Thursday, March 22, 2012

Girls’ Generation di KLCC


KUMPULAN terkenal Korea Selatan, Girls’ Generation bakal membuat kemunculan sulung mereka di Malaysia untuk konsert Twin Towers@Live 2012 di Menara Berkembar Petronas (KLCC), Kuala Lumpur pada malam ini. Kumpulan yang dianggotai sembilan gadis jelita itu mula popular menerusi single berjudul Gee pada tahun 2009 dan dikenali juga dengan Soshi atau SNSD dalam kalangan peminat setia.

Mereka kini popular dengan single berjudul The Boys. Menariknya, Girls’ Generation juga bakal berkongsi pentas dengan penyanyi popular, Nicole Scherzinger yang juga bekas anggota kumpulan Pussycat Dolls.

Konsert tersebut diadakan sempena dengan perlumbaan Formula Satu (F1) yang akan berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pada Ahad ini. Kemunculan Girls’ Generation dan Scherzinger menggantikan penyanyi Kylie Minogue yang sepatutnya membuat persembahan pada konsert yang dinamakan sebagai Konsert F1 Rock, tetapi ia terpaksa dibatalkan atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan.

“Sebelum ini, Nicole Scherzinger pernah membuat persembahan sebanyak dua kali di Malaysia ketika masih menganggotai kumpulan Pussycat Dolls. Setelah Pussycat Dolls berpecah pada tahun 2010, Scherzinger masih meneruskan kariernya dan ini kali pertama dia muncul membuat persembahan secara solo di Malaysia,” ujar Tan Sri Syed Yusof Tun Syed Nasir, pengerusi Jojo Events Sdn. Bhd., syarikat yang menguruskan kemunculan artis untuk persembahan pada konsert tersebut.

Artis-artis lain yang turut terbabit dalam konsert selama dua hari itu termasuklah Orianthi, Kelis, Rehsmonu, James Baum dan Faizal Tahir.

- Dipetik dari KOSMO! Online 23032012

0 comments:

Post a Comment

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More