Showing posts with label Tips Pelajar Cemerlang. Show all posts
Showing posts with label Tips Pelajar Cemerlang. Show all posts

Sunday, August 19, 2012

Betul Betul Info - Tips Berkesan Belajar Secara Kumpulan (Study Group)

Study Smart & Study Hard

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Dalam edisi Tips Pelajar Cemerlang kali ini penulis ingin berkongsi Tips Berkesan Belajar Secara Kumpulan (Study Group) yang telah disampaikan oleh Dr. Ismail Zain.



Belajar secara kumpulan adalah salah satu kaedah belajar yang mampu mengurangkan rasa bosan dan menguatkan daya ingatan. Murid-murid yang berada di asrama umpamanya perlulah memanfaatkan kaedah ini kerana mereka lebih berpeluang berada dalam kumpulan sama ada pada waktu petang atau malam semasa menghadiri kelas persediaaan. Kebanyakan murid menganggap belajar secara kumpulan ini merugikan masa atau tidak mampu memberi tumpuan. Sebenarnya belajar secara kumpulan memerlukan perancangan yang rapi serta kerjasama yang erat daripada anggota kumpulan. Berikut diberi beberapa panduan belajar secara kumpulan: 

1. Jumlah anggota kumpulan

Seeloknya jumlah anggota kumpulan adalah antara 3 hingga ke 5 orang sahaja. Jika terlalu ramai interaksi tidak dapat dijalankan secara berkesan dan ianya memakan masa yang lama.

2. Topik pembelajaran

Setiap anggota kumpulan perlulah mempunyai kata sepakat tentang topik yang menjadi pilihan mereka untuk belajar dalam kumpulan. Topik tersebut perlulah dibaca dan dikaji dahulu sebelum hadir untuk sesi tersebut.

3. Kaedah pembelajaran
  • Pecahan topik: Setiap anggota kumpulan perlulah mempunyai tugas untuk menganalisis topik mengikut pembahagian dan pecahan topik.
  • Analisis: Setiap anggota kumpulan perlulah menganalisis tugas yang diberikan dengan cara membuat catatan ringkas, rajah, peta minda atau pengurusan grafik. Sebarang keraguan yang terdapat sewaktu proses menganalisis dijalankan perlulah diambil perhatian agar perkara ini dapat dikemukakan kepada anggota lain untuk membantu ke arah penyelesaian.
  • Persembahan: Setiap anggota kumpulan perlulah mempersembahkan tugasan mereka secara tidak formal dan bergilir-gilir. Persembahan perlulah dibuat secara jelas dengan menggunakan bahasa yang mudah tetapi mengekalkan sebutan istilah-istilah yang tertentu dan penting.
  • Interaksi: Selepas persembahan anggota lain perlu berinteraksi iaitu sama ada bertanya atau memberi pandangan atau teguran jika salah. Proses ini mampu menjelaskan lagi masalah yang terdapat dalam topik tersebut serta dengan tidak secara langsung menguatkan lagi daya ingatan.
  • Rumusan: Setiap perbincangan perlulah dibuat rumusan sama ada dalam bentuk nota atau peta minda agar daya ingatan dapat dikekalkan.Kejayaan kaedah belajar secara kumpulan ini banyak bergantung kepada disiplin diri setiap kumpulan. Setiap anggota kumpulan perlulah menumpukan perbincangan terhadap topik yang ditentukan tanpa gangguan.
Seorang anggota kumpulan perlulah dilantik untuk menyelaras aktiviti yang dijalankan agar ia lebih terancang dan berjaya memenuhi tujuannya. Bagaimanapun setiap anggota kumpulan perlu memainkan peranan masing-masing dalam setiap aktiviti yang dijalankan.

Sesungguhnya belajar secara kumpulan ini tidak memberi sebarang tekanan kerana ianya dijalankan secara mesra, ikhlas dan di ruang yang lebih lapang dan tidak terhad dalam bilik darjah sahaja.

Tuesday, August 14, 2012

Betul Betul Info - 21 Cara Belajar Yang Betul

Study Smart & Study Hard

Pelajar yang mengamalkan cara belajar yang betul akan lebih mudah mencapai kejayaan berbanding dengan pelajar yang belajar tanpa mengikut tatacara yang bersistem. Dalam edisi Tips Pelajar Cemerlang ini, disenaraikan dua puluh satu kaedah belajar yang berkesan untuk membantu pelajar menghadapi dunia peperiksaan.

1. Tidak mensia-siakan masa biar pun seminit

Seorang pelajar yang cemerlang menggunakan masa yang terluang, masa pertukaran kelas, masa menunggu kereta sewa, masa sebelum hidangan makanan. Mereka boleh membaca satu atau dua soalan objektif atau ulangkaji pelajaran yang telah mereka baca.

2. Membawa buku ke mana sahaja mereka pergi

Amalkan sikap membawa buku setiap ketika. Sikap ini bukan bermaksud kita mesti membaca buku tersebut. Kemungkinan diri anda tidak membaca apa-apa , tetapi ia memupuk jiwa bersungguh-sungguh dengan kewajipan terhadap pelajaran. Sikap ini membolehkan anda menyemai budaya belajar yang positif dan sikap bertanggungjawab terhadap pelajaran.

3. Gunakan masa awal pagi

Gunakan sepenuhnya masa awal pagi untuk mengulangkaji pelajaran yang anda lemah. Pupukan semangat belajar pada awal pagi biar pun anda tidak terasa mahu membaca. Usaha ini akan menyemai semangat yang kental terhadap pelajaran dan membolehkan anda mulakan hari tersebut dengan azam untuk berjaya.

4. Buat nota ringkas

Pelajar yang cemerlang sentiasa membuat nota ringkas. Nota tersebut adalah untuk membolehkan anda merujuk kembali apa yang telah anda baca. Ia tidak menjamin ingatan anda tetapi ia meningkatkan kuasa ingatan anda. Dengan adanya nota ringkas, ulangkaji sehari sebelum peperiksaan menjadi lebih mudah.

5. Mengikut jadual sepenuhnya

Aturkan masa untuk setiap aktiviti yang anda hendak lakukan pada hari tersebut. Patuhi jadual belajar anda tanpa syarat. Jangan ikut perasaan. Biar pun anda tidak suka belajar pada sesuatu masa, buka sahaj buku dan membacanya. Jika anda mempunyai disiplin yang kuat terhadap hidup, anda tidak akan lalai terhadap tanggung-jawab belajar. Pastikan anda peruntukkan masa untuk setiap mata pelajaran pada setiap hari jika anda mahu mencapai kegemilangan dalam semua mata pelajaran.

6. Mencuba soalan tahun lalu

Pelajar cemerlang memperuntukkan masa untuk menjawa contoh soalan setiap hari. Ini akan membiasakan dirinya dengan corak soalan yang sering keluar dalam peperiksaan dan bagaimana menjawabnya. Pelajar yang hanya begitu kepada buku teks tidak akan lulus dengan cemerlang kerana mereka tidak biasa dengan corak soalan peperiksaan.

7. Ulang sebanyak kali yang boleh

Setiap fakta yang dibaca akan terus diulang sebanyak yang mampu. Tidak ada had ulangan yang akn dilakukan, Selagi ada masa, anda boleh mengulangi apa yang telah dibaca biar pun anda sudah faham atau sudah mengingatinya. Semakin banyak anda membaca, semakin tinggi keyakinan diri anda untuk lulus dengan cemerlang.

8. Sentiasa bertanya kalau tidak faham

Dekatkan diri dengan guru dan guna setiap kesempatan yang ada untuk menjawab kemusykilan anda. Biar pun anda sudah faham , anda masih boleh menanya. Ini akan menguatkan kefahaman dan ingatan anda. Anggapkan guru anda, kakak atau abang anda, kawan-kawan anda sebagai orang yang boleh membantu anda dalam hal ini.

9. Berikan penumpuan pada pelajaran yang lemah

Jika anda lemah dalam bahasa Inggeris atau matematik, peruntukkan masa yang lebih untuk ulangkaji. Elakkan memilih mata pelajaran yang disukai dan abaikan mata pelajaran yang anda kurang suka. Buat tanda pada bahagian yang anda rasa perlu penumpuan lebih. Gunakan simbol dan lorekkan bahagian yang anda anggap penting. Jangan jadikan tidak faham, tidak ingat atau tidak pandai sebagai alasan untuk berhenti ulangkaji.

10. Mengunjungi perpustakaan

Rapatkan dengan kawan yang mahu belajar. Perhatikan bagaimana mereka belajar dan semarakkan jiwa yang kuat seperti mereka. Tukar pendapat antara satu sama lain. Berikan penemuan dan berkongsi soalan yang anda buat dengan mereka. Ini akan mengaktifan suasana tolong menolong dalam haluan memajukan pelajaran masing-masing.

11. Menjadi model dalam rumah

Jadikan diri anda sebagai contoh kepada adik-adik lain. Beritahu mereka “Jangan membuang masa dengan aktiviti-aktiviti yang tidak menyumbang kepada masa depan.” Semakin anda memberi galakan untuk mereka , semakin tinggi semangat anda untuk menjadi contoh kepada mereka. Apa yang anda serukan akan menjadi panduan dalam hidup anda sendiri.

12. Imbangkan masa kokorikulum dan akademik

Jika anda berada dalam tahun peperiksaan , jangan terlalu menumpukan perhatian pada kokorikulum kerana ini akan melalaikan diri dalam bidang akademik. Jika anda mahu berjaya dalam akademik, anda perlu mempunyai masa ulangkaji yang cukup di rumah. Masa ulangkaji untuk SPM ialah dalam lingkungan 5 jam ke 6 jam sehari. Jika masa minima tersebut tidak dipenuhi, anda mungkin perlu berjaga malam atau bangun pagi.

13. Belajar mengikut rentak sendiri

Jangan membandingkan diri dengan pelajar yang mantap dalam prestasi peperiksaan. Anda perlu mebgenal rentak sendiri dan pastikan anda mematuhi rentak tersebut. Jika anda seorang pelupa, pastikan anda mengatur masa ulangkaji kedua atau ketiga pada minggu-minggu yang akan datang. Jika anda perlukan bimbingan tambahan , dapatkan tuisyen.

14. Persiapan minda sebelum ulangkaji

Lelapkan mata untuk beberapa minit dan wawasankan hidup anda kelak. Apa yang anda hendak capai. Apakah corak hidup yang anda hajatkan. Apakah yang hendak anda berikan kepada ahli keluarga serta ibu bapa anda sebagai tanda kasih sayang dan terima kasih. Adakah anda berhajat hendak mengharumkan nama keluarga dan negara anda ? Apakah kejayaan peringkat remaja yang membanggakan diri anda dan keluarga anda? Bila anda membaca buku, kaitkan dengan hidup anda. Anda bukan sekadar mahu lulus cemerlang dalam peperiksaan , anda mahukan hidup yang baik dan berkualiti.

15. Elakkan gangguan emosi

Semua perkara yang merunsingkan dan mengganggu konsentrasi waktu belajar perlu diketepikan. Beritahu diri anda , “saya tidak relakan masa depan saya tergadai oleh okr yang remeh-temeh ini.” Sebaik pemikiran atau perasaan negatif timbul, tuliskan pada kertas . Layankan semua gangguan ini selepas peperiksaan. Anda boleh gunakan musik latar yang lembut untuk menjadikan suasana belajar lebih menyelerakan (jika sesuai).

16. Kurangkan kerja rumah tangga

Jika anda pada tahun peperiksaan , maklumkan hajat anda untuk berjaya dan minta adik-adik anda menolong anda dalam beberapa aspek kerja rumah tangga. Amalkan sikap tolong menolong dalam keluarga. Bila masanya mereka yang menduduki peperiksaan SPM, sama-sama menolong dirinya. Budaya berkongsi beban kerja rumah tangga seperti mencuci kasut, menyapu lantai dan lain-lain akan memberi lebih masa untuk anda belajar.

17. Rancangkan jadual ulangkaji setahun

Tetapkan ulangkaji anda sehingga bulan September. Sebulan sebelum peperiksaan , anda perlu siap ulangkaji. Pastikan setiap mukasurat dibaca, dan setiap soalan dijawab. Ini boleh dilakukan dengan membahagikan bilangan mukasurat buku dengan bilangan hari yang ada. Jika anda gagal mengulangkaji mukasurat berkenaan pada hari yang ditetapkanm pangkahkan dengan besar menggunakan pensil. Pastikan anda membaca mukasurat ini sebelum peperiksaan tiba. Tapi, sebelum anda membaca mukasurat yang terhutang, pastikan anda telah siap ulangkaji mukasurat yang ditetapkan untuk hari tersebut.

18. Belajar menyesuaikan diri dengan semua keadaan

Biar pun rumah anda bising, panas atau kurang selesa; ia tidak menjadi penghalang untuk anda mengulangkaji. Kadang-kadang , kita perlu belajar menyesuikan diri dengan kekurangan yang ada. Semakin mencabar keadaan anda , semakin besar ujian ketahanan diri anda. Beritahu diri anda , “biar apa yang berlaku, saya tetap dapat menjalankan tugas saya kerana saya seorang yang tahan lasak.”

19. Berhati-hati dengan kawan yang tidak sehaluan dengan anda

Jika anda mahu belajar tetapi rakan-rakan anda tidak suka belajar. Mereka cuba mempengaruhi anda dengan seribu satu jenis kegiatan yang hanya membuangkan masa anda. Berani berkata “tidak” dan menolak mereka dengan lembut. Jangan sekali-kali menjadi mangsa kepada mereka kononnya anda tidak mahu melukakan hati mereka. Jika anda mengikut rentak mereka, anda akan melukakan masa depan sendiri.

20. Terus belajar biar pun tidak menampakkan kemajuan

Jangan mengukur prestasi anda kerana tidak menampakkan kemajuan yang nyata dalam keputusan peperiksaan sekolah. Setelah berbulan-bulan anda bertungkus-lumus, anda mungkin mahu kemajuan dalam keputusan sekolah. Sebenarnya, penilaian sekolah tidak menggambarkan anda pasti akan lulus atau gagal dalam peperiksaan akhir tahun. Teruskan usaha dan jangan berhenti.

21. Terokai bakat dan minat anda

Sambil anda berjuang untuk peperiksaan SPM, peruntukkan masa juga untuk bidang yang anda hendak ceburi. Mungkin anda minat dengan bidang kedoktoran, baca majalah dan bahan rujukan am yang berkaitan dengan cita-cita anda tersebut. Gunakan bakat anda untuk berbakti kepada keluarga atau sekolah anda. Jika anda minat dalam bidang kejuruteraan, peruntukkan masa untuk belajar membaiki kereta atau anda juga boleh menolong kawan anda membaiki kereta mereka. Kegiatan sedemikian menjadikan makna pembelajaran lebih nyata. Anda tahu mengapa anda belajar kerana anda mempunyai hala tujuan yang nyata.

Kesimpulan

Belajar adalah suatu seni. Jika anda tahu menguasai seni tersebut , anda boleh berjaya biar pun diri anda mempunyai beberapa kekurangan. Semoga lembaran ini menguatkan ikhtizam anda untuk mencapai prestasi yang lebih cemerlang dalam pelajaran.

P/S: Daripada 21 Cara Belajar Yang Betul diatas, antara tips yang selalu penulis praktikkan masa bergelar student dulu ialah belajar waktu awal pagi, buat nota ringkas & belajar mengikut rentak sendiri. Semoga tips ini dapat membantu anda menjadi pelajar yang lebih cemerlang!

Sumber asal: Blog Rilek-Rilek

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More