Showing posts with label kisah sedih. Show all posts
Showing posts with label kisah sedih. Show all posts

Tuesday, December 25, 2012

Nasib Malang Si Tenggiling



NOR ERNITA IBRAHIM sudah mempunyai tiga orang anak tetapi dia begitu sayang sekali anaknya yang satu ini sehingga sanggup membawanya kemana-mana waima ketika membeli barangan dapur di pasar raya.
Tidur malam wanita berusia 29 tahun itu tidak pernah lena kerana wajib menyusukan anak yang diberi nama Dino setiap tiga jam sekali.

Sebenarnya, Dino merupakan seekor tenggiling yang masih bayi. Dianggarkan baru berusia lebih kurang dua bulan manakala Ernita sudah membelanya selama sebulan setengah.
Dino dijumpai oleh pekerja ladang kelapa sawit berdekatan Paya Indah Wetland, Dengkil lalu diserahkan kepada pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) yang menjadi lokasi Ernita bekerja.
Bekerja sebagai pembantu hidupan liar, bahagian In-Situ Konservasi Hidupan Liar, Ernita terpaksa mengamalkan kaedah menyuap paksa.
Puting botol susu yang digunakan adalah yang paling kecil tetapi masih susah untuk menyusukan haiwan yang berada dalam kategori terancam itu. Jika tidak dipaksa, risiko Dino mati sebelum matang amat tinggi.
Bukaan mulut tenggiling kecil sama dengan fitrahnya yang memakan semut dan anai-anai.
“Disebabkan ia sudah biasa dengan manusia jadi, Dino tidak bergulung apabila disentuh kecuali pada waktu tidur sahaja,” katanya ketika ditemui di Dengkil, Selangor.
Sebelum ini, Ernita pernah membela seekor anak landak yang disifatkan lebih susah untuk dibela kerana bulunya yang keras dan tajam.
Biarpun kelihatan jinak, Penolong Pengarah Kanan Perhilitan, Joil Bombon, 36, berkata, tenggiling merupakan haiwan prasejarah dan tidak mungkin ia dapat hidup sebagai binatang peliharaan.
Apabila Dino berusia tiga bulan nanti, Ernita akan cuba menyuap makanan yang sesuai dengan tabiatnya seperti ulat berbanding sekarang yang hanya menerima susu rendah lemak.
Sesudah ia biasa dengan makanan keras sebegitu, Dino akan dilepaskan ke habitat asal.
Perancangan setakat ini untuk Dino adalah ia akan dibebaskan di Paya Indah Wetlands kerana kawasan tersebut sangat sesuai dan sudah terdapat tenggiling yang hidup liar di situ.
Haiwan dilindungi
Tenggiling merupakan spesies hidupan liar yang dilindungi sepenuhnya di Semenanjung Malaysia. Ia disenaraikan dalam Jadual Kedua Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716).
Haiwan itu sama sekali tidak boleh dipelihara, disimpan, diniaga atau sebagainya. Tiada permit khas yang dikeluarkan bagi pemilikan oleh Jabatan Perhilitan.
Terdapat lapan spesies tenggiling di dunia tetapi hanya satu yang didapati di Malaysia iaitu Manis javanica atau dikenali sebagai Malayan pangolin.
ANAK tenggiling yang diletakkan di atas tangan Ernita tidak bergulung kerana ia sudah biasa disentuh manusia.



Biarpun terdapat undang-undang mengenainya, akhbar masih kerap melaporkan berita rampasan tenggiling di pintu-pintu sempadan negara hampir setiap bulan.
Menurut Joil, tangkapan yang paling besar setakat ini berlaku di Kelantan pada 2 Jun 2012, sebanyak 155 ekor tenggiling yang masih hidup dirampas.
“Keadaan kawasan penyimpanan sangat menyedihkan kerana berbau teramat busuk dengan bau najis tenggiling yang tidak dibersihkan,” cerita Joil sambil menggelengkan kepala.
Seramai tiga orang lelaki ditangkap iaitu dalam lingkungan umur 20-an hingga 30-an di sebuah rumah kongsi yang salah satu biliknya dijadikan stor penyimpanan tenggiling.
Pihak Perhilitan melakukan kerjasama dengan banyak agensi penguatkuasaan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kastam, Maritim Malaysia (APMM), Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) dan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) bagi membanteras penyeludupan hidupan liar.
Selalunya, Joil akan terus ke tempat kejadian apabila terdapat tangkapan bagi memastikan kesahihan haiwan yang ditangkap sebagai bukti di mahkamah nanti.
Malaysia dianggap sebagai negara transit dari negara asal sebelum dijual di negara-negara yang terdapat permintaan tinggi terhadap tenggiling.
Dijual kepada peraih
Terdapat beberapa jenis golongan yang terlibat dengan tangkapan tenggiling itu. Antaranya ialah pekerja-pekerja ladang yang bekerja separuh masa dengan menangkap tenggiling pada waktu malam.
Ia disimpan dan dikumpul sebelum dijual kepada peraih. Peringkat peraih merupakan golongan yang paling licik kerana mereka melakukan aktiviti penyeludupan secara terancang.
Jalan penyeludupan pula meliputi semua laluan yang ada sama ada laut, udara dan darat. Terdapat beberapa titik panas yang menjadi tempat pendaratan berdasarkan maklumat hasil risikan dan intipan.
Bagaimanapun, Joil menolak untuk memberitahu kawasan-kawasan tersebut kerana ia merupakan rahsia risikan dan tidak boleh didedahkan bagi mengelakkan berlaku perubahan cara penyeludupan.
Kemudian, tenggiling yang masuk ke Semenanjung Malaysia dieksport ke negara-negara yang mempunyai pasaran menggunakan kargo laut dan udara.
Kaedah yang digunakan penyeludup juga telah berubah daripada pengumpulan tenggiling secara tetap kepada cara pengumpulan secara runcit akibat stor-stor haram kerap diberkas Perhilitan.
Antaranya, penyeludup melakukan pengubahsuaian pada kereta supaya boleh bergerak dari satu lokasi ke tempat lain dan bertukar jenama kereta semata-mata mahu mengelirukan pihak berkuasa.
“Terdapat satu kes yang berlaku pada tahun 2009, but kereta yang ditahan dilengkapi dengan kipas angin dan perenjis air,” ujar Joil.
Mereka juga mempunyai hubungan antarabangsa yang akan menerima tenggiling apabila berjaya diseludup. Para penyeludup juga mendapat bantuan tonto yang sentiasa memantau pergerakan pihak berkuasa.
Akui Joil, kebanyakan penyeludup mengetahui sifat semula jadi tenggiling melalui pemerhatiannya terhadap keadaan haiwan tersebut ketika dirampas.
Bergulung bila diancam

ANAK tenggiling berdepan risiko kematian yang tinggi jika tidak disusukan.


“Tenggiling tidak akan melawan dan bergulung apabila berdepan dengan ancaman. Jadi, ia mudah ditangkap dan disimpan dalam guni biru dengan ketat supaya tidak lari.
“Perkara tersebut menyebabkan kuku-kuku tenggiling yang mencengkam menjadi rosak, lapar, kotor dan ada yang mati,” kata Joil menggambarkan keadaan tenggiling ketika rampasan berlaku.
Ubah suai stor penyimpanan dan but kereta pula bertujuan supaya kebarangkalian untuk tenggiling diseludup dalam keadaan hidup adalah tinggi. Tenggiling hidup dijual pada harga yang mahal.
Namun, bangkai haiwan pendiam itu juga ada harga kerana sisiknya dikatakan boleh menjadi ubat tradisional yang mujarab.
Melalui pengamatan Joil yang telah terlibat dalam penguatkuasaan sejak 2006 dan pegawai pengecaman setahun lalu, dia yakin Malaysia merupakan negara transit.
Tambahnya, trend penyeludupan adalah hampir sama setiap tahun namun, terdapat sedikit penurunan sejak kebelakangan ini selepas Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 dikuatkuasakan yang membolehkan mana-mana individu memiliki atau menyimpan lebih 20 ekor, jika boleh disabitkan kesalahan boleh dihukum denda tidak kurang RM50,000 dan tidak lebih RM100,000. Atau dengan penjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.
“Tenggiling yang dirampas akan dijadikan bahan bukti dan dilepaskan di Taman Negara atau di Paya Wetlands, Dengkil,” katanya Joil.
Mengikut kajian Traffic Southeast Asia (Traffic), tenggiling dibawa masuk dari Indonesia ke sini dan pembekal-pembekal tempatan dikumpul bersama sebelum dihantar ke Thailand.
Dari Thailand, tenggiling-tenggiling yang diseludup dibawa ke Vietnam dan China yang merupakan pasaran besar haiwan tersebut. Traffic merupakan sebuah badan yang memantau aktiviti penyeludupan haiwan terancam di dunia.
Pegawai Program Kanan Traffic, Noorainie Awang Anak berkata, rampasan yang dilakukan di sempadan Malaysia dan Thailand menjadi bukti terdapat perdagangan melintasi sempadan berlaku.
Rampasan
TENGGILING ini antara yang berjaya diselamatkan daripada penyeludupan di Pusat Pemuliharaan Hidupan Liar di Phnom Tamao, Kemboja.



Tenggiling telah berkurun lama didagangkan di Asia. Sekitar tahun 50-an dan 60-an, terdapat rekod sebanyak 10 tan haiwan tersebut dieksport dari Kepulauan Borneo.
Antara tahun 2000 hingga 2012, Traffic menganggarkan lebih kurang 69,000 tenggiling telah dirampas oleh agensi penguat kuasa di seluruh Asia Tenggara.
“Daripada jumlah itu, 11,000 ekor dirampas di Malaysia termasuk Sabah,” kata Noorainie melalui e-mel yang dihantar kepada Kosmo!
Data tersebut didapati daripada kajian terhadap laporan berita mengenai rampasan tenggiling di Asia Tenggara. Tiada angka rasmi dan muktamad.
Perkara tersebut berlaku kerana perilaku mamalia itu yang pemalu, hidup bersendirian dan aktif pada waktu malam sahaja. Itu menyebabkan ia sukar dikaji dan tiada kajian komprehensif yang boleh dirujuk.
Namun, maklumat yang diperoleh daripada pemburu yang mendakwa ia semakin sukar didapati dan mengambil kira cara ia membiak selain rampasan dagangan yang besar mengesahkan tenggiling semakin pupus.
Tambah Noorainie, Kesatuan Antarabangsa Pemuliharaan Alam Semula Jadi (IUCN) menyatakan bahawa populasi haiwan itu mengalami trend penurunan.
“Mengikut anggaran IUCN, tenggiling mengalami penurunan sebanyak 50 peratus sepanjang 15 tahun lalu disebabkan oleh jumlah yang diseludup untuk daging dan ubat,” ujarnya yang dipetik daripada e-mel yang dihantar.

Friday, December 21, 2012

Kisah Pengantin Mati Ketika Sujud Dalam Solat



Selepas melaksanakan Solat Maghrib, dia mulakan make-up pada wajahnya, memakai pakaian pengantin putih yang cantik, mempersiapkan dirinya untuk majlis perkahwinannya sendiri, kemudian dia terdengar azan ‘Isyak dan menyedari bahawa wuduknya telah terbatal. Lalu dia berkata kepada ibunya: “Mak, saya perlu ambil wuduk dulu dan solat ‘Isyak “

Ibunya terkejut: “Apa kamu gila?!! Tetamu sedang menunggu, untuk melihat kamu! Bagaimana dengan make-up? ! Nanti habis dirosakkan oleh air.” Tambah ibunya lagi: “Sebagai ibu, mak tak izinkan kamu solat sekarang! Wallahi… jika kamu ambil wuduk sekarang, mak akan tetap memarahi kamu.”

Anak perempuannya menjawab: “Wallahi… saya tidak akan pergi dari sini sehingga saya melakukan solat! Ibu sepatutnya tahu bahawa tidak ada ketaatan kepada mana-mana makhluk agar menderhaka kepada Maha Pencipta.!!”

Ibunya berkata: “Apa kata tetamu nanti jika kamu muncul dalam majlis perkahwinan sendiri tanpa make-up? Tentu nampak hodoh atau tidak cantik di mata mereka! Mereka pasti akan mentertawakan kamu! " Sambil tersenyum, anak perempuan itu bertanya: “Adakah ibu bimbang kerana saya tidak cantik di mata mereka? Bagaimana pula dengan Maha Pencipta saya? Saya bimbang kerana, jika saya terlepas solat saya, saya tidak lagi cantik di mata-Nya “

Dia mula berwuduk, dan semua make-up pada wajah telah hilang, tetapi dia tidak peduli. Kemudian dia, di waktu sedang dalam keadaan pengantin, memulakan solat itu dan pada masa dia turun untuk sujud, dia tidak sedar bahawa ia akan menjadi satu sujud yang terakhir!

Ya! Beliau meninggal dunia ketika dalam sujud! Pengakhiran yang besar bagi Muslimah yang berkeras untuk mentaati Tuhannya! Ramai antara mereka yang mendengar cerita ini begitu tersentuh!! Beliau mengutamakan Allah dan ketaatan kepadaNya sebagai yang pertama dalam keutamaan hidup beliau, jadi pengakhiran terbaik yang dianugerahkan oleh Allah pada mana-mana umat Islam yang layak memilikinya!

Dia mahu menjadi lebih dekat kepada-Nya, maka Allah mengambil nyawanya pada saat di mana umat Islam berada paling dekat kepada-Nya! SubhanAllah! Dia tidak peduli jika dia tidak indah di mata makhluk, asalkan dia cantik pada Maha Pencipta!

Wahai saudari Muslimah, bayangkan jika anda berada di tempat itu! Apa yang anda akan lakukan? Apa yang anda akan pilih: pujian manusia atau Maha Pencipta? Wahai sekelian insan! Adakah kita ada jaminan bahawa kita akan hidup untuk minit seterusnya? Jam? Atau bulan?!! Tiada siapa tahu apabila saat mereka akan datang? Atau bila kita akan bertemu malaikat Maut? Jadi, adakah kita bersedia untuk saat itu?

Wahai muslimah! Apa yang anda pilih: bersantai tanpa hijab atau dirahmati Allah dengan memakai hijab? Adakah kita bersedia untuk menemui Allah tanpa hijab?

[Diceritakan oleh Syeikh ‘Abdul Mohsen al Ahmad’, ia berlaku di Abha (Ibu Negeri Asir di Arab Saudi)]

Sunday, December 16, 2012

Bayi Terjatuh Ke Lantai Ketika Proses Bersalin Di Hospital

Ketika seorang bapa menanti saat kelahiran anaknya di wad bersalin, dirinya menjadi tergamam apabila melihat bayi kecil itu terjatuh ke lantai. Bapanya mendakwa doktor dan jururawat bertugas cuai dalam menjalankan tugas. 


Dari segi akal fikiran yang waras, mana mungkin doktor dan jururawat tersebut sengaja berbuat demikian. Kejadian yang berlaku tidak disengajakan. Bagaimanapun, hati bapa mana yang tidak sayangkan anaknya bukan.


Seorang bapa trauma melihat bayinya terhempas ke lantai ketika proses kelahiran di Wad Bersalin, Hospital Serdang, Selasa lalu yang didakwanya berpunca daripada kecuaian doktor dan jururawat bertugas.

Zulfahmi Johari, 35, mendakwa kejadian dikhuatiri boleh menyebabkan komplikasi kesihatan anak keduanya itu untuk tempoh jangka panjang walaupun pemeriksaan doktor mengesahkan bayi berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan setakat ini.

Ketika kejadian, sebahagian daripada kepala anak saya sudah keluar tetapi bahunya tersangkut menyebabkan kesukaran proses kelahiran. Dalam kesibukan doktor dan jururawat membuat persediaan berkaitan, bayi saya tiba-tiba meluncur keluar tanpa sempat disambut.

Bayi saya jatuh terhempas ke lantai dari ketinggian 0.6 meter dalam keadaan mengiring, manakala tali pusat terputus. Suasana agak panik ketika itu, lebih-lebih lagi bayi saya tidak menangis sebelum bantuan kecemasan diberikan, katanya kepada pemberita, di sini semalam.

Beliau yang juga seorang pegawai kerajaan, berkata bayi lelakinya seberat 3.08 kilogram kemudian dipindahkan ke Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU) bagi rawatan lanjut sebelum keadaannya disahkan stabil tanpa sebarang kecederaan.

Saya bersyukur bayi saya selamat, malah hasil pemeriksaan ultra sound menunjukkan bayi saya tidak mengalami sebarang kecederaan. Bagaimanapun, apa yang musykil tiada dokumen berkaitan bagi membuktikan keputusan pemeriksaan itu.

Ini bermakna kita belum tahu sama ada bayi ini akan kekal normal pada masa depan susulan kejadian tempoh hari.

Berdasarkan pemantauan saya dalam tempoh 48 jam lalu, bayi saya kelihatan kurang aktif… tidak seperti bayi lain, katanya.

Justeru, Zulfahmi meminta jaminan secara rasmi daripada pihak hospital, begitu juga Kementerian Kesihatan untuk bertanggungjawab sepenuhnya jika anak keduanya itu mengalami sebarang komplikasi kesihatan pada masa depan.

Lebih mengecewakan, hanya doktor bertugas meminta maaf di atas kejadian itu… pihak pengurusan hospital langsung tidak berjumpa saya memohon maaf atau memberi penjelasan berhubung kecuaian mereka, katanya.

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More