Thursday, March 22, 2012

Kuasa bertenaga KL Energetik


TIGA minggu persediaan untuk dipentaskan sepanjang tiga malam baru-baru ini, teater muzikal KL Energetik mencuri tumpuan khalayak tersendiri.

Tidak salah jika dikatakan persembahan itu kena pada tempat dan masa. Biarpun tidak dikenakan bayaran masuk, kualiti persembahan memberikan kepuasan buat penonton.

Lebih mudah ditafsirkan ia suatu persembahan yang berbaloi!

Teater muzikal KL Energetik yang dikelolakan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan kerjasama Linda Jasmine Performing Arts Studio itu diarahkan oleh Zamri Pangat.

Jalan cerita yang senang dicerna, permainan pentas yang tidak banyak berubah wajah tapi memfokus lebih kepada manipulasi ruang pemain-pemain watak serta lakonan yang saling melengkapi menjelmakan naskhah KL Energetik.

Teater muzikal itu mengisahkan perjalanan tiga orang sahabat karib Isaac, Ehsan dan Nozzle memburu impian bergelar kumpulan tarian popular di Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, mereka berdepan pesaing hebat yang terdiri daripada tiga gadis, Bayu, Dahlia dan Aireen yang akhirnya membuka hati kedua-dua kumpulan bergabung membentuk pasukan baharu yang diberi nama XVAX.

Konflik tercetus apabila perasaan cinta tercetus dalam kalangan mereka dan kesefahaman semakin goyah. Komunikasi kian terhad dalam menyelesaikan masalah yang dihadapi.

Sudah pasti apabila teater itu memfokuskan dunia tarian, penonton perlu akur akan kemasukan lebih banyak aksi tari berbanding teater yang biasa dipentaskan.

Mujur kawalan pentas dari segi penonjolan aspek teater dan lakonan masih sarat emosi. Tidak salah dikatakan beberapa watak dalam teater muzikal itu berjaya mencuri tumpuan penonton.



Antaranya, watak Emak yang dibawakan oleh Nazila Mat Safian, variasi watak yang dilakonkan Datin Norhasima Kadir membawa audiens mendalami dunia sebenar warga kota.

Bertindak selaku pelakon dan pencerita yang sering berinteraksi dengan penonton, watak Kak Senah, seorang lelaki perawakan lembut sering kali mencuit hati.

Menurut pengarah artistik KL Energetik, Linda Jasmine Hashim, pemilihan pelakon sebahagiannya adalah idea daripada pihak DBKL selepas beberapa kali sesi perbincangan.

“Tujuan teater muzikal ini untuk menarik penonton muda memandangkan ceritanya banyak berkisar mengenai kehidupan golongan remaja.

“Zahid dan Ain yang dilahirkan daripada Akademi Fantasia (AF) juga dirasakan tepat. Umum sudah tahu bakat menari, menyanyi dan berlakon yang dimiliki Zahid manakala Ain juga cenderung dalam ketiga-tiga bidang ini sejak mula bersama AF dulu,” ujarnya.

Turut menjayakan pementasan itu, Tai Mentor, ahli kumpulan Bounce Stepperz dan penampilan istimewa, anak sulung Linda Jasmine, Mohammad Qalif Khan.

Sementara itu, Linda tidak menolak kemungkinan akan ada pementasan siri kedua KL Energetik yang turut dijayakan oleh artis budaya DBKL itu.

- Dipetik dari KOSMO! Online 21032012

0 comments:

Post a Comment

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More