Sunday, August 30, 2009

Penjagaan Muka Dengan Tomato dan Limau Nipis

Sebelum ini, saya dah kongsikan dengan anda cara penjagaan muka dengan beberapa jenis sayur, kan? Kalau tak keberatan, saya nak tambah beberapa petua lain untuk mencantikkan kulit muka anda. Iaitu sama ada dengan menggunakan buah tomato ataupun limau nipis.


Tomato

1. Anda sediakan sebiji buah tomato yang telah masak.

gambar buah tomato

Gambar buah tomato - Wikipedia



2. Lenyek tomato tersebut sehingga halus.

3. Kemudian, sapukannya ke seluruh muka anda.

4. Biarkan ia kering lebih kurang dalam 20 ke 25 minit.

5. Akhir sekali, bilas muka anda dengan air bersih.

Amalkan petua ini sebanyak 2 atau 3 kali dalam seminggu. :)


Limau Nipis

1. Sediakan sebiji atau dua biji limau nipis.

2. Kemudian, perahkan limau nipis tu sebab anda perlukan airnya saja.

3. Campurkan air limau nipis tadi dengan sesudu minyak masak.

4. Kacau campuran di atas sehingga sebati.

5. Sapukanlah campuran tersebut pada muka anda sebelum nak tidur.

6. Pada keesokan paginya, anda rendamkan beberapa keping asam gelugor dalam bekas yang berisi air panas.

7. Setelah direndam beberapa minit, biarkan air rendaman asam gelugor tu suam atau sejuk seketika.

8. Akhir sekali, gunakanlah air rendaman yang dah sejuk tadi untuk membasuh muka anda.

Petua ini boleh anda ulangi sebanyak 1 atau 2 kali seminggu.


Semoga petua di atas dapat membantu anda memiliki kulit muka yang halus, bersih dan licin tanpa perlu berbelanja besar.


Selamat Mencuba dan Selamat Menyambut Kemerdekaan ke-52!

Cara Penjagaan Muka Dengan Sayur-Sayuran

Menjaga kulit muka tak semestinya memakan kos yang tinggi. Sebaliknya, anda boleh sediakan sendiri ramuannya dengan menggunakan sayur-sayuran dan herba. Antara bahan yang boleh digunakan untuk rawatan muka adalah daun pegaga, lobak merah, terung muda dan cekur.

Kini, anda dah boleh menjimatkan duit dengan menggunakan beberapa tips penjagaan muka berikut;


Daun Pegaga:

1. Ambil daun pegaga dan basuh sampai bersih.

2. Tumbuk daun pegaga tadi sehingga hancur.

3. Campurkannya dengan sedikit air.

4. Kemudian, campurkan pula bedak sejuk dengan daun pegaga tadi.

5. Kacau semua campuran tadi sehingga sebati.

6. Akhir sekali, sapukanlah ramuan tersebut pada muka anda setiap malam sebelum tidur.


Lobak Merah:

Anda boleh melihat pada artikel lepas bertajuk Atasi Masalah Kulit Berkedut.


Terung Muda:

1. Ambillah sebiji terung muda.

gambar terung ungu
Gambar terung ungu - Wikipedia


2. Kemudian, gosok bahagian dalam terung (bahagian permukaan yang dipotong tadi) ke muka anda. Terutamanya di bahagian dahi dan pipi.

3. Selepas itu, jangan dibuang dulu terung tadi. Sebaliknya, potonglah lagi selapis bahagian dalam terung itu tadi. Kemudian, ulanglah langkah no. 2 di atas.

4. Anda boleh melakukannya beberapa kali sehinggalah permukaan terung telah habis digunakan.


Cekur:

1. Sediakan cekur kira-kira sebesar ibu jari.

2. Giling cekur tadi sampai lumat.

3. Seterusnya, campurkan cekur yang telah digiling dengan bedak sejuk.

4. Sapukan campuran tadi ke muka anda.

5. Biarkan kira-kira 15 hingga 20 minit.

6. Setelah ia kering, lapkan muka anda dengan kain lembap untuk menanggalkan segala kotoran.

7. Kemudian, basuh muka anda dengan air suam.

8. Amalkanlah selalu untuk mendapatkan hasil yang memuaskan.

Saya juga pernah menulis satu petua menggunakan cekur untuk hilangkan parut jerawat kat muka sebelum ini. Anda boleh rujuk di sana nanti. :)


Selamat Mencuba!


p.s: Selamat Menyambut Kemerdekaan ke-52 buat semua rakyat Malaysia.

Thursday, August 27, 2009

Tingkatkan Kesedaran Anda Terhadap Selesema Babi (H1N1)

Sejak Mei lalu, wabak selesema babi atau Influenza A (H1N1) telah menular ke negara kita. Hal ini sememangnya menimbulkan kebimbangan yang semakin mendalam dari hari ke hari. Mana tidaknya, 40% mangsa virus H1N1 telah meninggal dunia kerana lewat mendapatkan rawatan awal.

Antara tanda-tanda awal yang berkemungkinan anda dijangkiti virus H1N1 ni adalah demam serta mengalami salah satu gejala berikut;

- Batuk,
- Sakit tekak,
- Sakit badan,
- Sakit kepala atau
- Sukar bernafas


Justeru itu, saya menyarankan anda dan diri ini agar kita menitikberatkan langkah pencegahan. Kan orang selalu kata, mencegah itu lebih baik daripada merawat. Jadi, antara langkah pencegahan yang boleh anda lakukan;

1. Memakai topeng muka yang menutup hidung dan mulut.

gambar topeng muka

Gambar topeng muka



2. Jika anda batuk atau bersin, gunakanlah tisu atau sapu tangan yang bersih.

3. Kerap mencuci tangan dengan sempurna dan lap sampai kering.

4. Tangguhkan dulu perjalanan anda ke negara-negara yang dilanda virus Influenza A (H1N1).

5. Peka dengan perkembangan semasa terhadap wabak selesema babi ini.


Akhir kata, bagi anda yang masih sayangkan nyawa diri sendiri dan kaum keluarga, luangkanlah sedikit masa untuk memahami tentang H1N1 ini. Anda boleh mendapatkan maklumat tambahan mengenai H1N1 yang telah dikumpulkan di sini.



Hargailah Nyawa Anda Sebelum Terlambat!

Monday, August 24, 2009

Cara Menghilangkan Kutil Dengan Ikan Kekek

Adakah anda mempunyai kutil di mana-mana bahagian pada anggota badan? Kalau ada, mesti anda nak sangat buang kutil tersebut, kan? Jadi, apakata saya kongsikan cara menghilangkan kutil dengan menggunakan tulang ikan kekek. Anda akan mengetahui petuanya sebentar saja lagi.

Tapi sebelum itu, saya ada terjumpa beberapa imej ikan kekek melalui laman Flickr. Bagi anda yang kurang mengenali ikan kekek macam saya, diharap imej di bawah dapat membantu yer. :)

gambar sejenis masakan menggunakan ikan kekek

Sumber gambar - Flickr fbzy




gambar ikan kekek mentah

Sumber gambar - Flickr noridayu




Untuk menghilangkan kutil tadi, anda boleh ikuti langkah-langkah di bawah;


1. Anda ambillah 3 keping tulang ikan kekek.

2. Di samping itu, basuh dulu kutil yang ada pada tubuh anda dengan air bersih.

3. Kemudian, cucukkan 3 keping tulang tadi pada kutil tersebut.

Anda cucuklah dalam bentuk segitiga yer. Iaitu setiap satu dicucuk pada bahagian timur, barat dan selatan.

4. Setelah itu, biarkan saja tulang tersebut dalam keadaan begitu pada kutil anda.

5. Jika tiada aral, dalam masa beberapa hari saja kutil anda akan tertanggal dengan sendirinya.


Selamat Mencuba Petua Ni!

Sunday, August 16, 2009

5 Tips Pemakanan Ketika Bulan Puasa

Tinggal beberapa hari saja lagi, bulan Syaaban bakal meninggalkan kita. Kemudian, kita akan menyambut kedatangan Ramadhan Al-Mubarak pula. Bila menyebut tentang bulan Ramadhan, sudah tentulah ia berkaitan dengan ibadah puasa, kan?

Justeru itu, saya ingin menyentuh sikit berkenaan tips pemakanan ketika bulan puasa. Maklumlah, mesti ramai di antara anda (termasuk saya gak) yang nak "refresh" apakah jenis makanan yang sesuai diambil sepanjang bulan puasa nanti.


Berikut adalah 5 tips ringkas untuk anda;


1. Ketika bersahur, elakkan daripada makan terlalu banyak nasi.

2. Banyakkan mengambil makanan berkanji seperti roti yang kaya dengan serat. Ia membantu anda mengekalkan tenaga dan aktif ketika waktu siang.

3. Cuba elakkan mengambil makanan ringan, masin dan pedas. Ia hanya akan membuatkan anda lebih mudah lapar nanti.

4. Sebaiknya, cuba elakkan tidur selepas anda bersahur.

5. Sewaktu berbuka, mulakan dengan makanan yang manis seperti buah kurma dan air.



Ataupun kalau tiada kurma, boleh digantikan dengan kuih-muih. Ambillah makanan dalam kuantiti sedikit demi sedikit dahulu supaya perut anda tak terkejut semasa berbuka kelak.


Selamat Berpuasa!

Saturday, August 15, 2009

Cara Mengatasi Masalah Kurang Darah

Masalah kurang darah ni boleh berlaku ke atas kanak-kanak, ibu hamil dan juga orang dewasa yang tinggal di pedalaman. Anda yang mengalami masalah ini biasanya akan kelihatan pucat, lesu dan tak bersemangat. Justeru, anda tidak digalakkan berjalan kaki dalam jarak jauh kerana dikhuatiri boleh menyebabkan pengsan.

Antara punca kurang darah adalah disebabkan kekurangan zat protein dan zat besi, wanita yang kerap hamil dan tak teratur, penyakit malaria dan juga jangkitan cacing.


Untuk itu, ada satu petua tradisional yang boleh anda cuba bagi mengatasi penyakit ini. Mula-mula anda sediakan dulu bahan-bahan ini;


1. 2 biji telur ayam.

2. 1 sudu makan madu asli.

3. 1 biji limau nipis.

4. Segenggam daun bayam.


Kemudian, anda ikuti beberapa langkah di bawah ni;


1. Ambil kuning telur saja dan pukul sehingga rata.

2. Masukkan madu ke dalam kuning telur tadi dan kacau sampai rata.

3. Seterusnya, perahkan air limau nipis pula ke dalam campuran tadi dan kacau lagi. :)

4. Tumbuk dahulu daun bayam. Kemudian, anda ambil airnya dan masukkan bersama campuran kuning telur, madu dan air limau nipis tadi.

5. Kacau sekali lagi agar campuran tersebut sebati.

6. Akhir sekali, minumlah air daripada 4 ramuan di atas.


Amalkan meminum air ini selama 3 hari berturut-turut agar badan anda lebih sihat dan segar. Selepas itu, anda dah boleh menjarakkan tempoh meminumnya. Iaitu minum dalam seminggu sekali ataupun buat 2 minggu sekali. Mudah-mudahan anda tidak akan kekurangan darah lagi.


Selamat Mencuba!

Friday, August 14, 2009

Petua dan Tips Agar Suara Merdu

Suara yang merdu dan sedap didengar selalunya dimiliki oleh para qari(qariah), penyanyi, dj radio serta mereka yang menggunakan suara sebagai sumber pendapatan. Kita yang mendengar bacaan, nyanyian ataupun celoteh mereka pasti terpesona atau terhibur. Walaupun kekadang kita sendiri pun tak mengenali wajah mereka, kan?


Tapi agak-agak andalah, bagaimana mereka ni dapat memiliki suara yang begitu merdu?


Adakah memang suara mereka tu sedap secara semulajadi ataupun mereka pandai menjaga suara?


Kalau dah sedap secara semulajadi, itu merupakan kelebihan yang telah dikurniakan kepada merekalah. Tapi bagaimana pula dengan mereka yang tiada kelebihan tersebut?


Sebenarnya, anda boleh melatih suara ataupun mengamalkan petua tertentu untuk memerdukan suara. Salah satu cara melatih suara ialah dengan menjerit di dalam bekas yang berisi air. Setahu saya, cara ini selalu diamalkan oleh para qari dan qariah.


Manakala antara tips menjaga suara lain yang biasa dilakukan oleh masyarakat kita adalah;

1. Banyak meminum air suam atau air mineral.

2. Boleh juga selalu memakan makanan yang mengandungi kandungan air yang tinggi seperti buah-buahan. Antaranya epal, tembikai dan seumpamanya.

3. Elakkan meminum minuman berais dan bergas.

4. Elakkan atau mengurangkan pengambilan minuman yang berkafien seperti kopi dan teh. Jika anda penggemar teh, boleh meminum teh pudina sebagai ganti. :)

5. Begitu juga dengan coklat. Kalau boleh kurangkan pengambilannya sama ada coklat untuk dimakan mahupun minuman yang mengandungi coklat.

gambar uncang teh, kopi segera dan coklat



6. Mengamalkan meminum madu asli setiap pagi.

7. Mengamalkan minum air asam jawa buatan sendiri.

8. Kurangkan memakan makanan bergoreng atau berminyak.

contoh gambar makanan berminyak



9. Tidak merokok.


Baiklah, sekarang akan kongsikan satu petua untuk mendapatkan suara yang merdu atau sedap. Caranya begini;


1. Anda sediakan dua biji limau nipis.

2. Kemudian belahkan kepada empat bahagian.

3. Perahkan limau nipis tersebut ke dalam cawan.

4. Seterusnya tambahkan sedikit kapur dan sedikit garam ke dalam cawan tadi.


gambar limau nipis, sedikit kapur dan garam



5. Lepas itu, tambahkan pula satu sudu makan madu asli.

6. Kacau kesemua bahan tadi dan minumlah sampai habis.


Anda boleh mengamalkan meminum campuran bahan-bahan di atas seminggu sekali. Jika diizinkan-Nya, suara anda akan lebih sedap. Selain itu, petua di atas ni dapat menjaga, memelihara serta mengekalkan kemerduan suara anda.




Selamat Mencuba!

Friday, August 7, 2009

5 Cara Mudah Melembutkan Daging

Selalunya bila anda menikmati juadah yang berasaskan daging seperti rendang dan kari, tentu lebih berselera jika daging tersebut lembut dan empuk. Nikmatnya memang tak terhingga, kan?

cara melembutkan daging black pepper



Justeru itu, kalau anda bercadang nak masak lauk-pauk yang berasaskan daging seperti daging black pepper, kari ataupun rendang daging, berikut ada 5 cara melembutkan daging yang boleh anda cuba;


Cara Pertama:

1. Anda sediakan beberapa helai daun nangka dan bersihkannya dahulu.

imej daun nangka

Gambar hiasan daun nangka - wikipedia.org



2. Kemudian, masukkan saja daun nangka tadi ke dalam periuk bersama dengan daging yang ingin direbus.


Cara Kedua:

1. Anda ambil daun pisang abu dan lapkannya dulu sampai bersih.

2. Kemudian, carik-carikkan daun pisang abu tadi.

3. Lepas tu, masukkan saja ke dalam kuali atau periuk bersama-sama dengan daging yang ingin dimasak.


Cara Ketiga:

1. Anda perlukan setengah atau sebiji pinang tua.

gambar pinang

Gambar hiasan pinang - GoldenAgro.com



2. Kupaskan dan bersihkan pinang tua tadi.

3. Setelah itu, masukkannya ke dalam periuk (kuali) untuk dimasak sekali dengan daging.


Cara Keempat:

1. Cara ini pula khas untuk anda yang nak buat sate daging.

2. Memula, hiriskan dahulu daging tersebut.

3. Seterusnya, lumurkan daging tersebut dengan bahan-bahan perencahnya.

4. Kemudian, bungkuskan daging dengan daun betik.

imej daun betik

Gambar hiasan daun betik - wikipedia.org



5. Biarkannya selama 1 jam.

6. Setelah itu, barulah anda bakar sate daging tadi dan hasilnya daging itu lebih wangi dan empuk.


Cara Kelima:

1. Anda perlukan sebatang tebu. Anda boleh gunakan sebarang jenis tebu yer.

2. Buangkan dulu kulit tebu dan bersihkannya.

3. Kemudian, anda potongkan tebu tadi secara memanjang seruas-seruas.

4. Kalau daging tu nak dibuat rendang, masukkan saja isi tebu tadi bersama-sama dengan bahan-bahan lain untuk penyediaan rendang. Kemudian, masaklah sehingga rendang daging tu empuk.

5. Andainya anda nak buat sup daging pula, rebuslah isi tebu tadi bersama-sama dengan bahan-bahan lain untuk mereneh sup. Isi tebu tersebut berfungsi untuk melembutkan daging dan menambahkan kelazatan sup.


Sekarang anda dah tahu 5 petua untuk melembutkan daging, kan? Lepas ini bolehlah anda cuba mana-mana cara di atas. Mudah-mudahan masakan daging anda lebih enak nanti. :)

Thursday, August 6, 2009

Penawar Jika Terkena Gigitan Binatang Berbisa

Binatang berbisa seperti lipan dan kala jengking ni kalau menggigit, Tuhan saje yang tahu bagaimana rasa sakitnya. Anda yang pernah terkena gigitan pasti takkan dapat melupakan peristiwa tu, betul tak?

Salah satu penawar untuk menghilangkan bisa sengatan adalah dengan meminum segelas air garam jantan serta membaca Surah Al-Fatihah.


Cara-caranya seperti berikut;


1. Mula-mula, anda ambil segelas air putih dan campurkannya dengan sebuku garam jantan (garam kasar).

2. Kemudian, bacakan Surah Al-Fatihah sebanyak 41 kali.

3. Akhir sekali, berilah mangsa yang terkena gigitan binatang berbisa tu minum air garam tadi.

Jika diizinkan-Nya, bisa tersebut akan hilang dan sembuh.


Selamat Mencuba!

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More