Showing posts with label Stailo. Show all posts
Showing posts with label Stailo. Show all posts

Thursday, March 22, 2012

Busana pengantin haluan Noreen

 

LALUAN pendidikan Nurraini Abu Samah, 26, tidak mudah. Sebelum berjaya bergelar pelajar tahun akhir di Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, Selangor, beliau terlebih dahulu perlu menempuh dua peringkat pendidikan.

Jika kebanyakan pelajar terus menyambung program ijazah sarjana muda menerusi tiket Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) atau diploma atau matrikulasi, Nurraini pula memilih mengambil kedua-dua kelayakan iaitu STPM dan diploma.

"Saya sangat suka bidang fesyen, jadi selepas tamat STPM, saya membuat keputusan mendalami bidang tersebut dengan mengambil diploma tekstil di Machang, Kelantan.

"Saya mahu belajar dari bawah dan Alhamdulillah, segala usaha selama ini terbayar apabila melihat hasil rekaan yang telah berjaya saya hasilkan," jelas Nurraini yang selesa disapa Noreen.

Mengambil masa selama setahun bagi memahirkan diri dalam asas jahitan, Noreen melihat dirinya akan berada dalam persada fesyen tempatan dalam tempoh dua tahun lagi.

Cukup mencintai rekaan busana pengantin, wanita yang berasal dari Petaling Jaya, Selangor itu mengidamkan sebuah butik sendiri pada masa akan datang.

"Kelebihan saya terletak pada penggayaan (styling). Saya lebih cenderung kepada pakaian wanita dan sangat gemar menghasilkan rekaan feminin terutamanya dres labuh.

"Disebabkan itu, saya bercadang untuk mencuba nasib dalam lapangan pakaian pengantin tambahan pula permintaan terhadap pakaian itu tidak pernah putus," jelasnya yang jujur mengakui masih belum memiliki sebarang pengalaman menghasilkan pakaian pengantin.

Rekaan dres malam juga dilihat menjadi kekuatan Noreen. Buktinya, keempat-empat koleksi yang dihasilkan untuk penilaian akhirnya baru-baru ini tampak mewah dan cukup elegan. Ia sudah cukup memberitahu orang ramai bahawa Noreen sudah bersedia melangkahkan kaki ke dalam industri fesyen tempatan.


Cabang sukar

Bagi menghasilkan sesuatu rekaan, Noreen memberitahu bahawa bagi mendapatkan idea yang segar adalah sangat sukar kerana sesuatu idea itu perlu diterjemahkan ke dalam bentuk lukisan dan seterusnya dicipta secara fizikal.

"Mereka pakaian tidak mudah. Seseorang pereka itu perlu tahu etika dan tahu apa yang ingin direka. Jika tidak, orang akan mempersoalkan hala tuju rekaan kita.

"Tetapi ia akan menjadi satu kepuasan apabila melihat idea yang sebelum ini hanya berlegar-legar dalam fikiran berjaya dihasilkan," ucapnya yang menjadikan Jovian Mandagie sebagai pereka fesyen tempatan kegemarannya. - ALIF ABU BAKAR

- Dipetik dari KOSMO! Online

Gabungan mewah dan sederhana

BUTIK Caron yang terletak di Desa Sri Hartamas, Kuala Lumpur menampilkan seleksi gaun pendek dalam variasi warna, potongan dan material yang sesuai dipakai untuk pelbagai jenis acara.

BARISAN skirt, blaus, dres, kardigan, beg tangan dan aksesori berjenama pasti menggamit pandangan wanita yang berkunjung ke Butik Caron. Walaupun secara kasar ia kelihatan tidak jauh beza berbanding butik-butik lain, namun keistimewaan gedung pakaian itu terletak pada label jenama yang dijual.

Jenama dari Amerika Syarikat (AS) dan negara Eropah memonopoli deretan pakaian yang dijual di butik yang telah beroperasi selama dua tahun itu.

Dres les jenama Glassons dari Australia, dres XOXO dan Max Studio dari AS, dres jersi Fashion Elle dari Perancis dan dres pendek Lipsy dari United Kingdom (UK), semuanya memiliki rekaan unik yang tidak terdapat dalam pasaran tempatan.

Konsep suai padan (mix and match) menjadi kunci buat wanita yang bercadang membeli pakaian di butik ini. Usah risau dengan warna dan fabrik kerana ia ternyata menepati iklim Malaysia yang panas dan lembap sepanjang tahun.

Bermula daripada RM60, pengunjung dapat memiliki sehelai blaus. Bergantung pada material dan potongan, ada juga blaus yang mencecah harga RM126. Skirt pula dijual dalam lingkungan harga RM100 manakala dres diletakkan pada kelompok harga RM89 ke atas.

Lebih mengujakan, pengunjung juga dapat memiliki koleksi beg tangan berjenama mewah seperti Michael Kors (MK), Prada, Coach dan Juicy Couture yang merupakan rekaan edisi terhad yang tidak berada di butik-butik jenama tersebut yang berada dalam negara ini.

Padanan jenama mewah (high end) dan sederhana (high street) membentuk gaya seorang wanita yang trendy dan mempunyai cita rasa tersendiri dalam berfesyen.

- Dipetik dari KOSMO! Online

Wax Elite untuk lelaki elit


Gaya Pejabat 

MENGGUNAKAN wax Elite Edgy EFX Shiny Wet, gaya ini memberikan impak sedikit basah dan sesuai untuk rambut tebal. Ia menimbulkan tekstur rambut agar kelihatan segar dan tidak keras.

- Langkah 1: Ambil wax dalam jumlah sedikit (separuh kuku) dan gosokkan pada tapak tangan.

- Langkah 2: Ratakan pada keseluruhan rambut.

- Langkah 3: Tarik dengan tangan, rambut bahagian depan diturunkan menyentuh dahi manakala bahagian atas dicondongkan mengikut arah rambut pada dahi (ikut belahan rambut anda).

*Waktu menghasilkan gaya ini: Dua minit.


Gaya Kasual

MAHU kelihatan bergaya

tetapi tidak terlalu ekstrem? Oleskan wax Elite Edgy EFX Rugged Matte yang mampu melahirkan keyakinan sepanjang hari. Sesuai digayakan untuk ke acara kasual dan santai.

- Langkah 1: Ambil wax dalam jumlah sedikit (separuh kuku) dan gosokkan pada tapak tangan.

- Langkah 2: Ratakan pada keseluruhan rambut.

- Langkah 3: Tarik dengan tangan, rambut bahagian atas diturunkan menghala ke depan dan rambut bahagian depan dinaikkan ke atas (90 darjah) sementara bahagian sisi (sideburn) diturunkan.

*Waktu menghasilkan gaya ini: Dua minit.


Gaya Nakal (Funky)

JIKA ingin keluar bersosial bersama rakan-rakan terutamanya pada waktu malam, pastikan anda membentuk rambut anda dengan gaya ini. Rapikan wax Elite Edgy EFX Spiky Web Fibre pada rambut anda yang mampu mengekalkan bentuk rambut yang digayakan kekal sepanjang malam.

- Langkah 1: Ambil wax dalam jumlah sedikit (separuh kuku), tambah wax jika tidak cukup dan gosokkan pada tapak tangan.

- Langkah 2: Ratakan pada keseluruhan rambut.

- Langkah 3: Bagi mendapatkan rambut cacak (spiky), tarik semua bahagian rambut ke atas (90 darjah) termasuk rambut bahagian belakang.

- Langkah 4: Pintalkan (twist) hujung rambut agar tekstur rambut kelihatan.

*Waktu menghasilkan gaya ini: Tiga hingga empat minit.

- Produk: Elite Edgy EFX

- Jenis: Lima jenis wax iaitu Spiky Web Fibre, Wavy Loose Clay, Airy Wild Mud, Shiny Wet Wax dan Rugged Matte Wax.

- Harga: RM15.90.

- Lokasi: Farmasi kecantikan dan pasar raya seluruh Malaysia.

- Dipetik dari KOSMO! Online

Berlian penyeri wajah

PARTIKEL mikro mineral berlian yang ditapis mampu membekalkan tenaga kepada sel kulit.

SEBUT sahaja berlian, semua orang membayangkan kemewahan, kesucian dan kejernihan batu permata tersebut. Ia merupakan batu permata yang amat keras dan terdiri daripada karbon tulen.

Disebabkan fizikalnya yang berkilau, kebanyakan wanita memilihnya sebagai teman akrab untuk dipakai ke majlis-majlis rasmi. Secara ringkasnya, berlian merupakan perhiasan diri paling elegan buat kaum Hawa.

Sebagai simbol keagungan, perkataan berlian pada asalnya ialah adamant, yang digunakan ketika tamadun Yunani. Ia bermaksud ‘tidak dapat ditakluki’.

Kandungan atom karbon dan ikatan molekul yang kuat menjadikannya batu permata yang banyak faedahnya. Berdasarkan faktor itu, berlian telah digunakan dalam bidang perubatan bagi membekalkan tenaga termasuklah hal-hal kecantikan.

Begitupun, ramai tidak mengetahui keunikan berlian dalam mencantikkan kulit. Partikel mikro mineral berlian yang ditapis sebenarnya mampu membekalkan tenaga kepada sel kulit dan meningkatkan peredaran cecair di bawah lapisan kulit.

Kulit kemudiannya akan menerima nutrien yang berguna dan menjadi kuat, bertambah halus dan mengembalikan keremajaan kulit.

Ekstrak mineral asli yang diperoleh daripada batu permata itu akan bertambah mujarab apabila digabungkan dengan bahan-bahan lain yang bersesuaian dalam merawat masalah penuaan.

Kombinasi mineral berlian dengan kalsium, asid amino, benih rai (bijirin yang bijinya dijadikan tepung), bunga pansy liar, alfalfa dan yis meningkatkan penghasilan sel baharu dan menyelesaikan masalah kulit lemah serta mengekang kedutan.

Seseorang wanita perlu mengenal pasti tiga tanda utama penuaan agar tidak terlewat merawat masalah tersebut. Tanda pertama adalah apabila kulit mula kendur, tidak bermaya dan tidak sekata. Ia terjadi akibat kekurangan bekalan nutrien kepada kulit.


KANDUNGAN atom karbon dan ikatan molekul yang kuat dalam 
berlian memberi faedah dalam bidang perubatan dan kecantikan.

Tanda kedua pula ialah kulit yang penuh kedutan disebabkan kehilangan lemak di bawah lapisan kulit dan otot yang menyokong ketegangan kulit.

Akhir sekali, kulit akan menjadi kering dan ternyah hidrat. Masalah ini berpunca daripada cara hidup yang sibuk dan waktu rehat yang tidak mencukupi.

Sekiranya anda memiliki ketiga-tiga tanda tersebut, cuba pulihkan masalah tersebut dengan produk kecantikan kulit yang mengandungi mineral berlian. Tidak dinafikan, ia efektif dalam menyelesaikan kerumitan yang anda hadapi.

- Dipetik dari KOSMO! Online

Palet terang serlah imej lelaki


MELIRIK pada koleksi sut kasual yang direka Fairuz Ramdan sesekali membuatkan pandangan mata sedikit terpana. Setiap pasang pakaian untuk ke acara tidak rasmi itu digabungkan dengan tiga warna terang yang sangat jarang dimainkan kebanyakan pereka tempatan.

Warna seperti merah jambu terang, hijau, kuning, merah dan jingga menjadi penata utama sut kasual yang mula dipentaskan Fairuz ketika Minggu Fesyen Antarabangsa Malaysia (MIFW) tahun lalu.

Yakin dengan penerimaan yang bakal diterima, pereka yang telah bertapak dalam industri fesyen tanah air sejak 2005 itu lantas tampil dengan koleksi baharu yang diubah suai dari segi corak dan gabungan warna.

“Penggunaan warna-warna terang dalam penciptaan pakaian lelaki di Malaysia amat terhad, malah boleh dikatakan tiada pereka yang berani mengambil risiko membentuk sut kasual lelaki seperti ini.

“Jika kita lihat di kebanyakan negara Barat, lelaki kini lebih gemar menyarungkan pakaian berwarna terang yang mencuri perhatian. Di negara kita pula, ia masih berada pada peringkat permulaan.

“Sebagai negara beriklim tropika, saya rasa masyarakat kita paling sesuai menggunakan warna-warna terang berbanding negara-negara Barat yang mengalami perubahan musim.

“Hari ini, terdapat segelintir lelaki Malaysia sudah berani mengenakan jaket berwarna terang. Sut kasual rona terang ini juga dirasakan bakal menawan hati lelaki tempatan menjelang 2013,” jelas Fairuz yang kini giat menaikkan mutu fesyen lelaki Malaysia bersama beberapa pereka lain di bawah kumpulan MDForce.

Dihasilkan mengikut potongan asas seperti sut formal, sut kasual tersebut ditujukan buat golongan lelaki bergelar eksekutif muda ataupun mereka yang mahukan gaya ranggi dan berbeza daripada orang lain.

Selain boleh digayakan ke majlis-majlis makan malam dan parti, sut kasual yang diperbuat menggunakan fabrik kapas dan linen itu juga boleh disesuaikan ke acara minum petang dan tidak terkecuali, ke acara sukan-sukan eksklusif seperti kriket dan ekuestrian.

ELEMEN klasik dihidupkan melalui pemakaian suspender dan topi. 

Tidak terhad kepada lelaki tertentu, busana yang dijual pada harga RM1,000 ke atas itu dicipta untuk semua kumpulan lelaki tanpa mengira peringkat umur.

“Kriteria penting yang perlu dipertimbangkan sebelum seseorang lelaki itu memilih untuk memakai sut kasual ini adalah cara hidup mereka. Letak persoalan pada diri, adakah gaya ini sesuai dengan kehidupan seharian termasuklah profesion dan kehidupan sosial anda?

“Jika ia tidak menepati kriteria itu, maka mereka boleh memilih alternatif lain dalam berpakaian. Tetapi, itu tidak bermakna mereka tidak boleh langsung memakai sut kasual.

“Mereka masih boleh memilih pakaian ini untuk ke acara yang tidak terlalu formal iaitu acara tanpa protokol dan bebas kod pakaian,” jelas Fairuz yang mendedahkan bahawa kebanyakan pencinta muzik dan fesyen merupakan kelompok paling kerap dilihat menyarungkan sut kasual warna terang.


Manual berpakaian

Item-item kekunci yang menjadi pelengkap sepasang sut kasual terdiri daripada kemeja, jaket, seluar panjang, tali leher kupu-kupu (bow tie) dan napkin.

Jika bosan dengan seluar panjang, usah gentar menggantikannya dengan seluar pendek, namun pastikan ia sesuai untuk majlis yang anda hadiri. Jangan pula berseluar pendek ke acara makan malam kerana ia akan nampak sangat tidak sesuai dan kurang sopan dalam konteks sosial tempatan.

Begitu juga dengan tali leher kupu-kupu, anda boleh tukar kepada tali leher bersaiz kecil (skinny tie) bagi menyuntik sedikit elemen perkasa. Percaya atau tidak, lelaki bertali leher akan kelihatan sangat seksi apabila digabungkan dengan sut kasual berona terang.

Walau apapun jua sut kasual yang anda pakai, jangan sesekali melupakan napkin yang diletakkan di dalam poket atas jaket. Napkin merupakan aksesori wajib dalam pemakaian sut kasual kerana tanpanya, penampilan bakal kelihatan kekok, kosong tanpa seri.

KATA orang, hanya lelaki sejati yang berani memakai warna biru muda dan merah jambu. 

Selain daripada item-item yang disebutkan, anda juga harus kreatif menyuai padan sut kasual dengan aksesori-aksesori lain. Misalnya, ganti jaket dengan vest bagi mendapatkan nilai sentimental dan klasik. Pita hiasan boleh laras (suspender) dan topi fedora juga akan menciptakan karakter lelaki Inggeris tanpa perlu dipaksa.

“Memandangkan ia pakaian kasual, tidak ada sekatan dalam pemilihan kasut. Pilih apa sahaja kasut yang digemari seperti sneaker, kasut kulit atau pun sandal bertutup, ia tidak akan kelihatan janggal selagi lelaki itu bijak bermain warna dan melihat kesesuaian gaya yang ingin dibawa.

“Tali pinggang juga bebas menjadi pilihan si pemakai. Seseorang lelaki itu perlu memastikan warna yang digunakan mempunyai kesinambungan. Seperti contoh, jika tali pinggang merah, pastikan ia padan dengan kasut, seluar atau jaket yang salah satu daripadanya juga berwarna merah,” ujarnya yang memberitahu, pemilihan kemeja berkotak untuk gaya sut kasual beliau diinspirasikan daripada skirt lelaki Scotland (kilt).


Mentaliti

Kelewatan lelaki Malaysia menerima idea pemakaian sut kasual rona terang didorong oleh beberapa faktor. Fairuz menyatakan bahawa mentaliti jejaka tempatan menyifatkan pakaian tersebut hanya sesuai dikenakan golongan artis.

Mungkin disebabkan aura glamor yang dibawa pakaian itu membuatkan orang kebanyakan sedikit takut memilikinya, bimbang kelihatan keterlaluan sebagai figura biasa.

“Lelaki dalam negara ini masih menyimpan stereotaip itu, tetapi saya percaya ia akan terpadam secara berperingkat. Saya berharap golongan artis dan pereka tempatan dapat memulakan gerakan mempromosikan sut kasual terang di Malaysia.

“Jika kita lihat dalam industri seni, tidak ramai artis lelaki yang menjadi ikon fesyen kepada orang ramai. Hal ini disebabkan artis itu sendiri tidak begitu menitikberatkan perkara berkaitan fesyen.

“Bayangkan sekiranya ramai artis lelaki kita mula memakai pakaian warna terang, sudah tentu ia akan mencetuskan fenomena kerana mereka mempunyai kelompok peminat masing-masing,” tambah Fairuz yang memetik nama Iqram Dinzly sebagai artis lelaki yang sinonim dengan sut kasual berwarna terang.

- Dipetik dari KOSMO! Online

Inspirasi Gisele Bundchen

 

BANGGA dengan nama Gisele Caroline Nonnenmacher Bundchen, supermodel kelahiran Rio Grande do Sul, Brazil itu cukup popular dan berpengaruh dalam persada fesyen antarabangsa.

Kemunculannya di atas pentas peragaan sentiasa didambakan memandangkan si empunya diri yang terkenal dengan nama Gisele Bundchen itu disifatkan bijak menyerlah dan 'menjual' pakaian yang membaluti tubuhnya.

Atas faktor kejelitaan, penampilan dan kecemerlangan, Gisele sentiasa menjadi sumber inspirasi wanita di seluruh dunia. Apa saja item fesyen yang menjadi pilihan model berambut perang itu akan mempengaruhi golongan pencinta fesyen.

Menurut Gisele, dia dan dunia fesyen bagai isi dan kuku. Setiap kali menyentuh perihal fesyen, gaya atau trend, dia akan mengalami satu perasaan teruja yang sukar diterjemah dengan kata-kata.

Bicara Gisele selanjutnya, saban hari dia akan memastikan konsep pakaiannya menggabungkan tiga elemen utama iaitu warna, stail dan perincian.

Tutur Gisele, sekiranya kombinasi berkenaan tidak dititikberatkan maka sukar baginya mendapatkan penampilan yang sempurna.

Justeru, bagi wanita tempatan yang ingin tampil santai dan ranggi bak model setinggi 179 sentimeter itu, jenama Esprit memperkenalkan koleksi fesyen terbaharu sempena musim panas dan musim bunga 2012.

Lebih istimewa, koleksi fesyen Esprit yang sudah berada di pasaran itu diinspirasi daripada cita rasa dan personaliti Gisele. Ia tampil dengan rekaan dan potongan yang lebih santai, kasual dan ranggi. Setiap potongan blaus, baju-T ataupun jaket menggabungkan elemen moden dan terkini.


JAKET trenc ini amat bergaya dipadankan bersama seluar pendek merah dan blaus biru.

Paling utama, penampilan wanita tampak sederhana dan tidak sarat memandangkan himpunan blaus dan baju T nuansa merah jambu, biru putih dan kelabu yang ditawarkan hadir dalam cetakan corak minimum serta polos.

Ia ideal digayakan bersama seluar pendek atau panjang rona merah terang, seluar jean lusuh, khaki warna hitam atau seluar berjalur hitam dan putih.

Dalam pada itu, Esprit turut menampilkan jaket trenc warna coklat lembut dan jaket berjalur hitam dan putih yang mengikut potongan badan. Rekaan yang diberi nafas baharu itu sesuai digayakan oleh kelompok remaja urban yang menyukai stail chicdan sofistikated.

Misalnya, memadankan jaket trenc bersama seluar pendek palet merah dan blaus warna biru. Selain itu, si pemakai juga bebas memakai jaket yang sama dengan seluar jean dan blaus merah jambu lembut.

Selain itu, penggunaan fabrik bulu, kapas dan denim sesuai dengan cuaca di Malaysia yang panas dan lembap sepanjang tahun.

Jadi, jangan lepaskan peluang untuk menyerlahkan gaya kasual seperti Gisele Bundchen dengan menyarungkan koleksi musim bunga dan panas jenama Esprit. Himpunan terbaharu bulan Mac tersebut dijual pada harga di antara RM69.90 hingga RM899.90.

- Dipetik dari KOSMO! Online

Kisah busana mewah

 

Sama ada kita akui atau tidak, terma fesyen yang paling disalah guna pakai masa kini, tentunya haute couture.

Dalam kalangan pereka fesyen, masing-masing mempunyai interpretasi berbeza-beza tentang maksud haute couture mengikut era semasa. Gelaran couture tidak semestinya merujuk kepada busana mewah atau fesyen berkelas tinggi.

Semasa remaja, pada zaman persekolahan-lewat 80-an, saya membesar di Seremban, Negeri Sembilan. Sepanjang tempoh berkenaan, minat saya mula cenderung pada bidang fesyen, tetapi malangnya tiada tempat untuk saya menumpahkan idea kreatif. Malah, saya langsung tidak mengenali sesiapapun yang terlibat dalam industri fesyen.

Majalah fesyen menjadi teman setia saya ke mana-mana saja. Pada masa itu, saya kerap mengunjungi kedai buku semata-mata untuk membaca koleksi majalah fesyen antarabangsa yang harganya sedikit mahal berbanding majalah tempatan. Setiap helaian majalah saya amati sebaik-baiknya kerana itu saja cara terbaik untuk menghilangkan kebosanan.

Setiap bulan saya tidak pernah gagal membaca majalah Vogue edisi United Kingdom (UK) dan Amerika Syarikat (AS). Ia sudah menjadi rutin wajib yang secara tidak langsung menyuntik inspirasi untuk saya lebih mengenali fesyen. Sehingga kini saya masih menyimpan isu-isu yang menampilkan cerita tentang Cindy Crawford dan Christy Turlington.

Mereka antara supermodel yang tiada tandingan dari dahulu, kini hingga akan datang. Majalah British Vogue banyak menyajikan penulisan fesyen yang disertakan visual indah hasil daripada lensa foto jurugambar handalan dunia seperti Patrick Demarchelier.


Cetus semangat

Pengalaman menatap imej-imej fesyen yang hebat telah membuatkan saya bertekad untuk menjadi salah seorang pengamal fesyen dalam industri yang mencabar ini.

Masih teringat bagaimana suatu ketika dulu, saya teruja ketika membeli majalah American Vogue - isu September. Ia memaparkan cerita couture bersama Linda Evangelista. Koleksi foto yang dirakamkan penuh fantasi, rekaan busana yang hebat dari segi buatan dan struktur.

Bertitik tolak dari hari itu, saya mula mengerti tentang keajaiban dan keistimewaan rekaan yang ditakrifkan sebagai couture.

Bagi saya, pereka fesyen yang paling menjadi inspirasi ialah Elsa Schiaparelli. Saya mengagumi hasil rekaan fesyen beliau yang mencetus revolusi, radikal, terkehadapan, moden dan malar segar.

Karl Lagerfeld pula merupakan couturier yang saya hormati kerana kariernya yang cukup prolifik serta malar segar. Beliau sentiasa tampil dengan idea baharu dalam setiap koleksi couture rekaannya. Lagerfeld jarang sekali mengamalkan konsep kitar semula dalam karya beliau.

Dia mungkin mengaplikasi teknik couture yang sedia ada, tetapi dengan gaya olahan yang kontemporari. Lagerfeld telah mencipta semua signatur Chanel yang wujud pada era ini.

Pada saya, haute couture adalah mengenai pembuatan. Saya cukup menghargai semua kerja tangan yang halus dan teliti dalam penghasilan perincian pakaian couture. Ini termasuklah seni sulaman ataupun lipatan. Saya berhasrat suatu hari nanti untuk mereka pakaian couture. Namun, kita boleh mencapai banyak perkara sebelum melonjakkan harga terlalu tinggi.


Ringan walau dramatik

Bila kita memperkatakan tentang teknik pembuatan, couture mampu membuatkan pakaian yang nampak dramatik dan agak berat, namun ia rasa ringan apabila si pemakainya bergerak. Ajaib bukan? Potongan dan bentuk pakaian couture yang jitu membolehkan pemakainya bebas bergerak.

Cristobal Balenciaga pada pandangan saya adalah merupakan pereka yang paling meninggalkan pengaruhnya dalam fesyen. Beliau begitu terperinci dalam aspek konstruksi reka bentuk koleksi pakaiannya dan memberikan penekanan pada streamlined shapes.

Paling penting, couture perlu sesuai untuk sesiapa sahaja yang mahu memakainya. Wanita tersebut juga perlu selesa memakainya. Semuanya adalah mengenai sifat dan perilaku seseorang wanita.

Saya pula sering mereka pakaian untuk senang dipakai. Idea saya untuk berkarya datang dari pelbagai inspirasi, mungkin daripada karya seni, filem, muzik, gaya fesyen jalanan, budaya serta apa jua yang berlaku di sekeliling saya.

Fesyen sepatutnya menjadikan kita lebih ceria apabila memakainya. Ia juga harus mempunyai ciri senang dipakai walapun berlabel avant-garde. Jika ia tidak boleh dipakai, ia adalah kostum.

Dunia fesyen kini telah banyak berubah dibandingkan dengan era 70-an, 80-an dan 90-an.

Pada masa hadapan, couture perlu diadaptasi kepada golongan muda. Kita harus akui bahawa sasaran couture selalunya untuk pelanggan yang lebih berumur.

Namun begitu terdapat pelanggan lebih muda yang tahu menghargai hasil seni ini, tetapi malangnya tidak mampu untuk memilikinya.

Bagaimanapun, ramai penggerak industri hari ini berpendapat bahawa untuk menjadi relevan pada waktu semasa, couture perlu lebih diadaptasi sebagai rekaan sedia pakai. Perspektif anda pula bagaimana? Tepuk dada tanya selera. Ops, salah...tepuk dada tanyalah iman (",).

- Dipetik dari KOSMO! Online

Kombinasi unik dan comel


NAMA asalnya ialah Onika Tanya Maraj. Namun anak kelahiran New York, Amerika Syarikat itu lebih popular kini dengan nama pentas, Nicki Minaj.

Sejak muncul dengan lagu genre hip hop berjudul Super Bass, pada tahun lalu, nama Nicki, 29, melonjak naik. Padahal, penyanyi berkulit hitam manis ini mula berkecimpung dalam bidang nyanyian sejak tahun 2007.

Lebih mengagumkan, kemunculan Nicki semakin mencuri perhatian di seantero dunia kerana berani bergaya dengan imej unik, funky dan merah jambu persis patung Barbie.

Ekoran kekerapan tampil berimej sedemikian, kelompok peminatnya mula memanggil Nicki dengan sebutan Barbz iaitu panggilan manja bagi patung Barbie.

Tambahan pula, dia sentiasa memilih teknik solekan bak Barbie seperti pembayang mata rona terang, bulu mata palsu yang melentik, kanta lekap serta gincu bibir nuansa merah jambu terang. Tidak ketinggalan, menyarungkan gaun mini potongan kembang dan konsep suai dan padan yang kadangkala 'pelik'.

Namun, kini bagaikan mimpi menjadi realiti apabila pada tahun lalu, penyanyi yang mempunyai darah India itu dipilih oleh syarikat Mattel untuk menghasilkan patung Barbie-Nicki Minaj. Ringkasnya, Nicki bukanlah artis pertama yang diberi penghormatan sedemikian memandangkan sebelum ini selebriti Rachel Zoe dan Janet Jackson terlebih dahulu mempunyai patung versi Barbie.

Secara amnya, patung Barbie yang hadir di pasaran permainan sejak tahun 1959 telah diangkat sebagai ikon fesyen sepanjang zaman. Fesyen yang ditampilkan Barbie antara faktor utama yang menyebabkan Barbie digilai kanak-kanak dan gadis remaja sehingga mencetus fenomena di seluruh dunia.


Kempen amal

"Saya sama sekali tidak menyangka, imej pelik ini menarik minat pihak Mattel untuk mengeluarkan Barbie versi Nicki Minaj. Lebih mengharukan apabila patung Barbie ini merupakan jualan edisi terhad untuk kempen amal.

"Ini momen terbesar dan paling manis dalam kamus hidup saya. Secara tak langsung ia menunjukkan bahawa muzik dan fesyen boleh menyumbang sesuatu kepada insan yang memerlukan," jelas Nicki yang teruja apabila patung Barbie versinya dilelong dalam web CharityBuzz.com dan dipamerkan pada acara Divine Designs yang berlangsung selama lima hari di Beverly Hilton Los Angeles pada harga permulaan RM3,600.



Hasil lelongan itu, disumbangkan kepada Project Angel Food yang menghulurkan bantuan kepada golongan yang menghidap HIV dan AIDS.

"Kawan-kawan pernah memaksa saya memakai pakaian dan bersolek seperti itu dan ini. Mereka menyifatkan seseorang penyanyi rap perlu tampil seksi dan memilih pakaian rona-rona tertentu.

"Tapi, saya ingin lari daripada imej seksi yang tipikal kerana ia kelihatan klise dan bosan. Oleh kerana enggan menipu diri sendiri dan mengikut telunjuk orang lain, maka saya memilih stail pelik yang menyelitkan fesyen Barbie," jelas Nicki yang menyifatkan dirinya seorang yang kelakar dan bersahaja.

Terbaru, pada awal tahun ini Nicki bersama penyanyi latin Ricky Martin menggantikan tempat penyanyi Lady Gaga sebagai jurucakap Viva Glam, yang merupakan koleksi kosmetik untuk kutipan amal jenama M.A.C.


Katy yang funky

Nampaknya penyanyi kelahiran Santa Barbara, California, Amerika Syarikat (AS), Katy Perry juga antara selebriti bertuah kerana memiliki patung Barbie persis wajah dan penampilannya. Dia terpilih kerana kecenderungannya membawa imej comel, funky dan fantasi di kebanyakan acara serta persembahan pentas.

Bahkan pelantun lagu Firework tersebut turut teruja acap kali menjalani sesi fotografi dan pembikinan klip video yang menerapkan kerja-kerja seni berkaitan dunia kanak-kanak dan menyarungkan kostum animasi.

Buktinya, lihat saja set klip video Katy berjudul California Girls yang berwarna-warni dan sarat dengan prop gula-gula, pelangi, aiskrim dan awan yang menyerupai gula-gula kapas.


Bertatah kek cawan

Impak daripada klip video berkenaan, koleksi patung Barbie-Katy Perry 'dilahirkan'. Tampil berambut biru terang, gayanya diserikan persalinan gaun mini potongan kembang bertingkat bertatah kek cawan. Hiasan kek cawan ialah simbolik memandangkan dalam klip video yang sama, Katy meletakkan kek cawan di bahagian dada.

Bukan itu saja, patung Barbie-Katy Perry tampak comel apabila sepasang kakinya disarungkan stokin fabrik jaring yang mempunyai perincian kristal Swarovski. Boneka itu juga memegang mikrofon gula-gula sambil berdiri di atas pentas kon wafel yang dikelilingi aiskrim.


KOSTUM karakter Snow White menjadi pilihan Katy.

"Saya gemarkan sesuatu yang ceria dan berwarna-warni kerana ia membuatkan kehidupan saya gembira serta bahagia. Sebab itu, saya selesa tampil dalam persalinan yang sarat dengan rona terang dan kontra," ujarnya.

Warna gelap pula hanya menjadi pilihan Katy jika perlu mengikut kod pakaian yang ditetapkan oleh pihak penganjur acara atau sidang redaksi majalah.

"Tidak dinafikan, segelintir individu menyifatkan imej saya agak kebudak-budakan. Namun, saya tidak berkecil hati kerana fesyen itu universal, sama seperti muzik. Sesiapa saja bebas memilih gaya mengikut cita rasa peribadi," luah Katy.


Suram

Dalam pada itu, pemilik nama sebenar Katheryn Elizabeth Hudson itu meluahkan, penampilannya hari ini jauh berbeza jika dibandingkan pada zaman kanak-kanaknya. Sebelum melibatkan diri dalam industri hiburan, dunia Katy dikelilingi aktiviti harian yang 'suram'.

Tidak seperti remaja lain yang bebas bergaya dengan seleksi fesyen terbaharu, Katy hanya dibenarkan memakai pakaian ringkas dan sopan. Ini disebabkan ibu dan bapanya, Mary Hudson dan Keith Hudson merupakan pengikut tegar agama Kristian mengutuk tindakan wanita berimej seksi dan terdedah.

"Bukan sekadar pakaian, malah setiap sudut kehidupan saya dikawal ketat oleh ibu dan ayah. Sebahagian besar masa saya diisi dengan aktiviti membaca kitab Injil berbanding mengulang kaji pelajaran," jelas Katy yang gemar menukar warna dan gaya rambut.

Sementara itu memetik kata-kata pengkritik fesyen terkenal, Steven Cojocaru, dia memuji golongan wanita yang berani tampil dengan persalinan busana dan tata rias wajah yang pelik dan unik.

"Penampilan seseorang terserlah bukan kerana menggayakan jenama mewah yang bernilai ratusan mahupun ribuan ringgit. Tapi, ia wujud disebabkan keyakinan diri yang tinggi," jelasnya. - IZYAN LIYANA MOHD. DARIF

- Dipetik dari KOSMO! Online

Gaya dewasa si cilik


IBARAT individu berkerjaya lagaknya, itulah elemen yang cuba diterapkan kepada kanak-kanak untuk musim bunga/panas tahun ini.

Jenama Burberry cuba mencorakkan identiti kanak-kanak perempuan agar kelihatan lebih dewasa dengan pemakaian kot trenc berbutang dua rona biru gelap. Gaya tersebut mencerminkan imej sofistikated si cilik yang sedang meningkat remaja.

Buat si kecil yang berada dalam kumpulan usia lima tahun ke bawah, kot dufel atau jaket yang boleh diterbalikkan (reversible) bakal mewujudkan penampilan segak bagi lelaki dan elegan pada tubuh perempuan.

Kot sejuk berbulu (parkas) dengan cantuman penutup kepala (hoodie) tidak lagi hanya menunggu musim sejuk untuk keluar dari gerobok. Ia kini praktikal digayakan untuk musim bunga dan panas.

Jaket potongan separuh badan berkolar besar pula tampak sesuai dikenakan kanak-kanak perempuan yang menginginkan gaya ranggi. Gabungan warna dan corak jaket itu juga menaikkan seri si pemakai lantas mampu mencuri tumpuan ramai.

Mainan warna bagi koleksi kali ini juga pelbagai iaitu rona putih, hitam, kuning tua atau kuning gelap (khaki), biru emperial, biru firus, merah terang dan banyak lagi,

Penggunaan fabrik kapas pelbagai jenis umpama kapas gaberdin, kapas kanvas dan kapas twil menjadikan pakaian tersebut selesa dipakai kanak-kanak kerana materialnya ringan dan tidak serabut.



Baju kait Kashmir juga menjadi antara signatur klasik untuk koleksi baharu ini. Dres, jumpsuit, jersi dan kemeja berkotak turut menghiasi deretan rekaan kemas Burberry itu.

Pelbagai pilihan disediakan jenama tersebut buat si kecil daripada kumpulan bayi sehingga kepada mereka berusia 14 tahun. Kesemua koleksi baharu itu kini boleh didapati di semua butik Burberry seluruh negara.

Bagi mereka yang ingin melihat lebih banyak pilihan rekaan dan warna yang ditawarkan, bolehlah melayari laman web Burberry di http://burberry.com.

- Dipetik dari KOSMO! Online

Artistik cetakan kulit ular


APABILA bercakap tentang ular, lazimnya kebanyakan kita akan mempamerkan reaksi yang kurang selesa. Kita berasa geli dengan tekstur kulit reptilia berkenaan yang bersisik dan lembap. Namun, di sebalik 'keburukan' itu ada 'kecantikan' yang tersembunyi.

Kulit ular yang bercorak dan berwarna-warni antara kesempurnaan bagi pandangan mata kelompok pereka fesyen. Mereka melihat tekstur dan warna kulit ular memiliki nilai estetika yang menarik dan unik untuk menghasilkan pakaian.

Menyentuh mengenai fesyen berasaskan kulit ular, jenama antarabangsa Alexander Mcqueen antara perintis yang menaikkan populariti konsep fesyen sedemikian.

Sejak tahun 2010, jenama itu sentiasa melancarkan himpunan pakaian berasaskan fabrik cetakan ular dalam variasi warna terang dan lembut.

Cetakan fabrik kulit dicetuskan untuk memenuhi cita rasa pencinta fesyen tanpa perlu mengorbankan ular-ular hidup.

Melvin Ashley Shah, 45, merupakan salah seorang pereka fesyen tempatan yang menampilkan kelainan busana berasaskan fabrik cetakan kulit ular.

Tutur anak kelahiran Kuala Lumpur tersebut, meskipun segelintir pihak berasa geli untuk menyarungkan pakaian sedemikian, tetapi tidak bagi penggemar fesyen.

Ironinya, bukan sedikit kelompok wanita yang sanggup mengeluarkan sejumlah wang semata-mata untuk memiliki pakaian yang unik dan trendy.

"Situasi hari ini berbeza seiring dengan peredaran fesyen semasa. Wanita semakin bijak bergaya sehingga selera fesyen mereka berubah-ubah mengikut trend.

"Lagipun wanita kini bukan sekadar mementingkan potongan, rekaan dan kualiti, malah turut obses memilih pakaian yang membantu menyuntik penampilan unik.

"Misalnya, konsep fesyen warna blok yang memerlukan mereka menggayakan item fesyen rona terang serta kontra," jelas Melvin yang juga merupakan pemilik butik I Nee Collection by Melson.


Tekstil berbeza

Mengambil kira cita rasa dan faktor sekeliling, graduan Diploma Seni dan Ukiran Tekstil di Los Angeles, Amerika Syarikat (AS) itu memikirkan idea fesyen berbeza. Jika kebanyakan pereka fesyen cenderung memilih fabrik renda Perancis, net, organza mahupun sifon polos atau bercorak, Melvin pula gemarkan tekstil yang berbeza.

"Sebab itu saya sanggup terbang ke China kerana ia menawarkan variasi fabrik mewah, unik dan berkualiti. Hasil kerja pembuatan kain-kain di sana juga amat teliti dan sempurna. Harga yang ditawarkan berpatutan, asalkan kita bijak tawar-menawar.



"Ketika sesi membeli-belah saya telah terpikat dengan kehalusan dan tarikan pada fabrik cetakan kulit ular. Bagi saya sudah tiba masanya saya memperkenalkan motif ular memandangkan sebelum ini wanita Malaysia lebih terdedah pada motif abstrak, flora dan polka dot," terang Melvin sambil menunjukkan koleksi gaun pendek rekaannya yang menggunakan fabrik cetakan kulit ular.

Bicara mengenai koleksi busana berkenaan yang pernah diperagakan pada pertunjukan fesyen Malaysian International Fashion Alliance (MIFA) tahun lalu, Melvin menyatakan ia hadir dalam empat rekaan berbeza.

Selain gaun pendek konsep gelembung di bahagian bawah dan gelembung di bahagian bahu, Melvin turut menghasilkan dres pendek yang mempunyai hud dan tidak berlengan.

Menariknya, pereka berdarah kacukan Melayu, Serani dan Baba Nyonya itu tidak membiarkan koleksi dresnya polos tanpa perincian meskipun corak ular itu sudah tampak sarat. Bijak bereksperimen dengan konsep baharu dan moden, Melvin menghiasi pakaiannya dengan bulu-bulu rona terang seperti jingga, biru dan hijau.

"Pakaian saya ini sesuai digayakan ketika menghadiri parti, majlis makan malam mahupun minum petang. Disebabkan cetakan kulit ular ini sudah memenuhi keseluruhan baju, maka si pemakai tidak disarankan memakai aksesori yang berlebihan.

"Tas tangan dan sepatu polos sudah memadai untuk menyerikan penampilan. Ini termasuklah memilih teknik solekan yang sesuai sama ada konsep natural ataupun terang," nasihat Melvin yang pernah berkhidmat sebagai jurusolek jenama Versace selama empat tahun.


Pilihan selebriti antarabangsa

Dalam pada itu, motif kulit ular bukan sahaja popular dijadikan pakaian, malah ia juga untuk menghasilkan aksesori berasaskan motif yang sama. Ia terdiri daripada beg tangan, tali pinggang dan sepatu.

Pelakon genit Hollywood, Eva Longoria antara selebriti yang meminati aksesori yang diperbuat menggunakan material kulit ular. Dia dilihat tidak pernah lekang daripada beg tangan jenama Gerard Darel. Beg tangan bersaiz sederhana itu diinspirasi daripada kulit ular sawa yang menggabungkan warna hitam dan kelabu metalik.

Sementara itu, penyanyi wanita kumpulan Black Eye Peas, Fergie, 37, juga tidak ketinggalan memiliki seluar jean sendat lusuh bermotifkan kulit ular.

Penampilannya kelihatan ranggi apabila menggayakan seluar itu bersama baju-T singlet dan but rona hitam. Bagi pelakon Zoe Saldana pula, dia tampil ceria dalam persalinan gaun merah terang yang dipadankan bersama tas genggam, jenama Doutzen Kroess.




Aktivis haiwan menentang

Fenomena fesyen berasaskan kulit haiwan khususnya kulit ular mengundang reaksi negatif dalam kalangan aktivis haiwan. Memetik artikelwww.dailymail.co.uk, pakar dan perunding biologi, Agensi Perlindungan Haiwan, Warwick menyatakan industri fesyen pada hari ini lebih mementingkan gaya dan trend tanpa memikirkan impak pada kehidupan reptilia tersebut.

Lantaran itu, busana yang menggunakan inspirasi kulit ular seperti diilhamkan Melvin dilihat sebagai salah satu cara untuk mengurangkan obsesi pencinta fesyen ke atas kulit ular sebenar.

- Dipetik dari KOSMO! Online

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More