MELBOURNE - Juara dunia 2007, Kimi Raikkonen meletakkan sasaran untuk menaiki podium di Grand Prix (GP) Malaysia hujung minggu ini selepas berpuas hati dengan prestasi kereta di Litar Albert Park, Australia, minggu lalu.
Beliau berkata demikian selepas mengakui jentera Lotus E20 mampu memberi cabaran yang lebih sengit di Sepang, litar di mana dia pernah melakar kejayaan bersama McLaren sembilan tahun lalu.
"Kereta tersebut amat bagus. Dalam perlumbaan tempoh hari, beberapa kesilapan dan gagal mendapat petak depan membuatkan saya tidak dapat memberi persembahan yang terbaik.
"Selagi aksi kelayakan berjalan baik buat kami, kami akan bersaing untuk mendapatkan tempat di podium tanpa masalah," katanya yang menamatkan perlumbaan di tempat ketujuh pada perlumbaan Formula Satu (F1) Grand Prix (GP) Australia, Ahad lalu.
Tambah Raikkonen lagi, masih banyak cabaran yang sedang menunggu dan mereka sedang belajar mengenai kereta itu sepanjang masa.
"Perlumbaan lalu tidak memberi peluang kepada kami untuk menggunakan potensi kereta itu sepenuhnya. Jadi, kami berharap, Malaysia akan membuka peluang itu," ujarnya.
Raikkonen juga menjelaskan tiada sebab untuk Lotus tidak mampu mengejar kedudukan terbaik pada minggu ini kerana kereta tersebut berada dalam keadaan terbaik.
"Kami akan cuba memperbaiki persembahan kami di Malaysia. Kami tidak tahu bagaimana keadaan kereta itu kelak namun sehingga kini, ia tidak menghampakan," kata pemandu kelahiran Finland itu. - Agensi
0 comments:
Post a Comment