Wednesday, September 30, 2009

7 Punca Sakit Kepala

Rasa sakit kepala boleh dialami oleh sesiapa saja tanpa mengira usia ataupun waktu. Kadangkala, anda sendiri tak pasti apakah punca sebenarnya. Alih-alih jer kepala ni terasa pening. Nak kata lapar, tak jugak. Baru jer lepas menjamu selera tadi. :)

gambar penghidap sakit kepala

Gambar penghidap sakit kepala - www.healthplusclinics.com



Menurut apa yang saya faham, sakit kepala ni berpunca dari sel-sel saraf dalam badan anda. Kepala anda terasa sakit apabila sel saraf ini dibangkitkan dan berlaku kerosakan pada tisu. Rasa sakit akan bertambah teruk jika semakin banyak tisu yang rosak.

Sehubungan itu, bagi mengelakkan sakit kepala anda perlulah menghindari 7 punca utamanya seperti berikut:

1. Fikiran yang bercelaru atau tak menentu.

2. Duduk bertentangan dengan cahaya terang.

3. Memakai cermin mata yang tak sesuai dari segi "power" sama ada di sebelah mata kanan atau kiri atau kedua-dua belah.

4. Merenung atau melihat sesuatu benda dengan keadaan mata yang kabur atau kelabu.

5. Menghidap migrain, kencing manis, barah dan denggi.

6. Memakai pakaian yang kurang sesuai. Terutamanya yang agak ketat pada bahagian pinggang.

7. Memakai pewangi atau bau-bauan yang berlebihan.

Akhir sekali, sekiranya terlalu kerap mengalami sakit kepala kemungkinan besar ia adalah tanda anda mengalami barah otak. Pastikan anda berjumpa doktor untuk pemeriksaan lanjut sebelum terlambat.

Monday, September 28, 2009

Menambah Selera Makan Dengan Pegaga

Daun pegaga atau ulam pegaga ni popular di kalangan masyarakat Melayu sejak beratus tahun dulu dek kerana pelbagai khasiat yang dimilikinya. Ia selalunya tumbuh meliar dan sering dijadikan sebagai ulam atau sayur. Anda boleh menjumpainya pada celah-celah rumput di tanah yang subur dan bersaliran baik. Malah, ada di antara anda yang menanamnya di halaman rumah, kan?

Gambar pegaga (centella asiatica)

Gambar pegaga (centella asiatica) - Wikipedia



Sekiranya anda menghadapi masalah kurang selera makan, daun pegaga mungkin boleh membantu. Anda cuma perlu memakannya secara mentah saja. Terutamanya ketika waktu makan tengahari. Ini kerana pengambilannya dikatakan mampu menambah selera makan anda.

Selain itu, banyak lagi khasiat pegaga untuk tubuh anda yang mesti diketahui. Antaranya;

- memperbaiki sistem penghadaman

- merawat buasir


Begitu juga dengan air perahan daun pegaga dan akarnya. Jika anda meminumnya, ia baik untuk;

- menyejukkan badan

- menyembuhkan lelah

- mengubati demam

- mengatasi masalah hati

- masalah buah pinggang

- cirit birit berdarah


Manakala untuk kegunaan luaran pula, anda boleh gunakan pula air perahan pegaga ni untuk membersihkan luka, kudis, ulser serta masalah kulit.


p.s: Tak lama dulu, saya pun pernah menulis mengenai artikel bertajuk "Pelbagai Khasiat Daun Pegaga". Anda boleh dapatkan sedikit info tambahan di sana.

p.p.s: Ataupun jika anda mempunyai darah tinggi, boleh rujuk artikel "Petua Kesihatan: Ubat Darah Tinggi" di sini untuk berusaha mengatasinya.

Friday, September 18, 2009

Pastikan Anda Tak Mabuk Sepanjang Perjalanan

Memandangkan suasana Hari Raya yang semakin terasa, saya percaya ramai di antara anda yang sedang dan bakal memulakan perjalanan pulang ke kampung halaman. Bagi anda yang tak biasa berjalan jauh tu, kemungkinan akan mengalami mabuk perjalanan. Bila dah mabuk ni, memang serba tak kena dibuatnya.

Sama ada anda melakukan perjalanan di darat, laut ataupun udara, cubalah ikuti petua tradisional di bawah. Ianya cukup mudah dan ringkas.

gambar ubi keledek

Gambar ubi keledek - Portal Usahawan Tani



Anda cuma perlukan ubi keledek. Iaitu makanlah ubi keledek sejurus sebelum anda nak memulakan perjalanan. Itu saja. :)

Tapi kalau dalam bulan puasa ni, anda bolehlah makan ubi keledek tu semasa bersahur atau berbuka. Iaitu ikut masa yang terhampirlah sebelum berjalan jauh.

Sebelum ini pun, saya pernah menulis petua elakkan mabuk kenderaan di sini. Anda boleh mencubanya juga sebagai alternatif.


Selamat Mencuba!

Tuesday, September 15, 2009

Cara Mengempiskan Perut Buncit

Ketika berada di fasa akhir bulan Ramadhan ni, adakah perut anda semakin kempis ataupun bertambah buncit? Kalau bertambah buncit, maknanya anda perlulah "on" kan butang kecemasan. Maklumlah bila musim raya, dugaannya lagi la banyak. Anda bakal berdepan dengan pelbagai hidangan enak macam ketupat, lemang dan rendang. Lepas tu, nak memenuhi undangan rumah terbuka lagi. Boleh ke nak kawal nafsu makan nanti?

Fuhh... memang mencabar tul, kan?

Atas sebab itulah, saya nak kongsi satu cara mengempiskan perut buncit bersama dengan anda. Lagi satu, supaya pakaian yang dah anda beli atau tempah sebelum ni dapat digayakan dengan cantik dan terletak nanti. :)


1. Mula-mula, anda perlu sediakan bahan-bahan di bawah;

- segenggam cekur
- sedikit tepung beras
- sedikit asam jawa
- garam secukup rasa
- sedikit gula pasir
- sedikit gula merah


2. Kemudian, tumbuk kesemua bahan di atas sehingga halus.

3. Lepas tu, campurkan setengah gelas air masak dengan bahan-bahan yang telah ditumbuk halus tadi.

4. Seterusnya, tapislah air tersebut dan minum.

5. Ulangi petua ni selama 4 hari berturut-turut.

InsyaAllah, jika diizinkan-Nya anda pasti dapat merasai kesannya.


gambar belalang
Gambar belalang - WikiMedia.org


Namun begitu, ada satu lagi alternatif yang boleh anda cuba. Iaitu dengan selalu amalkan memakan belalang beras. Untuk makluman anda yang beragama Islam, belalang ni adalah halal dimakan.


Selamat Mencuba!

Monday, September 14, 2009

Merawat Kulit Kasar Serta Bintik Hitam

Memandangkan Hari Raya pun makin dekat, pastinya anda ingin mempersiapkan diri agar wajah kelihatan berseri ketika menyambut hari kemenangan tu nanti. Bagi yang ada masalah kulit kasar dan bintik hitam di muka, tentunya hal ini sikit sebanyak menganggu tahap keceriaan, kan?

Sebagai salah satu usaha anda merawat masalah tersebut, cubalah ikuti petua yang bakal saya kongsikan di bawah. Anda cuma perlu guna timun saja.

gambar timun

Gambar timun - BuyOrganicVegetable.com



1. Memula, anda parut dulu timun tu.

2. Kemudian, perah timun tadi untuk mendapatkan airnya.

3. Lepas tu, gunakanlah air perahan timun tu untuk mencuci muka anda sebelum tidur.

4. Andainya kurang berkesan, ambil sekali hampas timun tu dan tampalkan kat muka anda.

5. Bila bangun pagi nanti, anda cuci muka dan mandilah dengan air suam atau air panas.


Amalkan petua ni setiap hari sehinggalah kulit muka anda bertambah halus dan tiada lagi bintik-bintik hitam. Bila dah puas hati dengan hasil yang diperolehi, anda boleh teruskan petua ni. Cuma dah tak payah buat hari-hari. Buat seminggu sekali pun dah cukup. :)


Selamat Mencuba!

Friday, September 11, 2009

Kebaikan Daun Salad Untuk Anda

Daun salad bukan saja digemari oleh anda yang mengamalkan diet malah mempunyai pelbagai kebaikan lain. Tahu tak yang ia kaya dengan kalsium, magnesium, potasium, fosforus, sodium, vitamin A dan C, zat besi dan zink. Gabungan kandungan di atas menjadikannya sebagai sejenis kompaun iaitu Lactucarium.


gambar daun salad

Gambar daun salad - Wikipedia



Lactucarium ni berfungsi sebagai sedatif. Jadi, ia mampu tenangkan diri anda, menghilangkan keresahan serta melapangkan fikiran.

Selain itu, daun salad juga mengandungi karotena dan air. Untuk itu, ia dapat menghilangkan dahaga serta melancarkan sistem pernafasan.

Satu lagi, daun salad juga boleh dimakan sebagai penawar bagi anda yang masalah gangguan tidur (insomnia).


Kesimpulannya, daun salad bukan sekadar sesuai untuk anda sedang berdiet saja. Tapi ia lebih banyak kebaikan daripada yang anda sangkakan.

Thursday, September 10, 2009

Masalah Popular di Bulan Puasa Bahagian 4

Masalah popular di bulan puasa yang terakhir ialah sembelit. Sembelit ni juga kalau anda nak tahu, merupakan satu tanda kepada penyakit. Ia akan membuatkan anda sakit perut dan angin satu badan (sendawa dan kentut). Akibatnya, anda akan mengalami kesukaran untuk membuang air besar.


Di antara faktor penyebab yang anda mengalami sembelit adalah:

1. Mengambil makanan yang kurang serat semasa berbuka/bersahur.

2. Kurang minum air kosong ketika berbuka/bersahur.

3. Suka menahan diri bila terasa nak buang air besar.

4. Terlalu kerap mengambil makanan tambahan seperti zat besi.

5. Kurang bergerak atau bersenam.

6. Anda menghidap penyakit tertentu seperti parkinson, sclerosis, lumpuh dan kencing manis.

7. Mengambil ubat-ubatan tertentu seperti ubat batuk (yang mengandungi anti-depressant, anti-histamine, diuretik, codeine) dan ubat gastrik (yang mengandungi aluminium atau kalsium).


Anda boleh melakukan langkah-langkah tertentu untuk mengawal sembelit seperti:

1. Kenalpasti dulu mengapa anda mengalami sembelit.

2. Minum banyak air semasa berbuka/bersahur.

3. Anda boleh minum air limau suam sebelum makan.

4. Mengambil banyak buah-buahan dan sayur-sayuran semasa berbuka. Antaranya pisang, epal, prune dan nanas.

gambar prune

Gambar prune - Wikipedia



5. Kurangkanlah meminum teh, kopi, susu, makanan dari sumber tenusu dan berlemak.

6. Bersenam terutamanya yang menumpukan pergerakan bahagian otot-otot usus.

7. Anda boleh mengambil ubat-ubatan seperti stimulant laxative, osmotic laxative, penggunaan pelincir glycerine, acidophilus dan bakteria baik (probiotik).


Akhirnya, lengkaplah sudah artikel masalah popular di bulan puasa ni. Saya harap dengan perkongsian ini dapat membantu anda menjalani ibadah puasa dengan lebih selesa dan sihat. Andainya anda mengalami 4 masalah yang telah dibincangkan, ambillah langkah pengawalan atau pencegahan supaya ia tak berlanjutan.


Selamat Menjalani Ibadah Puasa!

Tuesday, September 8, 2009

Masalah Popular di Bulan Puasa Bahagian 3

Satu lagi masalah yang sering dihadapi semasa bulan puasa adalah keracunan makanan. Biasanya anda yang sering berbuka atau bersahur di luar lebih berisiko tinggi mengalaminya. Sebabnya, anda tentu sukar nak pastikan tahap kebersihan sebenar sesuatu gerai ataupun restoran.


3. Keracunan Makanan

Masalah ini biasanya terjadi sama ada anda telah memakan makanan yang tercemar dan dihinggapi oleh bakteria, protozoa, virus, bahan kimia, racun serangga dan racun dari kulat. Anda akan merasai kesannya dalam tempoh 48 jam. Di mana anda akan mengalami kehilangan air dalam badan atau keracunan saraf. Jika hal ini sampai ke tahap serius, ia boleh membawa maut tau.


Tanda-tanda yang anda mengalami keracunan makanan adalah:

1. Mengalami gangguan di bahagian perut.

2. Cirit-birit.

3. Rasa mual.

4. Muntah-muntah.

5. Pening kepala.


Sebagai langkah mengelakkan masalah ini, anda perlulah:

1. Memilih tempat makan yang diyakini tahap kebersihannya.

2. Membeli juadah daripada peniaga yang sentiasa menutup makanan yang dijual.

Gambar tudung saji

Gambar tudung saji - Galeri produk penjara


3. Sentiasa memeriksa makanan yang dimakan agar bebas daripada kulat.

4. Memasak sendiri juadah berbuka di rumah.

5. Pastikan dapur dan peralatan memasak anda dicuci bersih sebelum digunakan.

6. Cuci segala bahan mentah seperti buah-buahan dan sayur-sayuran sebelum digunakan.

7. Tangan anda juga mestilah dicuci dengan bersih sebelum menyediakan dan menyajikan sesuatu hidangan.

8. Jika anda ingin memanaskan semula makanan dan lauk-pauk, panaskanlah dengan sempurna.

9. Tutuplah makanan agar tak dihinggapi lalat dan terdedah kepada habuk atau kuman.


Begitulah serba-sedikit info yang perlu anda ketahui bagi mengelakkan keracunan makanan. Pada artikel seterusnya, saya akan sambung dengan masalah popular di bulan puasa yang terakhir iaitu sembelit. Jangan lupa sambungannya yer. :p

Sunday, September 6, 2009

Masalah Popular di Bulan Puasa Bahagian 2

Masalah popular di bulan puasa yang seterusnya jatuh kepada ulser mulut. Umumnya, ulser mulut ni boleh terjadi kepada sesiapa saja. Tapi ia akan pulih dengan sendirinya dalam masa tak lebih daripada 3 minggu.


2. Ulser Mulut


Ulser mulut ni boleh terjadi secara berulangkali. Namun ia taklah begitu serius dan ia tak berjangkit.


Di antara faktor penyebabnya adalah:

a. Anda alah kepada makanan tertentu seperti buah nanas.


Gambar buah nanas - Wikipedia



b. Kurang minum air.

c. Berlaku kecederaan di lapisan nipis mulut. Contohnya anda tergigitnya, terkena air yang terlalu panas dan terkena makanan yang tajam.

d. Tahap daya tahan sakit (sistem imun) anda agak lemah.

e. Anda kurang mengambil makanan yang berzat semasa berbuka atau semasa bersahur.

f. Anda mengalami tekanan perasaan.


Seterusnya, tanda-tanda yang anda mengalami ulser mulut adalah:

a. Terasa sakit apabila bahagian yang terkena ulser tu menyentuh makanan ataupun minuman.

b. Terdapat tanda-tanda bulat warna putih atau kuning. Ia selalunya dikelilingi oleh persekitaran yang bewarna kemerahan.

c. Besar ulser ni tak melebihi 2 atau 3mm.


Sebagai langkah pencegahan ulser mulut, anda perlu:

a. Elakkan makanan yang mengandungi banyak rempah ratus.

b. Sebaliknya, banyakkan mengambil makanan yang mengandungi vitamin A, C dan D untuk kesihatan lapisan mulut.

c. Lebihkan pengambilan vitamin C, buah-buahan dan sayur-sayuran hijau bagi meningkatkan daya tahan sakit anda.

d. Tak lupa juga, ambil makanan yang mengandungi mineral zink dan zat besi.

e. Kurangkan pengambilan minuman yang berasid semasa berbuka atau bersahur.

f. Minum banyak air kosong.

g. Gunakan antiseptik semasa berkumur.

h. Sapukanlah gel ulser di tempat yang berkaitan.

i. Anda boleh mengambil vitamin B kompleks atau Arcalion untuk mengelakkan tekanan perasaan.

j. Sekiranya masalah ulser mulut anda agak besar (lebih daripada 3mm), mengalami ulser berdarah dan ia tidak sembuh selepas 3 minggu, berjumpalah doktor untuk pemeriksaan selanjutnya.


Baiklah, saya nak berhenti di sini dulu. Saya akan sambung dengan masalah seterusnya iaitu keracunan makanan. Pastikan anda tak ketinggalan untuk mengetahuinya. :)


p.s: Saya menyarankan agar anda mendapatkan nasihat doktor yang bertauliah sekiranya menghadapi ulser mulut. Panduan di atas hanyalah maklumat umum yang saya perolehi melalui pembacaan. Harap maklum.

Saturday, September 5, 2009

Masalah Popular di Bulan Puasa

Terdapat beberapa jenis masalah yang sering menghantui sesetengah individu ketika mengharungi bulan puasa. Masalah popular yang dimaksudkan tu adalah gastrik, sembelit, ulser mulut dan keracunan makanan. Dan disebabkan penyakit itulah, ada yang mengambil peluang untuk ponteng puasa, kan?

Tapi tak mengapa. Mungkin sebelum ni anda tak tahu yang kesemua masalah tu sebenarnya boleh dielakkan. Caranya mudah saja. Iaitu anda perlulah memilih makanan yang sihat sewaktu berbuka. :)

Sebagai info tambahan untuk anda, berikut adalah beberapa maklumat yang perlu diketahui mengenai 4 masalah popular di atas;


1. Gastrik


Anda akan mengalami gastrik apabila berlakunya luka kecil pada bahagian usus. Iaitu di bahagian duodenum (ulser duodenal) ataupun di bahagian perut (ulser gastrik).


Di antara faktor yang menyebabkan anda terkena gastrik adalah:

a. Kandungan asid dan pepsin yang tak seimbang dalam usus. Ini kerana ulser terjadi akibat pengeluaran asid yang berlebihan.

b. Menurut kajian, kira-kira 80% ulser gastrik berpunca daripada bakteria Helicobacter Pylori.


Manakala tanda-tanda yang anda mengalami gastrik pula adalah:

a. Sakit perut (biasanya dirasai pada bahagian atas perut) dan rasa seperti tak hadam.

b. Sakit di bahagian ulu hati di mana anda akan kerap sendawa serta kentut.

c. Pening kepala.

d. Muntah.

e. Badan terasa letih, lesu atau lemah.

f. Najis yang kehitaman bercampur dengan darah.


Sebagai langkah pencegahan, anda perlulah:


a. Berehat.

b. Banyakkan pengambilan makanan yang mengandungi sulfur seperti brokoli, kubis dan bawang putih.


Gambar brokoli - Wikipedia



c. Mengambil makanan mengandungi kandungan zink yang tinggi untuk membantu proses penyembuhan.

d. Mengamalkan pengambilan probiotik secara konsisten.

e. Mengambil 100mg vitamin C untuk mengurangkan kandungan nitrosamines. Nitrosamines ini boleh menyebabkan kanser perut.


Rasanya cukup dulu saya ceritakan mengenai gastrik sebagai permulaan. Untuk masalah selebihnya, saya akan sambung kemudian. Selepas ini mungkin giliran ulser mulut pula.


p.s: Saya menyarankan agar anda mendapatkan nasihat doktor yang bertauliah sekiranya menghadapi gastrik. Panduan di atas hanyalah maklumat umum yang saya perolehi melalui pembacaan. Harap maklum.

Thursday, September 3, 2009

8 Cara Pemakanan Sihat Sepanjang Ramadhan

Sepanjang bulan Ramadhan ni, anda boleh pilih pelbagai jenis juadah yang jarang ditemui pada bulan-bulan lain. Memang banyak pilihan yang mampu menggoda nafsu. Lebih-lebih lagi jika gaya persembahan sajian tu nampak sedap dan mampu menarik perhatian anda, kan?

gambar hiasan hidangan ketupat beserta lauk pauk

Cuma jika anda ingin kekal sihat sepanjang bulan puasa ni, pastikan memilih makanan sesuai. Iaitu makanan seimbang yang dibahagikan kepada 5 kumpulan di bawah;

1. Roti dan bijirin

2. Susu dan produk tenusu lain

3. Daging dan kekacang

4. Sayur dan buah-buahan

5. Lemak dan gula (diambil sedikit saja)


Dengan mengamalkan pemakanan seimbang, berat badan anda pun dapat dikekalkan. Malah, jika anda ingin kuruskan badan, bulan puasa nilah masa yang paling sesuai. Cuma anda perlu sedar, yang penting ialah kualiti makanan yang diambil. Bukannya kuantiti tau.

Dengan mengambil makanan yang berkualiti, ianya dah mampu menampung keperluan tubuh anda. Walaupun anda hanya mengambilnya dalam kuantiti yang sedikit. :)


Berikut 8 cara pemakanan sihat sepanjang Ramadhan untuk anda;


1. Sewaktu berbuka, sebaiknya anda mengambil hidangan yang kurang berminyak dan kurang lemak.

2. Kurangkan juga makanan yang pedas-pedas, bergoreng atau berminyak. Ia boleh menyebabkan pedih ulu hati, menimbulkan masalah ketidakhadaman dan juga masalah berat badan.

3. Kunyah makanan yang dimakan secara perlahan-lahan supaya proses penghadaman anda lebih teratur.

4. Makanlah sekadar yang perlu. Bila terlebih makan, ia bakal menjejaskan sistem penghadaman anda. Akibatnya, anda akan letih lepas berbuka.

5. Lagi satu, elakkan makan berulam air. Senak perut anda nanti.

6. Selain itu, anda digalakkan bersahur. Kan sunat tu.

7. Ambillah makanan yang lambat hadam dan mengenyangkan semasa bersahur. Iaitu makanan yang mengandungi serat dan kompleks karbohidrat seperti roti, pisang, epal, anggur, kubis, kubis bunga, tomato dan brokoli.

8. Selain itu, anda perlu mengambil makanan yang mengandungi sedikit gula. Iaitu yang mampu bertahan lebih kurang 3 ke 4 jam dalam sistem penghadaman. Tujuannya supaya ia dapat mengembalikan tahap glukosa dalam badan anda.


Akhir sekali, semoga cara pemakanan di atas dapat membantu anda kekal sihat ketika berpuasa sepanjang bulan Ramadhan ini.


Selamat Menjalani Ibadah Puasa. :)


p.s: Sebelum ini, saya ada tulis mengenai 5 Tips Pemakanan Sihat Ketika Bulan Puasa. Anda klik saja pada tajuk tersebut untuk mengetahuinya.

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More