya suka cara dia bertutur dan sikap dirinya. Tidak lebih daripada itu,” luahnya.

Minat Diana yang bercambah terhadap bakat lakonan Farid tercetus selepas Diana menonton filem Anak Halal lakonan Farid bersama Maya Karin.

“Selepas menonton filem Anak Halal, saya mula meminati Farid. Bagi saya, dia seorang pelakon yang bagus. Sekarang, bila fikir saya bakal berkahwin dengan orang yang saya minati, rasa diri ini amat bertuah,” tutur Diana.

Harapan Diana hanya satu iaitu agar perkahwinannya bersama Farid kekal sehingga ke akhir hayat.

“Walaupun ramai yang kata perkahwinan selebriti banyak dugaannya, bagi saya semua orang mempunyai dugaannya yang tersendiri. Saya cuma berharap, Farid merupakan jodoh saya sehingga saya menutup mata,” katanya dalam senyuman yang bahagia.

0 comments:

Post a Comment

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More