Wednesday, March 21, 2012

Anuar Zain bantu ibu tunggal

 

SAMBUTAN Hari Ibu pada bulan Mei ini tidak terkecuali menjemput penyanyi popular, Anuar Zain memenuhi undangan mengadakan persembahan yang bertemakan sambutan tersebut.

Penyanyi berusia 42 tahun ini antaranya akan terbabit menjayakan persembahan Hari Ibu yang diberi nama Mother's Day Gala Night With Anuar Zain di Hotel One World, Petaling Jaya, Selangor pada 12 Mei ini.

Persembahan itu boleh dikatakan agak mahal apabila ia mengenakan bayaran jualan meja sehingga RM100,000 untuk sebuah meja dengan 10 tempat duduk pada persembahannya yang mengambil masa kira-kira 45 minit.

Sungguhpun begitu, menurut penganjur persembahan, Dream Music Sdn. Bhd. yang diwakili oleh Pengarah Urusannya, Datuk Mohd. Fauzi Zakaria, konsert itu bukan setakat hiburan semata-mata.

Sebaliknya, katanya sebahagian daripada jualan meja pada persembahan Anuar itu akan disumbangkan bagi membantu golongan ibu-ibu tunggal menerusi Persatuan Ibu Tunggal Malaysia.

"Selain jualan meja berharga RM100,000, jualan meja-meja yang berharga RM40,000, RM20,000 dan RM10,000 juga disediakan. Kebanyakan jualan meja yang mahal itu kami buka dan utamakannya untuk syarikat-syarikat koporat," katanya pada sidang akhbar di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Hadir sama pada sidang akhbar itu ialah Pengurus Kanan Dream Music Sdn. Bhd., Adila Hamdu serta wakil-wakil penaja termasuklah Hot FM selaku radio rasmi persembahan tersebut.

Pada majlis itu, Anuar yang antaranya popular dengan lagu seperti Lelaki Ini dan Keabadian Cinta berkata, selain jualan meja para peminat juga boleh membeli tiket setiap seorang dengan harga RM1,000, RM600 atau RM500.

Jelasnya, meskipun ada pihak yang beranggapan harga tiket itu agak mahal tetapi itu tidak bermakna dia terlalu memandang kepada wang ringgit semata-mata, sebaliknya para peminat yang kurang mampu juga berpeluang menonton persembahannya.

"Biasanya setahun sekali saya akan mengadakan persembahan khas untuk para peminat saya yang mana saya hanya mengenakan bayaran sekitar RM40 sahaja. Itu pun untuk bayaran makan sahaja bagi menonton persembahan saya itu.

"Tetapi sudah lama juga saya tidak buat persembahan sebegitu. Pada persembahan itu, para peminat berpeluang menonton persembahan saya sambil makan dan berbual mesra dengan saya dalam acara yang diadakan lebih kurang empat jam lamanya," katanya.

Pada persembahan Mother's Day Gala Night Dinner itu, Anuar dapat membayangkan kelainan yang bakal dipersembahkan memandangkan pada Mei ini turut terdapat banyak persembahan sempena Hari Ibu yang dijayakan oleh penyanyi lain.

Selain bakal menyanyikan lagu yang sinonim dengan Hari Ibu berjudul Ibu, dia akan menggunakan masa yang ada bagi mendekatkan dirinya dengan para penonton terutamanya golongan ibu yang hadir kelak.

"Saya akan jadikan persembahan saya itu nanti santai di mana melaluinya nanti saya akan gunakan sebagai suatu platform bagi mengeratkan silaturrahim sesama penonton. Saya akan melayan dan menghiburkan para ibu.

"Ini kerana, saya faham dengan pengorbanan seorang ibu. Ibu saya juga suri rumah sepenuh masa. Apatah lagi, saya sejak kecil sehingga berusia hampir tiga tahun tidak guna susu tepung sebaliknya bergantung pada susu ibu.

"Tiada kerja yang lebih mudah selain menjadi ibu yang bekerja 24 jam sehari untuk keluarganya. Jadi, jasa dan pengorbanan seorang isteri atau ibu memang terlalu tinggi nilainya," ulasnya.

Para peminat dan syarikat-syarikat korporat yang berminat untuk menyaksikan persembahan Anuar sempena sambutan Hari Ibu itu sila hubungi talian 03-21711220 atau layari laman sesawang www.dreammusic.com

- Dipetik dari Utusan Online 21032012

0 comments:

Post a Comment

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More