LALUAN pendidikan Nurraini Abu Samah, 26, tidak mudah. Sebelum berjaya bergelar pelajar tahun akhir di Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, Selangor, beliau terlebih dahulu perlu menempuh dua peringkat pendidikan.
Jika kebanyakan pelajar terus menyambung program ijazah sarjana muda menerusi tiket Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) atau diploma atau matrikulasi, Nurraini pula memilih mengambil kedua-dua kelayakan iaitu STPM dan diploma.
"Saya sangat suka bidang fesyen, jadi selepas tamat STPM, saya membuat keputusan mendalami bidang tersebut dengan mengambil diploma tekstil di Machang, Kelantan.
"Saya mahu belajar dari bawah dan Alhamdulillah, segala usaha selama ini terbayar apabila melihat hasil rekaan yang telah berjaya saya hasilkan," jelas Nurraini yang selesa disapa Noreen.
Mengambil masa selama setahun bagi memahirkan diri dalam asas jahitan, Noreen melihat dirinya akan berada dalam persada fesyen tempatan dalam tempoh dua tahun lagi.
Cukup mencintai rekaan busana pengantin, wanita yang berasal dari Petaling Jaya, Selangor itu mengidamkan sebuah butik sendiri pada masa akan datang.
"Kelebihan saya terletak pada penggayaan (styling). Saya lebih cenderung kepada pakaian wanita dan sangat gemar menghasilkan rekaan feminin terutamanya dres labuh.
"Disebabkan itu, saya bercadang untuk mencuba nasib dalam lapangan pakaian pengantin tambahan pula permintaan terhadap pakaian itu tidak pernah putus," jelasnya yang jujur mengakui masih belum memiliki sebarang pengalaman menghasilkan pakaian pengantin.
Rekaan dres malam juga dilihat menjadi kekuatan Noreen. Buktinya, keempat-empat koleksi yang dihasilkan untuk penilaian akhirnya baru-baru ini tampak mewah dan cukup elegan. Ia sudah cukup memberitahu orang ramai bahawa Noreen sudah bersedia melangkahkan kaki ke dalam industri fesyen tempatan.
Cabang sukar
Bagi menghasilkan sesuatu rekaan, Noreen memberitahu bahawa bagi mendapatkan idea yang segar adalah sangat sukar kerana sesuatu idea itu perlu diterjemahkan ke dalam bentuk lukisan dan seterusnya dicipta secara fizikal.
"Mereka pakaian tidak mudah. Seseorang pereka itu perlu tahu etika dan tahu apa yang ingin direka. Jika tidak, orang akan mempersoalkan hala tuju rekaan kita.
"Tetapi ia akan menjadi satu kepuasan apabila melihat idea yang sebelum ini hanya berlegar-legar dalam fikiran berjaya dihasilkan," ucapnya yang menjadikan Jovian Mandagie sebagai pereka fesyen tempatan kegemarannya. - ALIF ABU BAKAR
0 comments:
Post a Comment