Tuesday, August 31, 2010

Petua atau Ubat Demam Panas?

Ada tak di antara anda yang kena demam panas dalam bulan puasa ni? Jikalau ada, saya nak tambah satu lagi petua demam panas. Bahan yang anda perlukan ialah keman air. Ataupun mungkin ada sesetengah anda yang mengenalinya sebagai setangki. Nama saintifiknya ialah Neptunia Oleracea.



Keman Air- andromeda.cavehill.uwi.edu




Sekarang, ikutilah petua di bawah bagi merawat demam panas tersebut;


1. Ambil beberapa batang pokok keman air termasuk daunnya sekali. :)

2. Bersihkan ia dulu dan rebus sampai mendidih.

3. Bila dah mendidih, anda biarkan ia suam sekejap.

4. Kemudian, tapis dan tuangkan air rebusan keman air tadi ke dalam gelas.

5. Minumlah secara perlahan-lahan ya.


Anda boleh teruskan amalan ini sehingga demam panas yang dialami berkurangan dan beransur sembuh.


Selamat Mencuba!


p.s: Selain demam panas, keman air ni turut berkhasiat dalam merawat sakit telinga. Itu akan saya ceritakan kemudian ya. :)

Monday, August 30, 2010

Petua Kecutkan Rahim dengan Temu Mangga

Temu mangga atau temu pauh memang banyak kebaikannya untuk penjagaan kesihatan diri anda. Khasiat temu mangga yang akan dikongsikan ini terletak pada ubinya. Rasanya yang agak pedas sikit tapi sedap juga sesuai untuk dijadikan sebagai ulam.

Malah menurut pengamal perubatan tradisional, apabila anda mengamalkannya sebagai ulam dalam menu seharian, ia baik untuk buang angin.



Temu Mangga @ Temu Pauh - kizaherbs.com




Tapi seperti tajuk di atas, fokus kali ini lebih kepada petua kecutkan rahim, kan? Jadi, anda ikuti langkah di bawah jika ingin mengecutkan rahim.


1. Ambil beberapa ulas ubi temu mangga.

2. Kemudian, ambil sedikit air bersih dan kisarkan bersama dengan ubi tadi sampai lumat.

3. Setelah betul-betul lumat, tapiskan bahan yang telah dikisar tadi ke dalam gelas.

4. Di sini, anda hanya perlukan air atau jusnya saja.

5. Minumlah jus tadi secara perlahan-lahan. Sekiranya anda tak tahan pedas, boleh tambahkan dengan sedikit madu ya.


Sebelum terlupa, amalan meminum jus di atas setiap hari turut berfungsi menyembuhkan demam serta boleh mengurangkan panas badan.


Selamat Mencuba!

Sunday, August 29, 2010

3 Khasiat Bunga Raya Putih

Bunga Raya memang tak asing lagi dengan anda, kan? Selain merupakan bunga kebangsaan, ia mempunyai pelbagai kebaikan terutamanya untuk penjagaan diri. Cuma kali ini, saya ingin fokuskan khasiat bunga raya putih.

Jika anda masih ingat, saya pernah kongsikan salah satu khasiatnya tak lama dulu. Iaitu ia boleh digunakan untuk melegakan sakit mata. Anda boleh klik artikel yang bertajuk "Cara Melegakan Sakit Mata" sebagai rujukan ya.


Selain sakit mata, anda boleh manfaatkan bunga raya putih untuk beberapa lagi perkara. Iaitu menghilangkan kelemumur, menghitamkan serta mengilatkan rambut dan mengurangkan rasa panas badan.

Kalau sebelum ini khasiatnya tertumpu pada akar, untuk petua kali ini anda perlu menggunakan daunnya pula.



Bunga Raya Putih - sobrihomedecor.blogspot.com




A. Menghilangkan Kelemumur, Menghitamkan serta Mengilatkan Rambut


1. Ambil beberapa helai daun bunga raya putih yang masih lagi segar-bugar.

2. Ramas daun tadi hingga ia mengeluarkan lendir.

3. Kemudian, sapukan lendir tersebut pada keseluruhan bahagian rambut.

4. Biarkan ia serap sepenuhnya pada rambut dan kulit kepala anda ya.

5. Akhir sekali, bilas dan cuci rambut anda dengan menggunakan air bersih.



B. Mengurangkan Panas Badan


1. Ambil beberapa helai daun bunga raya putih. Jangan lupa, hanya pilih daun yang segar saja.

2. Ramaskan daun tadi dengan menambahkan sedikit air.

3. Kemudian, anda lap air ramasan daun tadi pada seluruh badan.

4. Jikalau tak larat nak lap seluruh badan, anda boleh demahkan saja air ramasan tersebut kat atas kepala.



Begitulah saja petua yang dapat saya kongsikan kali ini. Mudah-mudahan ia bermanfaat untuk anda semua.


Cubalah ya!


p.s: Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan Malaysia yang ke 53 kepada seluruh rakyat Malaysia. :)

Thursday, August 26, 2010

Khasiat Tambahan Daun Beluntas

Sebelum ini, anda telah pun didedahkan akan khasiat daun beluntas. Antaranya ia membantu menyegarkan bau nafas, menghilangkan bau badan serta baik untuk melegakan tekak.

Kini, saya mahu kongsi khasiat tambahan daun beluntas. Mana tahu, ia mungkin berguna untuk anda, kan?

Baiklah, khasiat tambahan yang saya maksudkan ialah ia boleh digunakan bagi menyembuhkan demam, luka, merawat kudis dan ulser.



A. Menyembuhkan Demam


1. Ambil beberapa helai daun beluntas yang masih segar.


Daun Beluntas - medicineisanart.com



2. Kemudian, keringkan daun tadi.

3. Setelah kering, rendamkan ia ke dalam segelas air suam.

4. Anda minumlah air rendaman ini secara perlahan-lahan.

Anda boleh ulangi meminumnya sehingga demam yang dialami beransur pulih.



B. Menyembuhkan Luka, Kudis dan Ulser


1. Ambil beberapa helai daun beluntas yang segar.

2. Tumbuk lumat kesemua daun tadi.

3. Akhir sekali, tampalkan saja daun yang telah lumat tadi pada bahagian yang sakit.

Jika daun tersebut beransur kering, anda boleh gantikan dengan daun yang baru. Ulang semula langkah di atas sehingga anda berasa lega.



Cubalah!

Tuesday, August 24, 2010

Segarkan Bau Nafas dengan Daun Beluntas

Sepanjang bulan Ramadhan ni, anda yang berpuasa pasti mengalami masalah nafas berbau. Hal ini memang tak dapat dielakkan. Sebagai alternatif, terdapat satu amalan yang boleh anda cuba bagi menyegarkan nafas. Iaitu dengan memanfaatkan khasiat daun beluntas.


Daun Beluntas - medicineisanart.com



Caranya mudah saja. Iaitu anda amalkan memakan daun beluntas secara mentah. Atau dengan kata lain, jadikannya sebagai ulam-ulaman ketika berbuka mahupun bersahur. Anda akan dapati rasanya agak kelat dan berangin.

Selain berfungsi menghilangkan bau nafas, ia turut berkhasiat bagi menghilangkan bau badan serta sebagai penawar sakit tekak.


Sebenarnya, petua ini bukannya khusus untuk bulan puasa saja. Anda boleh amalkannya pada bulan-bulan lain. Sekiranya anda memang sedia ada masalah bau nafas, cubalah petua di atas ya.


Selamat Mencuba!

Sunday, August 22, 2010

Cengkam Kuku?

Kebiasaannya, pemakaian inai sinonim dengan pasangan pengantin. Di sesetengah tempat, memang ada satu majlis yang dinamakan "Malam Berinai". Tapi, inai memang banyak khasiatnya dari sudut perubatan tradisional. Antaranya ialah merawat sakit kuku atau cengkam kuku. Ataupun ada juga yang sebut cagu.


Cuba anda ikuti langkah berikut jika ingin merawat cengkam kuku;


1. Ambil beberapa helai daun inai dan masukkan dalam lesung batu.

2. Masukkan juga sedikit kunyit dan kapur sirih.


Kunyit - cantikbahagia.wordpress.com



3. Tumbuk kesemua bahan di atas sampai lumat.

4. Kemudian, tempel atau letakkan bahan tadi pada kuku anda yang sakit atau cengkam.

5. Jika mahu, anda boleh balut bahan yang telah diletakkan pada kuku tadi dengan kain bersih.


Bila dah kering, anda boleh gantikan dengan campuran inai, kunyit dan kapur sirih yang baru. Ulangilah proses di atas sehinggalah kuku anda pulih.


Sebelum ini pun, saya pernah kongsikan petua yang hampir sama. Anda boleh rujuk pada artikel bertajuk "3 Cara Merawat Kuku Bengkak a.k.a Cagu?" di sini.



Selamat Mencuba!

Saturday, August 21, 2010

Petua Mengatasi Masalah Senggugut

Semasa kedatangan haid, mungkin segelintir wanita akan berdepan dengan masalah senggugut. Akibatnya, ia membuatkan mereka berasa sakit. Jadi, adalah lebih baik sekiranya wanita yang sering mengalami senggugut mencuba petua di bawah ini.


1. Memula, anda ambil 10 biji lada hitam.


Lada Hitam



2. Kemudian, tumbuk lada hitam tadi sampai lumat.

3. Setelah lumat, campurkannya dengan secawan air kelapa muda.

4. Seterusnya, anda kacaukan ia agar sebati dan minumlah perlahan-lahan.

5. Lebih kurang dalam 5 ke 10 minit kemudian, badan anda akan mula berpeluh.


Cuba anda amalkan selalu petua senggugut di atas. Mudah-mudahan anda tak kena senggugut lagi.


Selamat Mencuba ya!

Thursday, August 19, 2010

Khasiat Rizom Temu Lawak

Pada tulisan sebelum ini, anda dah tahu akan khasiat air rebusan batang dan rizom temu lawak, kan? Iaitu ia baik untuk mengatasi sembelit dan najis berdarah.

Sebagai kesinambungan, saya ingin kongsikan pula secara ringkas tentang khasiat rizom temu lawak. Rizom temu lawak ni boleh dimakan secara mentah mahupun meminum air rebusannya.


Jika anda memilih untuk memakannya secara mentah, ia memang baik dalam usaha mengekalkan tahap kesihatan serta membantu anda kekal awet muda.


Sementara itu, amalan meminum air rebusan rizom temu lawak pula mampu mengurangkan demam panas dan rasa sengal-sengal.

Tak lupa juga untuk para ibu yang baru lepas bersalin. Ada juga khasiatnya untuk anda. Gunakan air rebusan ini sebagai air mandian untuk menyegarkan badan.


Selamat Mencuba!

Tuesday, August 17, 2010

Petua Mengatasi Sembelit Dengan Temu Lawak

Masalah sembelit merupakan antara masalah popular yang menimpa kebanyakan anda ketika bulan puasa. Anda boleh merujuk kembali tulisan terdahulu di sini sebagai kenang-kenangan. Jadi sebelum ia melarat, ada baiknya anda merawatnya.


Petua sembelit kali ini adalah dengan menggunakan batang dan rizom (ubi) muda temu lawak. Buat makluman anda, temu lawak ni nama saintifiknya ialah Curcuma Xanthorriza. Imej di bawah ini mungkin boleh menjelaskan serba sikit mengenai temu lawak ini.



Temu Lawak - gingersofindia.com





Baiklah, kaedah mengatasi sembelit dengan temu lawak adalah seperti berikut;


1. Anda ambillah bahagian batang dan rizom (ubi) muda temu lawak sahaja.

2. Bersihkannya dulu dan kemudian rebus ia sampai mendidih.

3. Setelah mendidih, anda tapis serta tuangkan air rebusan tadi ke dalam gelas.

4. Jika mahu, biarkan ia suam seketika dan minumlah secara perlahan-lahan.

Dalam sehari, anda boleh meminumnya sebanyak dua hingga tiga kali. Anda boleh teruskan meminumnya dalam beberapa hari mendatang.

Jikalau mahu meminumnya walaupun pada waktu anda tak kena sembelit pun boleh. Ia boleh dilakukan sebagai langkah pencegahan.

Selain sembelit, ia juga diakui boleh mengatasi masalah najis berdarah. Jangan lupa cuba tau. :)


Selamat Menjalani Ibadah Puasa.

Tuesday, August 10, 2010

Penawar Mengubati Resdung

Resdung yang anda alami mungkin berpunca daripada hama dan kotoran yang disedut melalui pernafasan. Akibatnya, hidung akan gatal dan anda mudah bersin. Sebelum ini pun, saya pernah berkongsi petua mencegah resdung di sini.


Kali ini, saya nak kongsikan pula petua mengubati resdung. Caranya begini;


1. Masukkan air ke dalam hidung anda dengan cara menyedut.

2. Lepas tu, picit sebelah bahagian hidung anda dan hembus dengan kuat.

3. Buatlah langkah di atas untuk kedua-dua bahagian hidung anda secara berulang kali.

4. Seterusnya ia diikuti dengan membasuh muka anda dengan air sebersih-bersihnya ya.


Amalkan langkah ini setiap hari sehinggalah penyakit resdung anda beransur pulih. :)



Mungkin cara di atas ni anda dah pernah dengar atau baca. Jadi, saya nak kongsi lagi satu cara mengubati resdung sebagai alternatif;


1. Anda perlukan dua biji buah pinang yang sudah masak.

Buah Pinang Masak

Buah Pinang Masak- sungaibatuderelong.blogspot.com



2. Kemudian, ambil bahagian kulitnya saja ya.

3. Potong dan hiris kulit buah pinang tadi hingga keadaan bentuknya kelihatan seperti tembakau.

4. Seterusnya, campurkan hirisan kulit pinang dengan sedikit serbuk kunyit.

5. Akhir sekali, anda bakarkan campuran tadi dan sedut asapnya.

Anda mungkin akan berasa pedih, tetapi cara ini dikatakan amat berkesan untuk mengubati penyakit resdung anda. Mudah-mudahan rasa pedih itulah yang menjadi penawar resdung anda.


Selamat Mencuba ya!

Monday, August 9, 2010

Atasi Masalah Kencing Tak Lawas?

Sejak kebelakangan ini, ramai benar yang mencari petua kencing tak lawas di sini. Mungkin masih ramai yang mengalaminya dan belum jumpa jalan penyelesaian. Justeru itu, saya ambil kesempatan ini untuk berkongsi satu petua tradisional untuk melawaskan kencing.

Bahan utama yang anda perlukan adalah rumput sambau. Nama saintifiknya ialah "Eleusine Indica". Di sisi penanam padi, ia dikenali sebagai rumput perosak. Namun bagi anda yang mengalami masalah kencing tidak lawas, ia boleh dijadikan ubat.

Anda boleh lihat imej di bawah untuk mengenali rumput sambau secara lebih dekat.


Imej Rumput Sambau

Rumput Sambau - oisat.org




Jika masih kurang jelas, sila lihat pula gambar berikut;


Gambar Rumput Sambau

Rumput Sambau 2 - scsphotogallery.tamu.edu




Baiklah, sekarang kita beralih pula kepada cara-cara menggunakan rumput sambau bagi mengatasi masalah anda ya;


1. Pertama sekali, dapatkan 3 rumpun akar rumput sambau.


Akar Rumput Sambau

Akar Rumput Sambau - davesgarden.com



2. Seperti biasa, anda perlu bersihkannya terlebih dahulu.

3. Kemudian, rebuskan akar tersebut sehinggalah paras airnya tinggal kira-kira sepertiga daripada paras asal.


Akhir sekali, anda tuang dan tapis air rebusan tadi dalam cawan. Minumlah secara perlahan-lahan. Amalkannya sehingga masalah anda beransur pulih.


Selain untuk melawaskan kencing, amalan di atas boleh juga digunapakai bagi mengatasi masalah cacing, demam kuning dan melegakan kembung perut.


Selamat Mencuba ya!



P.S: Banyak juga khasiat rumput sambau ni. Jika diizinkanNya, nanti saya kongsikannya lagi dengan anda.

Thursday, August 5, 2010

Tips Membersih dan Memutihkan Wajah

Memiliki kulit muka yang bersih dan cerah merupakan satu anugerah yang sungguh bermakna. Bagi yang dikurniakan kelebihan itu, anda tentu bersyukur, kan?


Kulit Cerah

Kulit Cerah - stumbleupon.com




Namun begitu, bagi yang ingin mencerahkan atau memutihkan kulit muka, ada satu petua tradisional yang boleh dicuba. Bahan utama yang diperlukan adalah pucuk jambu batu yang masih muda.


Pucuk Jambu Batu

Pucuk Jambu Batu - ar-romli.net




Tanpa berlengah, apakata anda ikuti tips memutihkan wajah di bawah ini;


1. Ambil 4 hingga 5 helai pucuk jambu dan bersihkannya.

2. Tumbuk ia sampai hancur dan campurkan dengan sedikit air bersih.

3. Kemudian, sapu serta gosokkan secara perlahan-lahan bahan tadi ke muka anda.

4. Lakukan langkah no.3 sekurang-kurang dalam 5 minit.

5. Selepas itu, cucilah muka anda dengan air bersih dan lapkannya dengan tuala lembut.


Jadikan proses di atas sebagai amalan untuk memutihkan kulit wajah anda.


Semoga Berhasil!

Kenapa Anda Perlu Berdiet? Sambungannya...

Ini adalah sambungan kepada entri bertajuk "Kenapa Anda Perlu Berdiet?". Tanpa berlengah, saya teruskan saja kesudahannya di bawah ini ya.



4. Minum Air Putih


Salah satu diet berkesan yang mudah adalah dengan meminum air putih secukupnya. Ia bertujuan menyeimbangkan kadar cecair dalam badan anda.

Bagaimana nak tahu sama ada ia cukup atau tidak?

Mudah aje. Sekiranya anda berasa haus, itu maknanya anda memang memerlukan air putih. :)



5. Kacang Soya


Memilih makanan berasaskan kacang soya setiap hari boleh membantu anda menurunkan kadar kolesterol.

Kacang Soya

Kacang Soya - www.webmd.com



Selain itu, ia berfungsi melindungi anda daripada diserang sakit jantung. Jadi, jangan lupa memasukkan tauhu, tempe atau air soya dalam menu harian anda.



6. Ikan Laut


Tubuh anda memerlukan lemak yang baik untuk memelihara kesihatan jantung. Nah, ikan laut seperti tuna dan salmon yang dapat membekalkannya.


Hidangan Berasaskan Tuna

Hidangan Berasaskan Tuna - blog.foodnetwork.com


Selain untuk jantung, ia juga mengandungi protein yang tinggi.



7. Bakteria


Terdapat juga jenis bakteria yang memang diperlukan tubuh. Iaitu bakteria baik. Contohnya seperti yogurt.


Yogurt

Yogurt - cookinglight.com




Fungsinya adalah memelihara saluran pencernaan dalam badan anda agar dapat berfungsi sepenuhnya serta menghalang kemasukan bakteria jahat. Bakteria jahat ni biasanya masuk melalui makanan yang anda makanlah.



8. Katakan Tidak pada Alkohol


Sudah terang lagi bersuluh, kan? Tubuh anda tak perlukan alkohol. Tubuh anda akan lebih sihat tanpa alkohol.



9. Lakukan Senaman


Mahu atau tidak, anda mesti bersenam sekiranya benar-benar mahu berdiet. Setakat menjaga pemakanan yang seimbang saja belum tentu akan menjayakan usaha diet anda.

Bersenamlah secara berkala dan teratur agar matlamat anda untuk menurunkan berat badan tercapai.



Selamat Mencuba!


p/s: Anda mahukan bentuk badan yang cantik dan tegap? Panduan bina badan ini (klik) boleh membantu anda. Dengan syarat anda mestilah bertindak dan mulakannya sesegera yang boleh. :)

Monday, August 2, 2010

Kenapa Anda Perlu Berdiet?

Tentu ramai di kalangan anda yang menyangka diet hanyalah untuk golongan yang ingin menurunkan berat badan saja. Tanggapan ini sebenarnya kurang tepat. Ini kerana diet yang betul bukan sekadar untuk kuruskan badan atau menurunkan berat badan.

Tujuan berdiet sebenarnya lebih luas daripada itu. Diet seimbang penting bagi mengurangkan risiko anda dijangkiti pelbagai jenis penyakit. Antara penyakit yang dimaksudkan adalah barah, jantung, obesiti dan juga diabetes.


Mungkin ada yang tertanya-tanya bagaimanakah cara diet yang betul?


Baiklah, di bawah nanti ada beberapa tips diet yang boleh anda ikuti. Harap ianya boleh dijadikan panduan agar tahap kesihatan anda sentiasa berada paras optimum ya;


1. Memahami Piramid Makanan


Piramid Makanan

Piramid Makanan - infosihat.gov.my



Anda boleh merancang menu seharian yang sihat berdasarkan piramid makanan. Fahami jenis makanan yang perlu diambil pada kuantiti yang banyak, sederhana dan sedikit. Nescaya diet anda akan lebih seimbang selepas ini.



2. Pilih Makanan yang Segar


Tahap kesegaran makanan yang anda pilih juga mesti diperhatikan. Sebagai contoh, makanlah sayur-sayuran dan buah-buahan yang masih segar.

Perhatikan keadaan fizikal dan warnanya. Pilihlah yang tak layu dan warnanya pula masih terang. Jika dah lebam atau pudar warnanya, baik anda lupakannya.



3. Serat


Jangan lupa memasukkan makanan yang mengandungi serat dalam menu anda. Banyakkanlah memakan sayur-sayuran, buah-buahan dan minum air secukupnya.

Pengambilan serat penting bagi memastikan kelancaran sistem pencernaan anda dan seterusnya ia bekerja dapat bekerja dengan lebih efisien.


Buat masa ni, saya kongsikan 3 cara diet yang betul dahulu. Saya terpaksa berhenti setakat ni dan akan sambung kemudian ya. :)

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More