SETIAP episod ada nasihat, mesej dan sarat emosi. Terkandung pembuka dan penutup kisah biar cuma berlangsung selama 30 minit. Itu janji produksi sitkom Islamik, Annisa' yang mula ditayangkan di saluran TV AlHijrah Ahad, 18 Mac lalu pukul 8.30 malam.
Sitkom 13 episod ini mengisahkan kehidupan tiga orang muslimah moden yang diminta mengambil alih perniagaan kafe milik rakan mereka yang berpindah ke luar negara untuk melanjutkan pelajaran.
Tugas dipikul untuk menghidupkan watak-watak tersebut masing-masing digalas oleh Raja Farah, Sari Yanti dan Diana Amir.
Berkongsi pengalaman mengurus dan mengendalikan sebuah perniagaan bersulam pelbagai kisah dalam Annisa', ketiga-tiga pelakon jelita ini berkongsi cerita tentang pengalaman mereka berlakon dalam naskhah yang memaparkan isu semasa yang relevan dengan kehidupan masyarakat dan diselitkan nilai moral dalam bentuk gabungan info dan hiburan itu.
Raja Farah nafi dikongkong suami
Aku Masih Dara, Manjalara, Haq dan Apa Kata Hati antara naskhah yang melonjakkan nama Raja Farah Raja Aziz.
Kebanyakan watak lakonannya sebelum ini lebih mencabar kredibilitinya sebagai pelakon wanita. Mana tidaknya, selain berhasil melakonkan watak-watak antagonis, dia tidak terlepas daripada beraksi seksi.
Sehinggalah dia mengambil keputusan untuk mendirikan rumah tangga dengan jejaka pilihan bernama Megat Bashirun Qayyum Zakaria, dia kemudiannya berhijrah imej dengan mula mengenakan tudung pada pertengahan tahun lalu.
Lama menyepi dari dunia lakonan selepas berkahwin, Raja Farah menegaskan dia kini perlu lebih cerewet memilih watak memandangkan statusnya sekarang sebagai isteri orang.
"Biasanya setiap skrip yang saya dapat akan ditapis oleh suami saya. Dia tidak melarang saya berlakon sebab tahu ini kerjaya saya. Jika ada yang menuduh suami saya seorang yang cemburu, saya memang akui. Itu sifat seorang lelaki.
"Dia seorang suami yang tipikal, tidak boleh melihat isterinya mendedahkan aurat, tidak boleh bersentuhan dengan bukan muhrim. Saya sendiri sedar, setiap dosa saya ditanggung oleh suami," jelas Farah yang menafikan suaminya itu mengongkong dirinya.
Ujar Farah lagi, dia juga tidak pernah terfikir untuk meninggalkan dunia seni memandangkan itu cara dia membesar.
"Saya masih menyayangi dunia seni, tidak adil untuk saya meninggalkan bidang lakonan tapi perkara terbaik adalah dengan mengurangkan aktiviti seni saya," katanya.
Sementara itu, selama dua bulan menjalankan perniagaan kafe yogurt yang diberi nama Snogurt di Kajang, Selangor sedikit sebanyak membantu mendalami wataknya dalam sitkom Annisa'.
Menerusi sitkom tersebut, Raja Farah membawakan watak Tria, seorang gadis berusia 20-an dan sangat menghargai seni.
Selain menulis blog, dia juga mempunyai kemahiran membuat kek cawan. Tria merupakan gadis yang bijak, penyabar dan sentiasa memberikan inspirasi kepada rakan-rakannya.
Sari Yanti tidak kekok
Sementara itu, Sari Yanti pula diserahkan watak Nita, seorang wanita yang berkahwin dan berkeletah yang melucukan.
Ternyata, ini bukan kali pertama ibu kepada dua anak itu melakonkan karakter bertudung di layar kaca, sejak kali pertama melakukannya menerusi drama Kisah Kaisara.
Bagi Sari Yanti, bertudung tidak menghalang dirinya untuk berkarya malah dia juga selesa dalam keadaan itu.
"Saya tidak kekok bertudung sebab sebelum ini pun sudah banyak kali melakonkan watak bertudung sebenarnya malah, saya juga selesa memainkan peranan ini dan berlakon dalam sitkom lebih senang berbanding melakonkan watak orang bercinta.
"Annisa' lebih urban berbanding Kisah Kaisara dan saya melihat sitkom ini satu cara untuk saya melepaskan tekanan," tambahnya.
Sementara itu, Sari Yanti menegaskan dia terpaksa memperlahankan kerjayanya sebagai pelakon dan lebih menumpukan perhatian kepada keluarga.
Bukan kerana terlalu cerewet memilih watak memandangkan kelibatnya semakin kurang menghiasi kaca televisyen sekarang.
"Saya terpaksa kurangkan tawaran sebab ada anak kecil, biasanya saya akan beri ruang masa lebih kurang seminggu untuk meluangkan masa bersama keluarga sebelum menerima tawaran lain," jelasnya.
Diana tolak watak melampau
Pertama kali terlibat dengan produksi terbitan Primeworks Studio untuk TV AlHijrah untuk sitkom tersebut, ujar pelakon yang sudah mula bertudung sejak tahun lalu itu, dia sentiasa beringat-ingat terutama berlakon dalam sitkom.
Katanya, dia harus mengawal setiap aspek termasuk cara berpakaian dan ketawa terbahak-bahak.
"Sudah pasti akan ada babak yang membuatkan kita sendiri sebagai pelakon tertawa, tapi saya sendiri perlu meletakkan batasan dalam beberapa aspek," tambahnya.
Tidak menjadikan tudung sebagai halangan mencari rezeki, katanya lagi dia terpaksa menolak beberapa tawaran dan berbincang dengan pihak produksi sekiranya ada babak yang melampau.
"Walaupun tawaran yang datang tidak sekerap dulu, saya selesa dan watak-watak sebegini yang saya mahukan.
"Kalau ada babak yang dirasakan tidak sesuai saya terpaksa menolak tawaran, malah ada juga beberapa produksi sanggup mengubah lakon layar mengikut kehendak saya," ceritanya yang faham situasi diri dan batasan dalam berkarya.
Diana memegang watak Audy, seorang gadis yang gemar berfesyen dan mencuri perhatian. Dalam pada itu, Audy merupakan seorang yang besar kepala dan mementingkan diri dalam beberapa perkara.
Annisa' turut dijayakan oleh Bienda, Munir dan penampilan khas pelakon baharu, Khairul yang membawakan watak 'jejaka baju ungu'.
0 comments:
Post a Comment