Monday, March 19, 2012

Penyu hormati Kitchee FC


KEHEBATAN sebenar Terengganu dalam kancah bola sepak Asia bakal teruji petang ini apabila skuad kendalian Mat Zan Mat Aris itu turun melayan kunjungan kelab gergasi Hong Kong, Kitchee FC dalam aksi Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2012.

Berbekalkan kemenangan besar 6-3 ke atas Sabah dua hari lalu, keyakinan seratus peratus turut dilaungkan kesebelasan utama skuad Penyu yang tekad memburu tiga mata penuh pada aksi yang akan berlangsung di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, sekali gus merampas kedudukan Kumpulan F.

Ketika ini, Terengganu dan Kit- chee berkongsi tiga mata selepas masing-masing mencatat kemenangan pada aksi pembukaan tiga minggu lalu, namun kelebihan masih memihak kepada kelab Hong Kong itu berdasarkan perbezaan jaringan.

Kitchee sebelum ini menewaskan jaguh Singapura, Tampines Rovers 3-1, manakala skuad Penyu sekadar melakar kemenangan tipis 1-0 ke atas kelab Vietnam, Song Lam Nghe An.

Bagi Mat Zan, beliau awal-awal lagi memberi peringatan kepada barisan pemainnya agar mengubah tempo permainan mengikut keperluan semasa memandangkan reputasi pemain lawan yang berkelas tinggi.

Katanya, Kitchee yang juga juara Liga Divisyen Satu Hong Kong memiliki senarai pemain terbaik termasuk lima pemain import dari Sepanyol diketuai penyerang sensasinya, Jordi Tarres.

"Kami telah membuat persiapan yang cukup rapi untuk menghadapi perlawanan ini dan sudah pasti kami akan menampilkan corak permainan berbeza apabila menentang Kitchee.

"Sebagai jurulatih, saya begitu menghormati Kitchee yang dibimbing jurulatih dari Sepanyol, Josep Gombau dan meramalkan perlawanan petang esok pastinya sengit dengan kedua-dua pasukan mahu mencari kemenangan kedua pada kejohanan ini," kata Mat Zan pada sidang akhbar di Kuala Terengganu semalam.

Mengenai jadual perlawanan yang terpaksa berlangsung sebelah petang, Mat Zan merasakan ia bukanlah masalah besar bagi pemain-pemainnya memandangkan mereka telah pun beraksi pada waktu sama ketika menewaskan Song Lam sebelum ini.

"Waktu perlawanan bukanlah masalah kepada saya kerana apa yang penting adalah fokus sepanjang permainan. Saya sedar pasukan telah kehilangan beberapa pemain tonggak akibat kecederaan tetapi kami masih mendapat suntikan daripada penyokong tempatan," ujarnya yang terus memberi kepercayaan kepada Muslim Ahmad sebagai kapten pasukan.

Sementara itu, Gombau ketika ditanya mengenai prestasi pasukan Terengganu mengakui, gandingan tiga serangkai, Francis Forkey Doe, Ashaari Shamsudin dan Abdul Manaf Mamat merupakan trio pemain yang perlu diawasi.

- Dipetik dari KOSMO! Online 20032012

0 comments:

Post a Comment

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More