Thursday, March 22, 2012

Vettel tidak sabar

VETTEL mahu pastikan aksi di Sepang penghujung minggu ini dikuasai pasukan Red Bull

JUARA dunia dua kali, Sebastian Vettel sudah tidak sabar untuk menebus kekalahannya dalam Grand Prix (GP) Australia minggu lalu apabila turun beraksi pada pusingan kedua perlumbaan kereta Formula Satu (F1) GP Malaysia di Litar Sepang, Ahad ini.

Vettel, juara dunia 2010 dan 2011, terpaksa berpuas hati di tempat kedua selepas ketinggalan di belakang pemandu McLaren, Jenson Button di Albert Park minggu lepas.

Pemandu Red Bull dari Britain itu kini bersedia untuk menghalang kemaraan McLaren yang menunjukkan prestasi yang baik pada awal saingan musim ini dan Litar Sepang akan menjadi gelanggang terbaik buatnya untuk merealisasikan misi tersebut.

“Sebenarnya, kedudukan di tempat kedua di Melbourne minggu lepas saya kira sudah cukup memuaskan. Memang tiada siapa yang mahu menduduki tempat kedua tetapi berdasarkan situasi kami pada awal musim ini, saya rasa ia sudah cukup bagus,” kata Vettel.

“Saya gembira kerana dapat kembali beraksi di Malaysia. Saya sudah biasa dengan keadaan litarnya (Litar Sepang), seronok dengan cuaca yang mencabar di sini dan sudah tentu saya tidak sabar lagi untuk menguji kemampuan saya di sini.

“Selepas perlumbaan di GP Australia, kami seperti mendapat suntikan semangat dan motivasi baharu pada saingan kedua kali ini. Kami akan melakukan apa sahaja untuk menghalang McLaren daripada mencatat kejayaan kedua di Sepang," jelasnya lagi.

Pemandu berusia 25 tahun itu bagaimanapun menjelaskan, misi di Sepang kali ini mungkin agak sukar kerana tiada perubahan dilakukan terhadap jentera yang digunakan ketika perlumbaan di GP Australia minggu lepas.

“GP Australia adalah langkah yang bagus untuk melihat sejauh mana tahap kompetitif yang ada pada jentera masing-masing tetapi di Litar Sepang, ia satu perlumbaan yang berbeza di atas gelanggang yang berbeza.

“Suhu di permukaan litar ini adalah yang tertinggi sekali dalam F1 dan saya ingin melihat bagaimana jentera kami memberi respons di atas litar yang mencabar ini.

“Namun, tugas saya di sini mungkin agak sukar kerana menggunakan jentera yang sama ketika di Melbourne. Tiada perubahan dan peningkatan dibuat terhadap jentera kerana amat mustahil untuk meningkatkan tahap prestasi jentera dalam masa sehari semalam.

“Apa yang saya boleh buat ialah menaruh keyakinan terhadap potensi jentera saya dan cuba memandu sebaik mungkin untuk menyaingi kepantasan McLaren dan pasukan lain seperti Ferrari,” tambahnya.

- Dipetik dari KOSMO! Online 23032012

0 comments:

Post a Comment

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More