Showing posts with label berita tempatan. Show all posts
Showing posts with label berita tempatan. Show all posts

Tuesday, December 25, 2012

Mangsa banjir di Pantai Timur kini hampir 11,000



KUALA LUMPUR - Keadaan banjir di Terengganu, Kelantan dan Pahang semakin buruk petang ini dengan maklumat terkini menunjukkan lebih 10,800 mangsa dipindahkan berbanding lebih 6,000 mangsa pada sebelah pagi.

Seramai 5,297 mangsa dipindahkan di Terengganu berbanding 2,594 pagi tadi, dan jumlah mangsa banjir di Kelantan meningkat kepada 3,218 berbanding 1,963 pada sebelah pagi, menurut portal rasmi kerajaan negeri masing-masing.

Menurut portal banjir Majlis Keselamatan Negara pula, sejumlah 2,376 mangsa dipindahkan di Pahang berbanding 1,743 pagi tadi, manakala mangsa banjir di Johor kekal 16 orang.

Di TERENGGANU, mangsa banjir di Hulu Terengganu meningkat kepada 1,052 orang petang ini manakala Kuala Terengganu menyaksikan pertambahan 91 mangsa kepada 808.

Bilangan mangsa di Besut ialah 1,096 diikuti Dungun (744), Setiu (717), Kemaman (611) dan Marang (269).

Pusat penempatan banjir yang beroperasi di Terengganu ialah di daerah Besut (16), Dungun (12), Hulu Terengganu (16), Kemaman (13), Kuala Terengganu (lapan), Marang (10) dan Setiu (18).

Sementara itu, Jalan Jerangau-Jabor yang ditutup pagi tadi dibuka semula kepada semua lalu lintas petang ini.

Bagaimanapun, Kilometer 13 Jalan Tembila ditutup kepada semua kenderaan ringan kerana ditenggelami air sedalam semeter dan Jalan Penarik-Permaisuri di Kampung Nyatuh juga ditutup kepada kenderaan ringan.

Di KELANTAN, jumlah terbesar mangsa dipindahkan ialah di Pasir Mas iaitu 2,049 diikuti Kuala Krai (355), Kota Baharu (264), Tanah Merah (217), Pasir Puteh (245), Machang (47) dan Tumpat (41).

Sungai Lebir di Tualang, Kuala Krai; Sungai Kelantan di Jambatan Guillemard, Tanah Merah; dan Sungai Golok di Jenob, Tanah Merah dan Rantau Panjang masih mencatat bacaan di atas paras bahaya, menurut portal rasmi kerajaan negeri itu.

Setakat petang ini, tiada lagi jalan utama di negeri itu ditutup kepada kenderaan dan tiada laporan kemalangan jiwa. Cuaca ketika ini mendung dan diselangi hujan renyai.

Di PAHANG, 2,152 mangsa dipindahkan di Kuantan, Pekan (167) dan Rompin (57).

Beberapa laluan di kawasan Sungai Lembing ditutup kepada lalu lintas bermula hari ini berikutan paras air Sungai Lembing yang semakin meningkat.

Dalam pada itu, Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah yang melawat mangsa banjir di Sekolah Kebangsaan Sinar Mutiara di Pekan berharap mereka bersabar.

Titah baginda, pihak bertanggungjawab kini sedaya upaya membantu mangsa yang terjejas dan meminta mereka tidak menyalahkan pihak berkenaan jika bantuan lewat sampai.

"Saya harap mereka tidak menyalahkan pihak yang datang memberi bantuan... mungkin keadaan jalan yang tidak berapa baik dalam keadaan cuaca hujan begini menyebabkan bantuan sedikit terlewat," titah baginda.- Bernama

Bil Elektrik lebih 100 peratus



SUBANG JAYA – Pengusaha restoran dan penduduk sekitar Sunway serta Subang Jaya di sini mendakwa terkejut bil elektrik mereka naik lebih 100 peratus selepas Tenaga Nasional Berhad (TNB) menggantikan meter analog kepada digital bermula September lalu.

Difahamkan, ada pengusaha restoran yang mendakwa bil mereka yang sebelum ini hanya RM600 sebulan naik mendadak kepada RM3,000.

Adun Subang Jaya, Hannah Yeoh Tseow Suan berkata, beliau menerima banyak aduan berhubung perkara itu. Menurutnya, yang menimbulkan ketidakpuasan hati pengguna syarikat utiliti itu bil tidak diberikan setiap bulan dan hanya menggunakan anggaran penggunaan.

Katanya, turut menimbulkan kekeliruan apabila sebahagian pengguna boleh menukar meter tetapi ada pula yang boleh sekiranya tidak mahu meter mereka ditukar. “Kebanyakan yang mengadu tidak puas hati mengenai ini, ada yang tukar, ada yang tidak tukar, yang bersetuju tukar meter mereka rasa tertipu,” katanya pengguna terpaksa kerana hanya ada satu pembekal elektrik sahaja di negara ini.

Hannah berkata, syarikat utiliti berkenaan perlu melantik badan bebas untuk menguji meter baru yang ditukar selain sebagi satu tempat untuk pengguna membuat aduan berkenaan meter yang tidak tepat. Katanya, TNB juga mesti memberitahu orang ramai berapa keuntungan diperolehi selepas melaksanakan penukaran meter itu dan kementerian harus main peranan berkenaan perkara itu.

“Masalahnya kalau tidak bayar, TNB beri notis amaran untuk potong seolah-olah ugutan kepada pengguna, keperluan bekalan itu penting, saya minta pihak utiliti itu beri maklumbalas segera berhubung cadangan penubuhan badan bebas itu,” katanya.

Pengusaha kedai makanan, Ari Krishnan berkata, bilnya sebelum bulan Julai lalu hanya sekitar RM600. Namun katanya, bermula September lalu bilnya mula naik RM2,000 dan RM3,000 sehingga bekalan di premisnya pernah dipotong selepas waktu bekerja.

Katanya, oleh kerana dia perlu meneruskan operasi perniagaan, dia terpaksa memanggil pekerja syarikat utiliti itu dan terpaksa membayar sedikit wang perkhidmatan kerana mahu bekalan disambung semula. “Jika tidak saya perlu menunggu untuk penyambungan bekalan keesokan harinya,” katanya.

Saturday, December 22, 2012

Apak Kes! Bomoh rogol murid tahun enam

Asmah (kiri) bersama anaknya menunjukkan surat pengesahan hospital dan laporan polis.

ALOR SETAR – Seorang murid perempuan tahun enam di sini trauma selepas menjadi mangsa nafsu serakah bomoh bergelar ‘ustaz’ apabila dipercayai dirogol berulang kali dalam kejadian berasingan di Taman PKNK, sejak awal tahun lalu.

Lelaki berusia 64 tahun itu dikatakan mengambil kesempatan melampiaskan nafsu selepas mangsa ditinggalkan ibunya kepada ‘ustaz’ berkenaan di rumah itu untuk sesi rawatan pada waktu pagi sebelum menjemputnya pada waktu tengah hari.

Ibunya, Asmah, 47, (bukan nama sebenar) berkata, dia tidak menyangka anaknya menjadi mangsa nafsu serakah lelaki itu kerana beranggapan lelaki itu akan cuba membantu anaknya yang didakwanya mempunyai sejenis penyakit dalam badan.

Katanya, dia hanya dapat tahu perkara itu selepas anaknya menceritakan peristiwa hitam itu kepada sepupunya sebelum diberitahu kakaknya.

“Masa itu saya nak buat rawatan kepada mak sebab badan dia sering gatal. Selepas dapatkan rawatan, penyakit mak pulih. Pada masa sama, lelaki itu turut memberitahu anak saya alami sejenis penyakit dalam badan dan perlu rawatan secepat mungkin.

“Saya memang tidak sangka lelaki itu tergamak buat macam ini kepada anak saya sebab saya beranggapan dia akan tolong anak saya betul-betul. Boleh dikatakan selang sehari saya dapatkan khidmat daripada lelaki itu untuk ubati penyakit anak,” katanya.

Menurutnya, lelaki itu mendakwa anaknya perlu dimasukkan ke dalam sebuah bilik tanpa teman untuk elak gangguan semasa sesi rawatan.

“Percaya dengan kata-kata itu, saya pun tunggu di ruang tamu. Selepas sesi rawatan, 'ustaz' itu memaklumkan anak saya mempunyai penyakit misteri, iaitu terdapat batu dalam badannya dan perlu dikeluarkan melalui kemaluan.

“Pada suatu hari, dia sekali lagi minta saya hantar anak ke rumahnya untuk selesaikan rawatan sepenuhnya. Kemudian, saya hantar anak ke rumah lelaki itu sambil ditemani sepupunya, namun lelaki itu menghalau kami pulang kerana membawa teman. Dakwanya kalau bawa teman rawatan tidak boleh dilakukan.

“Bagaimanapun, selang dua minggu kemudian, lelaki itu menghubungi saya dan meminta anak saya datang ke rumah itu secepat mungkin untuk menyelesaikan penyakitnya dan dibenarkan bawa teman. Saya pun tinggalkan anak dan anak saudara yang berumur 16 tahun di rumah itu sebelum menjemput mereka pada waktu tengah hari selepas selesai waktu bekerja,” katanya.

Asmah berkata, dia tidak sangka peristiwa hitam itu akan berlaku setelah anaknya memaklumkan dirinya dirogol lelaki itu sementara anak saudaranya pula dicabul kemaluannya sepanjang berada di rumah itu.

“Selepas mengetahui perkara itu, saya bawa anak dan anak saudara ke Hospital Sultanah Bahiyah, di sini untuk mendapatkan rawatan dan pemeriksaan. Doktor yang merawat turut mengesahkan bahawa terdapat kesan koyakan pada kemaluannya.

“Saya tidak puas hati dengan perbuatan lelaki itu dan membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar supaya anak saya mendapat pembelaan sewajarnya,” katanya.

Asmah turut merayu polis bertindak segera kerana laporan sudah dibuat sejak tahun lalu. - sinarharian

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More