Monday, March 19, 2012

Liverpool pilih Everton


LIVERPOOL - Pengurus Liverpool, Kenny Dalglish berharap musuh sejiran, Everton akan mara ke separuh akhir Piala FA di Stadium Wembley pada 5 Mei depan.

Skuad The Reds menempah slot ke separuh akhir selepas menewaskan Stoke City 2-1 pada aksi suku akhir di Anfield awal pagi semalam.

Penyerang Liverpool, Luis Suarez membuka jaringan minit ke-23 sebelum Stewart Downing menambah gol kedua pada separuh masa kedua, manakala gol sagu hati Stoke diperoleh menerusi Peter Crouch minit ke-26.

Juara Piala Liga tersebut bakal bertemu Everton sekiranya skuad kendalian David Moyes itu berjaya menundukkan Sunderland pada perlawanan kedua kelompok lapan pasukan terbaik di Stanley Park, 27 Mac ini.

Kali terakhir Everton beraksi dalam final Piala FA adalah pada tahun 1989 yang menyaksikan Liverpool menang 3-2 di Stadium Wembley.

Bagaimanapun, Dalglish tidak berpuas hati dengan perubahan tarikh untuk aksi separuh akhir yang ditetapkan pada 14 dan 15 April depan.

Ini kerana, 15 April merupakan hari untuk memperingati kematian 96 penyokong Liverpool yang maut dalam insiden rempuhan penonton ketika pertembungan separuh akhir Piala FA menentang Nottingham Forest di Stadium Hillsborough, Sheffield, England kira- kira 23 tahun lalu.

Sejak kejadian itu, Liverpool tidak pernah beraksi pada 15 April dan Dalglish adalah pengurus skuad The Reds ketika bencana itu berlaku.

"Kami tidak akan beraksi pada 15 April. Persatuan Bola Sepak (FA) England dan UEFA sering menjadi contoh dan sangat memberi sokongan.

"Kami tidak pernah bermain pada tarikh tersebut sebelum ini. Kenapa mereka (FA England) perlu mengubahnya?" kata Dalglish.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai prospek pasukan pada saingan separuh akhir Piala FA sekiranya Liverpool berdepan dengan Everton, Dalglish berkata, pertemuan itu akan menjadi suatu kebanggaan kepada kelab bimbingannya.

"Kami berharap Everton mampu melepasi peringkat suku akhir ini tetapi mungkin sukar kerana mereka akan beraksi di Sunderland. Namun, ia bukan masalah kami, mereka perlu mengatasinya sendiri," kata Dalglish. - AFP

- Dipetik dari KOSMO! Online 20032012

0 comments:

Post a Comment

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More